https://critoxium.com/shop/

Terkini

PH hadapi Pirake Tanjung Piai tidak secara profesional

Oleh Mohd Sayuti Omar

APABILA saya mencadangkan agar Dr Mahathir Mohamad membuat suatu pengumuman mengejutkan di Tanjung Piai sempena lawatan berkempennya esok, saya rasa orang dapat memahami kenapa saya membuat cadangan itu.

Kejutan itu penting untuk mempengaruhi 53,528 pengundi di Tanjung Piai yang akan menunaikan kewajiban mereka pada 16 November nanti.

Hari ini seramai hampir 255 (91%) orang sudah menunaikan tanggungjawab mereka, sebagai pengundi awal, kebanyakan terdiri daripada anggota pasukan keselamatan. Saya kira pengundi awal yang terdiri daripada kakitangan kerajaan dapat membuat pilihan yang tepat kala ini berbeza dengan apa yang berlaku di Semenyih dahulu.

Kejutan yang perlu dibuat itu dua perkara; umumkan Karmanie Sardini sebagai bakal timbalan menteri dan tarikh pengundurannya (Dr Mahathir) untuk serahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar. Walaupun ia tidak menjamin dapat merombak apa yang ada dalam kepala pengundi kini, tetapi itulah ikhtiar terakhir yang bagi saya boleh memberi impak.

Saya membuat cadangan itu kerana melihat kepada senario di Tanjung Piai, baik berpandukan kepada laporan media massa, media sosial atau maklumat-maklumat dalaman daripada pihak-pihak tertentu, yang menunjukkan PH agak sukar untuk mempertahankan kerusi Tanjung Piai itu. Senario atau semangat ditunjukkan BN dalam menghadapi pilihan itu kini menampakkan kesukaran untuk PH mempertahankan kerusi ditinggalkan Allahyarham Md Farid Md Rafik itu.

Apabila saya sendiri sampai ke Tanjung Piai, saya lebih nampak dengan jelas lagi akan "keluyuran" kempen PH berbanding dengan BN dan mengetahui kenapa berlaku keluyuran itu.

Misalnya ceramah PH di Ulu Pulai pada malam kelmarin, (10 November) yang menampilkan dua pemimpin tertinggi Amanah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub, Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar serta Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Dzulkefly Ahmad menunjukkan ceramah PH tidak mendapat sambutan.

Yang hadir pada ceramah itu tidak sampai 50 orang, dimana mereka yang jadi pengundi pula kira-kira 10 orang. Saya rasa belum pernah berlaku ceramah melibatkan Salahuddin dan Mahfuz yang dihadiri seramai itu baik di zaman mereka dalam Pas (kini Pam) maupun di ceramah Amanah.

Telahan saya itu tepat apabila mendapat penjelasan daripada seorang aktivis politik veteran yang kesekian lama berkecimpung dalam pilihan raya yang juga hadir disitu. Kebetulan dia juga pegawai peribadi kepada Menteri kerajaan PH.

Paling mengejut dan mengecewakan juga, peralatan pembesar suara diceramah itu tidak melambangkan ia sebuah ceramah daripada parti kerajaan. Peralatan ceramah, PA sistem berada ditahap buruk, lebih buruk dizaman parti-parti PH, khasnya parti Amanah menjadi pembangkang dahulu.

Dari awal hingga ke akhir, Mahfuz terpaksa ceramah menggunakan pembesar suaranya sendiri, suara aslinya. Walaupun mikrofon ada ditangannya, tetapi ia tidak berfungsi langsung. Saya berada kira-kira 100 meter tidak dengar dan faham apa yang Mahfuz syarahkan.

Kalau saya jadi Mahfuz saya baling mikrofon itu jauh-jauh. Tetapi tidak begitu dengan Mahfuz, disinilah bijaksana Mahfuz beliau tidak meletakkan mikrofon itu untuk menunjukkan ceramah itu sempurna. Beliau terus memegangnya, bagi menyembunyikan kelemahan itu dimana bila ada orang menangkap gambar dia tetap berceramh menggunakan mikrofon.

