https://critoxium.com/shop/

Terkini

Hanipa 'cadangkan' Idris jadi AG

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin hari ini melayan gesaan PAS supaya Peguam Negara (AG), Tommy Thomas, meletak jawatan dengan sindiran santai.

Menyertakan bersama pautan berita dari portal rasmi berita PAS, Hanipa menempelak gesaan dibuat Idris Ahmad itu dengan mencadangkan agar pemimpin kanan terbabit dilantik sebagai peguam negara yang baru - jika mereka dapat menjadi kerajaan.

"Jika tak ada orang (lain), bekas YB (yang berhormat) ini pun bolehlah, kan?" katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Andainya itu terjadi, anggota parlimen Sepang itu berkata, PAS wajar memastikan semua kes dan pertuduhan membabitkan pemimpin Umno di mahkamah ditarik semula.

Untuk rekod antara pemimpin kanan Umno yang sedang berdepan tuduhan di mahkamah ialah bekas presidennya, Najib Razak, dan penyandang jawatan itu sekarang, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tidak ketinggalan Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor, dan beberapa individu yang rapat dengan mereka seperti bekas Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, serta bekas Ketua Setiausaha Perbendahaan, Dr Irwan Serigar Abdullah.

Hanipa berkata demikian mengulas kenyataan Idris yang mendesak supaya Thomas berundur daripada jawatan.

Bekas anggota parlimen Bukit Gantang itu berhujah, tindakan Thomas menggugurkan pertuduhan membabitkan pemimpin PH sebelum ini bukanlah satu kebetulan.

Dalam laporan itu Idris antara lain merujuk pengguguran dua pertuduhan tambahan terhadap anggota dewan undangan negeri (Adun) Seremban Jaya P Gunasekaran berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam.

Bagaimanapun untuk rekod, pengguguran pertuduhan itu tidak menyebabkan Gunasekaran bebas atau dilepaskan kerana dia sudah didakwa atas isu yang sama dan berdepan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Kata Hanipa, jika Idris menjadi peguam negara, ada kes lain yang perlu ditarik balik olehnya, seperti melibatkan ahli perniagaan yang sedang dikehendaki pihak berkuasa pelbagai negara, Jho Low, atau nama sebenarnya Low Taek Jho.

"Jho Low pun jangan kacaulah ya. Baru lejen," katanya sinis.

Sebagai rekod, Jho Low merupakan antara individu berprofil tinggi yang dikehendaki kerajaan Malaysia bagi menghadapi tindakan undang-undang berhubung peranannya dalam skandal rasuah 1MDB.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.