https://critoxium.com/shop/

Terkini

Saya lebih suka derma Arab kerana tidak mahu terhutang budi, kata Najib

KUALA LUMPUR: Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau lebih suka sumbangan politik daripada kerabat diraja Arab Saudi kerana tidak mahu dikaitkan dengan entiti tempatan, khasnya sektor korporat menjelang pilihan raya umum 2013.

Bekas perdana menteri itu yang kehilangan kuasa selepas PRU pada Mei 2018, berkata beliau memerlukan dana untuk menyokong 3 juta ahli Umno dan kerajaan Barisan Nasional ketika itu.

“Saya mahu sumber pendapatan yang membuatkan saya tidak perlu bergantung kepada sesiapa. Saya lebih selesa jika tidak menerima sumbangan korporat kerana saya tidak mahu terhutang budi kepada sesiapa,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh peguamnya Harvinderjit Singh.

Peguam itu meminta penjelasan Najib kerana pihak pendakwaan mencadangkan kepada ahli Parlimen Pekan itu yang beliau memerlukan wang untuk membeli undi bagi kekal berkuasa.
“Jadi, saya lega mendapat sumbangan kerabat diraja Arab berbanding penyumbang korporat tempatan,” kata Najib sambil menambah pemimpin terdahulu yang menerajui Umno dan kerajaan BN turut menerima dana politik.

Beliau yang dilantik sebagai perdana menteri dari April 2009 hingga Mei 2018, berkata sumbangan itu turut digunakan untuk publisiti dan menyokong 222 kawasan Parlimen.

Najib yang merupakan saksi pembelaan pertama, berkata beliau tahu sumbangan itu dimasukkan ke akaunnya dari 2011 hingga 2013 disebabkan surat daripada kerabat diraja itu.

“Berdasarkan surat itu, saya percaya wang itu datang daripada pemerintah Saudi ketika itu Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud melalui pelbagai saluran.”

Tetapi, beliau berulang kali berkata tidak dimaklumkan mengenai jumlah wang secara khusus yang dimasukkan ke akaun banknya kerana ia diuruskan bekas ketua setiausaha sulitnya, Azlin Alias.

Pada 2011, bukti menunjukkan Najib menerima hampir AS$100 juta daripada Putera Faisal dan Kementerian Kewangan di Riyadh, serta pada 2012, beliau menerima AS$270 juta daripada Putera Faisal dan Blackstone Asia Real Estate Partners.

Pada 2013, beliau didakwa menerima AS$681 juta, tetapi memulangkan AS$620 juta selepas PRU tahun itu.

Kes pendakwaan ialah semua wang itu datang daripada 1MDB selepas melalui pelbagai akaun bank di luar negara.

Pihak pendakwaan juga berkata, Najib menutup akaunnya pada Ogos 2013 selepas tidak lagi menerima wang yang dikatakan sumbangan Arab dan baki RM162 juta dipindahkan ke akaun baru.

Bagaimanapun, ia hanya mempunyai baki RM848,000 daripada RM162 juta setakat September 2014.

Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Beliau turut berdepan 3 pertuduhan pengubahan wang dan 3 pertuduhan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dana SRC International ke akaunnya.

Pihak pendakwaan berkata, Najib tahu RM42 juta itu datang daripada SRC International, di mana RM32 juta digunakan untuk membayar Putra Perdana Construction Sdn Bhd dan Permai Binaraya Sdn Bhd pada Disember 2014.

Sebanyak RM10 juta lagi yang dimasukkan ke akaunnya pada Februari 2015 digunakan untuk membayar individu dan parti politik.

Pihak pembelaan berkata, RM42 juta ialah sebahagian daripada sumbangan Arab dan pegawai perbankan yang bekerjasama dengan ahli perniagaan Low Taek Jho untuk memanipulasi akaunnya.

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.