https://critoxium.com/shop/

Terkini

Lebih 2 juta dijangka kunjungi P Pinang hujung minggu ini

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menjangkakan lebih 2 juta pengunjung akan datang ke negeri itu bermula Jumaat ini hingga Ahad bagi menyambut perayaan Thaipusam dan sambutan Chap Goh Meh peringkat Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, T Narenasagaran berkata, berikutan itu, lebih 20 jalan di sekitar kawasan daerah Timur Laut akan ditutup secara berperingkat, ditutup sepenuhnya dan dilencongkan bagi memberi laluan sambutan 2 perayaan itu.

“Bagi perayaan Thaipusam yang akan disambut pada Sabtu ini iaitu 8 Feb, jalan yang terlibat akan mula ditutup pada 6 pagi Jumaat bagi memberi laluan kepada perarakan Pedati Perak dan Pedati Emas dari kuil di Lebuh Queen serta Lebuh Penang hingga ke kuil di Jalan Air Terjun.

“Pedati Emas akan memulakan perjalanan pada pukul 6 pagi, manakala Pedati Perak pukul 7 pagi, kedua-duanya membabitkan perjalanan pergi kira-kira 6.6 kilometer yang dijangka mengambil masa lebih 12 jam,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, bagi perarakan pergi kedua-dua pedati itu akan melalui jalan Lebuh Queen, Lebuh Chulia, Gat Lebuh Chulia, Lebuh Victoria, Gat Lebuh Pragin, Jalan C.Y Choy, Jalan Magazine, Jalan Datuk Keramat, Lorong Baru, Jalan Utama dan Jalan Air Terjun.

Narenasagaran berkata perarakan balik pula pada 9 Feb iaitu Ahad dan akan melalui 29 jalan utama bermula di kuil di Jalan Air Terjun dan berakhir di Lebuh Queen dan Lebuh Penang, antara jalan yang terlibat ialah Jalan Gotlieb, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Contoment, Jalan Macalister, Jalan Anson, Jalan Burma, Jalan Transfer, Jalan Sri Bahari, Jalan Penang, Lebuh Chulia, Lebuh China, Lebuh Pasar serta Lebuh Pantai.

“Bagi perarakan balik Pedati Emas akan memulakan perjalanan pada 6 petang manakala Pedati Perak sejam selepas itu membabitkan perjalanan sepanjang 9 kilometer dan lebih 12 jam. Semua jalan terlibat akan dikawal sepenuhnya oleh pegawai dan anggota polis dibantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),” katanya.

Katanya, orang ramai yang ingin melalui kawasan terbabit pada hari berkenaan dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan merancang perjalanan mereka serta mengikut arahan pihak polis yang bertugas di semua jalan berkenaan.

Beliau berkata pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Masjid Negeri, Jalan Air Itam dan Pusat Bandar atau Lebuhraya Jelutong, Jalan Pengkalan Weld, Lebuh Light, Lebuh Farquhar dan Pusat Bandar.

“Seramai 1,300 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan selama 24 jam bermula 7 Feb hingga 9 Feb itu, kami menganggarkan kehadiran lebih dua juta penganut Hindu, termasuk pelancong tempatan dan luar negara pada sambutan Thaipusam di negeri ini,” katanya.

Narenasagaran turut menasihatkan orang ramai agar memberi kerjasama dan mematuhi arahan polis, tidak memakai barangan kemas, orang tua serta kanak-kanak tidak berada di depan pedati sepanjang perjalanan kerana bimbang terjatuh dalam kelompok orang yang ramai dan tidak melakukan kekacauan seperti membuat bising, mabuk atau cuba mencederakan sesiapa.

Menurutnya, pihaknya turut membuka sebuah Pusat Kawalan Operasi Polis di Rumah Peranginan Persekutuan di Jalan D S Ramanathan bermula 7 hingga 10 Feb bagi melancarkan penugasan sepanjang sambutan perayaan Thaipusam.

Sementara itu, katanya bagi sambutan Chap Goh Meh peringkat Pulau Pinang pula akan diadakan di Jalan Padang Kota lama pada Sabtu bermula 5 petang hingga 11 malam dan dijangka lebih 10,000 pengunjung akan menghadirinya.

“Majlis itu akan turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan barisan exconya serta jemputan-jemputan khas, antara aktiviti yang akan dijalankan ialah pertunjukan tarian kebudayaan Melayu, Cina dan India, tarian singa, baling limau serta jamuan makan,” katanya.

Beliau berkata berikutan itu, beberapa jalan akan ditutup iaitu Jalan Tun Syed Sheh Barakbah/ persimpangan Jalan Padang Kota Lama hingga ke bulatan jam besar bermula pukul 5 petang hingga selesai manakala Jalan Padang Kota pula ditutup sepenuhnya bermula 12.01 tengah malam 8 Feb (Sabtu),” katanya dan menambah seramai 70 pegawai dan anggota polis terlibat dalam penugasan itu.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.