https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pemuda MCA hipokrit bantah khat SJK


Kenyataan Ketua Pemuda MCA Nicole Wong yang menyatakan bahawa MCA akan membantah pembelajaran tulisan khat di sekolah vernakular adalah kenyataan hipokrit dan berunsur perkauman.

Umum diketahui bahawa pada 2016, timbalan menteri pendidikan pada masa itu, Chong Sin Woon dari Parti MCA sendiri yang membenarkan dasar pembelajaran jawi di sekolah vernakular tanpa sebarang bantahan pada masa itu.

Oleh itu, bantahan terhadap pembelajaran tulisan khat atau jawi adalah hasutan dan penipuan MCA kepada rakyat dan menyalahkan DAP supaya dibenci oleh rakyat walaupun ini adalah dasar kerajaan Barisan Nasional dahulu.

Namun demikian, semasa pilihan raya kecil Tanjung Piai tempoh hari lalu calon MCA Wee Jeck Seng bersama pimpinan MCA telah menyatakan bantahan terhadap jawi di kalangan pengundi cina tetapi menyatakan sebaliknya di kalangan pengundi Melayu.

Ini adalah hipokrit daripada parti MCA yang disokong oleh parti PAS dan Umno pada pilihanraya kecil Tanjung Piai dua minggu lalu.

Apakah pemimpin MCA hanya ingin meluahkan kenyataan berunsur rasis di kalangan ahlinya supaya dapat menghasut orang Cina untuk membenci kebudayaan rakyat Malaysia yang lain?

Apakah pendirian parti-parti Umno dan PAS yang kononnya parti pejuang Islam dan Melayu?

 Adakah parti Umno dan PAS ingin menyalahkan DAP atas sikap perkauman parti MCA?

Baru dua minggu MCA memenangi kerusi parlimen Tanjung Piai dan parti MCA sudah menunjukkan belang mereka.

Bagaimana sesebuah parti pembangkang boleh menjadi kerajaan dengan menyebarkan kebencian sesama kaum?

* Muhammad Shakir Ameer Mohideen adalah naib ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.