https://critoxium.com/shop/

Terkini

Anwar, Hishammuddin sangkal Dr M campur tangan kes Najib

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini menyangkal tuduhan segelintir pihak bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mencampuri urusan mahkamah dalam kes pertuduhan Najib Razak berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Ia susulan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Nor Adam mendakwa Mahathir mengganggu perbicaraan kes tersebut.

“Ini tidak ada asas. Dia boleh dakwa tapi proses undang-undang bebas dan telus,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Tambah Anwar, beliau tidak mahu mengulas lanjut keputusan mahkamah yang meminta Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan berkaitan SRC kerana proses undang-undang masih berlangsung.
Oleh itu, katanya, tiada keperluan untuk melayan dakwaan sedemikian melainkan pihak berkenaan menyertakan bukti dan fakta yang kukuh untuk menyokong tuduhan mereka.

“Jika tidak, kita harus membenarkan proses yang patut diteruskan.

“Hakim telah memberikan kelonggaran yang mencukupi untuk membela, biarkan proses (itu) dihormati.”

Semalam, Mahkamah Tinggi memutuskan Najib diperintah membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan menyeleweng sejumlah RM42 juta daripada dana SRC.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengumumkan keputusan itu pada pukul 11.34 pagi.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu bagi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu.

Sementara itu, bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein turut menafikan dakwaan mengatakan Mahathir mencampuri urusan mahkamah bagi kes berkenaan.

Katanya, dakwaan seperti itu juga berlaku ketika partinya menjadi kerajaan pusat.
“Kita dituduh macam itu masa kita jadi kerajaan.

“Tapi akhirnya nanti, institusi kehakiman mesti mempertahankan maruah, kredibiliti (dan) integriti mahkamah itu sendiri,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.