https://critoxium.com/shop/

Terkini

Isu Percanggahan Tadbir Urus GLIC/GLC Perlu Dihentikan

Oleh A Kadir Jasin
 
BANYAK sudah dibincangkan mengenai usaha menyelamat, menyusun semula dan mereformasi agensi awam serta tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Ia adalah tugas yang rumit, memakan belanja besar dan masa yang lama. Apatah lagi kes-kes tertentu melibatkan tindakan undang-undang. Maka catatan kali ini pun panjang juga. Mohon kesabaran.
Antara yang terlibat dengan menyelamatan dan penyusunan semula adalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd (SRC), Tabung Haji (TH), Kumpulan Felda dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Banyak lagi perlu disusun semula bagi membuang amalan lama yang merosakkan. Ini termasuklah memperkukuhkan tadbir urus dan tanggungjawab fidusiari serta mengelak percanggahan kepentingan.
Di pihak lain pula, percubaan sedang dibuat untuk membeli aset kerajaan oleh pihak swasta di mana terdapat unsur-unsur yang meragukan dan campur tangan orang yang terlibat dengan kerajaan lama.
Izinkan saya memberi contoh perbuatan mencampur-adukkan pengurusan harta kerajaan dengan harta persendirian, termasuk harta parti politik, khususnya yang melibatkan Umno dan kerajaan lama.
Hal ini penting difahami kerana terdapat tanda-tanda bahawa ia masih berterusan hingga ke hari ini walaupun mungkin dalam bentuk yang berbeza.
Gabungan Kesturi
Contoh klasik adalah sebuah syarikat bernama Gabungan Kesturi Sdn Bhd. Banyak orang mungkin tidak tahu bahawa sehingga beberapa bulan lalu, syarikat ini adalah salah satu pemegang saham utama syarikat media terbesar di negara kita iaitu Media Prima Bhd.
Gabungan Kesturi ini adalah syarikat proksi Umno. Tetapi Ini bukanlah hal yang memeranjatkan. Banyak parti politik anggota Barisan Nasional (BN) mempunyai syarikat media. MCA, misalnya masih menguasai akhbar bahasa Inggeris, The Star.
Apa yang luar biasa mengenai Gabungan Kesturi adalah untuk satu jangka masa yang panjang - dari 2004 hingga 2019 - ia diuruskan oleh dua orang eksekutif GLC, iaitu Datuk Shahril Ridza Ridzuan dan Datuk Abdul Rahman Ahmad.
Shahril sekarang Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah). Sebelum itu dia adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Abdul Rahman pula baru saja tamat kontrak sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan kini menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad.
Mereka ini dianggap “wunderkinder” (budak-budak cerdik) zaman keruntuhan empayar perniagaan Bumiputera akibat Krisis Kewangan Asia 1997-98.
Mereka dilantik mengurus aset-aset yang diambil alih atau diambil balik oleh kerajaan daripada beberapa orang usahawan Bumiputera. Ini termasuklah aset Renong-UEM, Naluri Berhad dan Realmild Sdn Bhd.
Antara aset tiga kumpulan Bumiputera tersebut adalah Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), New Straits Times Press dan MRCB.
Ketua kepada Shahril dan Abdul Rahman adalah Tan Sri Mohamed Yakcop seorang “survivor” politik dan korporat yang luar biasa. Dia dikaitkan dengan kerugian RM30 bilion duit Bank Negara dalam perniagaan tukaran asing pada awal tahun 1990-an.
Dua Alam
Yang menjadi persoalan dengan Shahril dan Abdul Rahman adalah ketika mereka menyandang jawatan tinggi GLC, mereka juga menjadi penama (proxy) Umno dalam Gabungan Kesturi mulai 21 Jun 2004, iaitu permulaan pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Maksudnya, Shahril dan Abdul Rahman menjadi makhluk dua alam dunia korporat dengan menjadi penama Umno Umno dan pada masa yang sama mereka juga menguruskan GLIC/GLC.
Malah mereka kekal mewakili Umno dalam Gabungan Kesturi sehingga selepas Pilihan Raya Umum 2018 di mana Pakatan Harapan (PH) menewaskan BN. Mereka berhenti hanya pada 11 Februari 2019.
Pada 18 Oktober 2019, Gabungan Kesturi ditukar menjadi Synergy DSI Capital Sdn Bhd dengan pemegang saham utamanya Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim. Dia adalah Ahli Parlimen BN Kuala Selangor dan antara orang kuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Yang lebih menarik dan mengejutkan adalah Gabungan Kesturi juga mempunyai saham dalam Ultra Kirana Sdn Bhd dengan rakan kongsi terdiri daripada Wan Quoris Shah Abdul Ghani dan Harry Lee Vui Khiun. Wan Quoris Shah dikaitkan dengan kepimpinan Umno zaman Najib.