Apa yang saya saksikan di Ulu Pulai itu mungkin pun tidak mencerminkan senario sebenar di seluruh kawasan pilihan raya ditempat ceramah. Menurut Pengarah Penerangan Pirake itu, sehingga malam tadi PH telah mengada lebih 60 buah ceramah, dan ia mensasarkan 126 buah ceramah menjelang tengah malam 15 November. Saya tidak terbayangkan macam mana kekesanan ceramah itu kalau semua ceramah mengalami kelemahan peralatan PA sistem sama di Ulu Pulai itu.

Sambil minum air kelapa dan kueh lopes digerai berdekatan, aktivis politik itu terus memberi tahu saya yang dia sendiri kecewa dengan pengurusan dan perjalanan pilihan raya tersebut. Beliau menzahirkan rasa kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku. Salah satu sebab kenapa pilihan raya itu bercelaru, menurutnya ialah kerana orang yang dilantik menjadi Pengarah Pilihan Raya kecil itu sifar  pengalaman. Beliau yang pada mulanya sepatutnya terlibat secara langsung, jadi kendur dan kurang berminat.

Pengarah pilihan raya itu ialah Dr Sahruddin Jamal Menteri Besar Johor. Memang dia ini baharu dan masih budak dalam politik. Standardnya sama seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atau Rina Harun sahaja. Dalam usia dan pengalaman cetek begitu apa yang dia tahu. Hairannya kenapa Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Besatu memberi tanggungjawab itu kepada Sahruddin. Tidak semestinya bila dia menjadi MB dia perlu dipilih jadi pengarah pilihan raya. Cara berfikir Muhyuddin masih cara dan tempo lama.


Billboard begini kurang berkesan.
Menghadapi pilihan raya boleh diibaratkan sebagai perang. Peperangan memerlukan seorang panglima yang bukan sahaja berani tetapi penuh berpengalaman. Apa dihadapi Sahruddin ini kurang pengalaman dan tidak pula mengaku akan kelemahan itu. Kelemahan inilah maka pilihan raya itu bercelaru. Mungkin kerana usia dan kecetekan pengalaman itu maka penghormatan daripada parti komponen agak tawar.

Apabila melantik orang cetek pengalaman, boleh jadi juga Bersatu melihat pilihan raya itu tidak begitu penting. Alasannya mungkin kerana Bersatu tidak perlu mengekalkan kerusi itu kerana kerusinya sudah "cukup" dengan penghijrahan beberapa orang ahli parlimen Umno ke dalam Bersatu?

Saya dapat melihat sendiri betapa pilihan raya itu tidak diurus dengan baik dan professional. Kemantapan gandingan atau kerjasama di antara parti komponen PH, tidak menyerlah. Misalnya di ceramah Ulu Pulai itu, hanya wakil Amanah sahaja berceramah, manakala tidak ada wakil dari Bersatu, PKR dan DAP. Walaupun nama Timbalan Presiden Keadilan, Azmin Ali disebut turut sama hadir tetapi beliau tidak hadir sampai ke sudah.

Di sesetengah tempat atau ceramah lain juga berlaku demikian, tidak ada kekompakan di antara pemimpin PH. Paling jelas dalam kawasan Dun Pekan Nanas yang bertungkus lumus hanya dipihak Amanah dengan Salahuddin bertindak menjadi pengarahnya. Salahuddin mengambil tanggungjawab besar, ini terserlah apabila beliau telah memohon cuti daripada Perdana Menteri selama enam hari semata-mata untuk menghadapi Pirake itu.

Rumahnya di Kampung Serkat juga dijadikan markaz menyediakan makan minum dan kemudahan lain kepada pembantu pilihan raya dari luar.

Penilaian saya seterusnya ialah kepada logsitik (bahan kempen), poster, banner dan lain-lain yang dipasang di sepanjang jalan dalam bandar Pontian Kecil. Di pihak BN kedapatan berbagai bentuk bahan kempen, banner dan papan tanda dipasang, dengan menulis berbagai slogan atau pun sindiran kepada kerajaan PH.

