https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sekolah Cina terus secara terbuka tolak tulisan Jawi

Oleh Arif Atan

Menjelang kongres membantah pengenalan pembelajaran jawi di sekolah vernakular pada 28 Disember ini, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) tertentu dilihat secara terbuka menyuarakan nada yang sama.

Antaranya, di SJK (C) Kota Emerald di Rawang, Selangor. Tinjauan Malaysia Dateline mendapati gegantung putih tertera penegasan, “Tidak Setuju Tulisan Jawi Diterapkan Dalam Mata Pelajaran Teras SJK (C)” diikuti tulisan Cina berwarna merah di bawahnya terdapat di luar pagar sekolah vernakular itu.

Pada 19 Disember lalu, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menggesa pertubuhan Cina lain mendaftar untuk menghadiri kongres di Kolej New Era di Kajang.

Matlamat kongres itu kononnya mahu menjaga kedaulatan pihak lembaga sekolah vernakular yang merupakan sistem pendidikan yang bermula sejak penjajahan British lagi.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 20 Disember lalu mengingatkan penganjuran kongres itu akan menyebabkan orang Melayu bertindak balas.

“Jika mereka mahu buat sesuatu yang sangat Cina, tindak balas orang Melayu akan sangat Melayu, (termasuk) meminta sekolah-sekolah Cina ini ditutup.

“Kamu melakukan perkara seumpama itu dan kamu akan mendapat reaksinya,” kata Dr Mahathir ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

Pada 21 Disember pula, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyarankan Dong Zong membatalkan hasrat melangsungkan kongres bagi membantah tulisan Jawi.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut mengingatkan keputusan pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular merupakan jalan kompromi dan jalan tengah selepas perbincangan begitu panjang dalam Kabinet.

Beliau juga menyeru agar semua pihak memandang ke depan kerana terdapat empat isu utama yang rakyat Malaysia mahukan membabitkan ekonomi, kos sara hidup, perumahan dan pekerjaan.

Desakan Dong Zong melalui kongres itu berlaku walaupun Kementerian Pendidikan memuktamadkan hanya tiga halaman pelajaran tulisan Jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tahun 4 termasuk di sekolah vernakular.

Dirancang dilaksanakan mulai tahun depan, tumpuan terhadap teks jawi pada lambang negara, ringgit Malaysia dan setem.

Terdapat empat teks Jawi dalam Jata Negara yang berbunyi; “Bersekutu Bertambah Mutu” selain “Bank Negara Malaysia” dan “Ringgit Malaysia” pada wang kertas serta “Malaysia” pada setem.

Walau bagaimanapun sejak Julai lalu, Dong Zong bertegas membantah rancangan kerajaan tersebut kerana menganggap sebagai langkah Islamisasi ke atas bukan Melayu di negara ini.

Ekoran itu, Dr Mahathir pada 12 Ogos lalu secara berterus-terang melabelkan Dong Zong sebagai rasis.

Tegasnya, Dong Zong tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk dalam isu pembinaan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Rata-rata aktivis Pakatan Harapan (PH) turut mengkritik sikap keterlaluan pihak yang menentang pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Bekas Pengarang Utusan Malaysia, Zin Mahmud menyifatkan penentangan terhadap tiga muka surat jawi itu adalah Islamofobia tulen, kalau tidak pun “outright antinational” (antinasional secara langsung).

Sementara itu, Penyelaras Projek Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Amir Abd Hadi pula berpendapat penentangan terhadap tulisan jawi boleh dianggap sebagai ‘malayphobia’ iaitu takut dan benci kepada apa-apa sahaja yang berkait dengan Melayu.

“Kita sendiri akhirnya takut-takut untuk membicarakan tentang sejarah sendiri, kerana apa-apa sahaja yang berkait Melayu dianggap sebagai rasis,” ujarnya.

Beliau berkata, semua harus sedar sejarah tanah ini tidak hanya bermula sekitar tahun 1948 atau 1957, tetapi telah bermula sejak ribuan tahun dahulu.

“Sudah pasti kita akui bahawa hal ini diburukkan lagi dengan perangai hodoh mereka yang kononnya ‘memperjuangkan Melayu’, selepas lebih 60 tahun kita hidup di bawah pemerintahan parti berasaskan kaum, yang menggunakan isu kaum untuk kekal berkuasa.

“Kebodohan ini harus dihentikan. Orang yang sama dahulu tertawa kerana sebahagian rakyat takutkan lambang salib adalah orang yang sama merengek-rengek melihat tulisan jawi, dengan sebab yang hampir serupa. Hipokrit,” bidas Amir lagi.

Dalam hal berkaita, Dong Zong turut merancang untuk membawa kerajaan ke mahkamah mengenai pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Tinggi di George Town, Pulau Pinang bulan lalu memutuskan bahawa pengajaran tulisan Jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Malaysia, dan boleh diajar di sekolah-sekolah Cina dan Tamil.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.