https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sempadan antara hak kebebasan, keruntuhan akhlak

Oleh Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan

Negara dikejutkan dengan isu iklan aplikasi temu janji berunsur lucah dipaparkan pada struktur iklan diod pemancar cahaya (LED) di Bangsar dan Mont Kiara, di ibu negara, baru-baru ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengarahkan paparan iklan aplikasi temu janji atas talian itu ditarik balik dengan segera dan ia tidak pernah mendapat kelulusan pihaknya mahupun Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Berdasarkan maklumat, aplikasi atas talian itu diasaskan di negara ini dan ia menghubungkan sugar daddy atau sugar mommy dengan sugar baby di seluruh Asia.

Sugar daddy atau sugar mommy adalah terma digunakan merujuk lelaki atau perempuan berusia yang sanggup menawarkan wang, hadiah atau habuan lain kepada temannya yang lebih muda atau sugar baby sebagai pertukaran kepada perhubungan.

Perkara ini dipandang serius masyarakat Malaysia, khususnya umat Islam yang melihat ia sebagai satu lagi percubaan untuk meruntuhkan akhlak dan menyemarakkan zina dalam negara.

Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang majoritinya umat Islam. Zina adalah perkara diharamkan dalam Islam, seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah Al-Isra, ayat 32)

Prinsip ditetapkan Islam, apabila diharamkan sesuatu, ia juga turut mengharamkan perkara yang menjadi wasilah kepada yang haram. Contohnya, pengharaman zina, Islam juga turut mengharamkan dari segi unsur yang mendorong ke arah zina seperti berkhalwat, pornografi, pergaulan bebas, pengiklanan dan lain-lain.

Islam menggalakkan perkahwinan antara lelaki dan perempuan sebagai satu cara untuk memelihara keturunan, di samping sama perlunya menutup pintu yang membawa kepada zina.

Ia boleh membawa kerosakan kepada keturunan dan berlakunya percampuran nasab serta boleh menjadi punca kepada runtuhnya sesebuah negara hasil daripada anak luar nikah yang tidak diketahui asal-usul mereka.

Ini dapat kita saksikan bagaimana hari ini Eropah menghadapi krisis keruntuhan moral hasil pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan serta pengiklanan yang tidak ada batasan.

Jika kita mengatakan ia sebagai hak kebebasan, maka ia melanggar Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam ialah agama bagi Persekutuan.

Iklan seperti ini membuka ruang kepada pelacuran secara teratur dan terancang melalui aplikasi digital. Kita sedia maklum bahawa pihak berkuasa giat menjalankan operasi membanteras aktiviti pelacuran yang semakin hari semakin bertambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Jika dahulu aktiviti ini dibuat secara sembunyi, tetapi kali ini cubaan mereka untuk membuat promosi secara terang-terangan dan besar-besaran, serta mereka mahu melihat bagaimana reaksi masyarakat khususnya umat Islam dan kerajaan atas tindakan itu.

Sebagai warganegara Malaysia yang memahami budaya serta norma masyarakat, kita seharusnya lebih peka akan perkara di sekeliling yang menyentuh sensitiviti seperti ini. Kesalahan yang terang sebegini tidak sepatutnya berlaku lagi pada masa hadapan.

Tindakan pantas daripada pihak DBKL yang menurunkan papan iklan itu wajar dipuji.

Membina negara memerlukan masa yang cukup lama, tetapi untuk meruntuhkannya hanya dalam sekelip mata. Binalah negara mengikut acuan keharmonian dan saling hormat menghormati antara satu sama lain dengan meraikan agama, bangsa dan budaya agar Malaysia menjadi negara contoh di mata dunia.

Sabda Rasulullah SAW, “Di antara tanda-tanda hari kiamat adalah: sedikitnya ilmu dan tersebarnya kebodohan, merebaknya perzinaan, wanita akan semakin banyak dan lelaki akan semakin sedikit, sampai 50 wanita hanya diurus seorang lelaki.” (HR Bukhari)

Sabda Rasulullah SAW lagi, “Akan ada dari umatku beberapa kaum yang menghalalkan zina dan sutera. (HR Bukhari)

Justeru, sebagai warganegara Malaysia, khususnya umat Islam, kita sewajibnya menentang sebarang bentuk penzinaan yang boleh menghancurkan negara yang tercinta ini.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM merangkap Panel Rujuk Nadwah Utama dan Ilmuan Malaysia (YADIM)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.