Paling ketara ialah banner atau poster dalam bahasa Cina. Ini menunjukkan BN benar-benar mahu menarik undi Cina, setelah mereka yakin undi Melayu akan bertambah dengan penyertaan tindakan Pam mengalihkan "tokongnya" dengan menyokong calon MCA.

Saya tercari-cari dimana bahan kempen PH yang merupakan kain rentang atau papan tanda yang membentang statistik atau pencapaian kerajaan dalam tempoh sebulan lepas.  Sepatutnya papan tanda atau billboard menyenaraikan pencapaian kerajaan di pasang disegenap kawasan pilihan raya untuk perhatian umum.

Begitu juga papan tanda atau kain rentang propaganda menceritakan mengenai keburukan pemimpin BN, seperti jumlah kesalahan dan pertuduhan dikenakan ke atas Najib Razak, Zahid Hamidi dan lain-lain pemimpin BN perlu ditabir seluas-luasnya. Jumlah pertuduhan itu memberi gambaran saking "jahat"nya pemimpin BN yang disokong Pam kini.

Begitu juga dalam media sosial kemeriahan pilihan raya itu dari pihak PH tidak terserlah. Tidak banyak orang menulis, mencatat dan menyerang BN seperti mana berlaku semasa pilihan raya umum lalu. Kelesuan cyber trooper PH ini menandakan kelemahan pihak PH.

Semasa di Tanjung Piai saya tidak kesempatan untuk menjenguk ceramah BN. Tetapi daripada laporan kawan wartawan, sehingga malam tadi ceramah BN masih mengatasi ceramah PH. Hatta ceramah Anwar di Pekan Nanas dan bandar Pontian malam tadi pun tidak dapat menandingi ceramah BN. Kalau dengan kehadiran Anwar pun tidak dapat mengatasi ceramah BN, bermakna pilihan raya itu "sakit buat" buat PH.

Apa yang diharapkan cuma satu sahaja, pengundi bersikap cerdik dengan pilihan raya itu. Mereka tidak menzahirkan sokongan kepada PH kerana sebab-sebab tertentu, khasnya dari kalangan orang Melayu. Tetapi diam-diam mereka akan bersama PH atas faktor calon, Karmaine seorang tok imam.

Apa yang diketahui walaupun orang Melayu termakan dengan kempen memburuk kerajaan PH kononnya dikuasai DAP, tetapi kerana sentimen bangsa dan agama mereka tetap mengundi calon PH Tuan Imam Karmaine Sardin kerana calon kepercayaan yang diletak oleh BN dan disokong Umno dan Pam itu Wee Jeck Seng, seorang bukan Muslim.

Kalaupun ada yang termakan dengan "Pantun" Abang Haji Hadi Awang tetapi masih ramai yang mengingat pantun versi lama yang dipantunkan oleh para pemimpin Pam sebelum ini seperti mana saya pantuni sebagai membalas pantun Abang Haji Hadi dalam Facebook itu;

Tanjung Piai pantai bertubir, 
Dari Melaka terbang pekaka;
Parti MCA parti kafir,
Pangkah mereka mendekati Neraka.

Pantun itu sebagai membalas pantun Abang Haji Hadi berbunyi;

Tanjung Piai sampai ke Dumai,
Sama disana naik kereta;
Keluar mengundi beramai-ramaui,
Undi MCA kawan kita. 

Tepuk....

Kesimpulannya sehingga malam ini, menjelang 72 jam sebelum mengundi kedua-dua parti dengan rahsia dan startegi masing-masing tetap yakin akan memenangi kerusi Tanjung Piai. Dan bagi saya sekali lagi disebutkan, sekiranya Dr Mahathir berani dan gentlemen membuat kejutan seperti saya cadangkan itu, PH mungkin akan berjaya mengekalkan kerusi Tanjung Piai itu.

Dan jika esok Dr Mahathir hadir setakat hendak mengulas kedudukan dan nasib malang Najib yang dipanggil membela diri atas pertuduhan seleweng wang SRC Internasional Sdn Bhd, ia tidak banyak mengubah keadaan yang ada kini.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.