Syarikat Ultra Kirana ini dikatakan sangat beruntung kerana mendapat hasil mudah melalui kontrak Kementerian Dalam Negeri bagi memproses visa pelancong dari China.

Rasuah

Ultra Kirana menjadi bahan berita sensasi apabila pada 26 Jun tahun lalu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima rasuah lebih S$4.2 juta (kira-kira RM12.6 juta) daripadanya.

Sehari kemudian, Ahmad Zahid didakwa pula di Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan 33 pertuduhan menerima rasuah RM42.7 juta daripada Ultra Kirana. Dia mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Dalam erti kata yang lain, Ultra Kirana didakwa terbabit memberi rasuah kepada Ahmad Zahid pada ketika Shahril dan Abdul Rahman menjadi penama Umno dalam Gabungan Kesturi.

Walaupun kes ini masih dibicarakan, namun pembabitan Shahril dan Abdul Rahman sebagai penama Umno dalam Gabungan Kesturi selama 15 tahun menimbulkan banyak persoalan kerana pada masa yang sama mereka juga pengurus GLC.

Dilema moral bagi kedua-dua mereka dan kerajaan PH adalah bagaimana hendak menjustifikasikan penerusan peranan mereka dalam GLIC dan GLC. Itu pun kalau isu moral penting kepada semua yang terbabit.

Dalam konteks semasa, hal ini boleh dihubungkaitkan dengan apa yang sedang berlaku, yang melibatkan bekas Menteri Kewangan Kedua era BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Johari yang berupa Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan sedang terlibat dengan usaha mengambil alih dan menyusun semula perniagaan perbadanan awam, GLC dan syarikat media.

Peranan Johari ini perlu disiasat dan difahami dalam konteks bahawa PH sendiri tidak menggalakkan pemimpinnya terbabit dalam pengurusan GLC dan GLIC.

Semasa berkhidmat dengan kerajaan BN, Johari terbabit dengan banyak “business deals” yang melibatkan kepentingan awam dan jumlah wang yang besar.

Antaranya adalah penswastaan tapak Penjara Pudu kepada UDA ketika dia menjadi pengerusi perbadanan tersebut. Tanah itu kemudiannya diserahkan kepada Ecoworld Berhad untuk dimajukan. Ecoworld dikepalai oleh Tan Sri Liew Kee Sin.
Johari juga terlibat dengan penjualan dan pembangunan tanah UDA seluas 9.5 ekar di Tanjong Tokong, Pulau Pinang, yang membabitkan Ideal Property Group milik Tan Sri Alex Ooi Kee Liang.
Maklumat yang saya peroleh mengatakan Ideal telah membina 2,000 unit apartmen mampu milik dan memulangkan 400 unit kepada UDA untuk dijual kepada setinggan Bumiputera sekitar kawasan itu.
Sumber Umno mengatakan terdapat 1,000 keluarga setinggan di situ tetapi hanya 400 dapat ditempatkan di projek UDA-Ideal. Ini isu lama di bawah pemerintahan BN.
Sebagai Menteri Kewangan Kedua zaman Najib, Johari terlibat dengan banyak urusan jual beli hartanah oleh kerajaan serta pelaburan yang membabitkan berbilion ringgit.
Kesimpulannya, kerajaan PH perlu memikirkan semula situasi seperti ini dan, sekiranya didapati ada kes, hendaklah membuat pemeriksaan forensik seperti yang telah dilakukan terhadap banyak individu, syarikat, agensi dan perbadanan sejak ia mengambil alih pentadbiran.
Nota Kaki: Setelah membeca tulisan saya di Sinar Harian, seorang bekas Ahli Lembaga Pengarah Media Prima Bhd menghantar pesanan WhatsApp mengenai dua perkara.
Pertama, peranan berbentuk politik yang membabitkan Shahril dan bekas Pengerusi SME Corporation, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid, dalam Gabungan Kesturi dan kedua mempertahankan Abdul Rahman sebagai “orang baik dan profesional tulen”. Saya ambil maklum.
Mengenai pembabitan Mohamed Al Amin dalam politik Umno/BN saya tahu sangat. Dia sahabat Najib. Saya bertembung dengan beliau bersama bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan beberapa orang lagi sahabat Najib di Langkawi ketika kempen Pilihan Raya Umum 2018.

Mereka di pulau itu berkempen menyekat calon PH, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ketika itulah Irwan memperkenalkan tarian ala burung cenderawasih jantan mengawan dengan berkasut merah.
Wallahuaklam.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.