https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kenapa perlu bersedih di hadapan perompak mandat rakyat?

Oleh Arif Atan

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyifatkan Pakatan Harapan (PH) terus akan menyelamatkan dan mempertahankan mandat rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, pihaknya sedang menguruskan pelbagai kemungkinan yang berlaku ekoran pembubaran Kabinet dan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya ingin ingatkan alam ketidaktentuan boleh jadi macam-macam tetapi kami sedang menguruskannya.

“Orang bertanya saya: Tidak sedihkah? Saya jawab kenapa perlu bersedih di hadapan perompak mandat rakyat?

“Saya perlu beri jaminan dengan tenang kepada rakyat: ‘Kami bersama mandat rakyat dan rakyat perlu tolak golongan pintu belakang!'” ujarnya dalam satu kenyataan kelmarin.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, dinamika politik di dunia yang serba tidak ketentuan adalah hakikat yang perlu diurus bukan disalahkan.

“Dari sudut politik, ia belum berakhir kerana kegagalan kudeta hari Ahad (23 Februari) sepatutnya membawa perompak mandat rakyat hari keesokannya sebagai kerajaan kononnya.

“Kami dari PH terlantik atas mandat rakyat. Sepanjang dua tahun tiada henti fitnah dan pembohongan bernuansa kaum dan agama sempit dimainkan.

“Anggota Kabinet lalu mengenali saya melalui sikap dan keputusan pentadbiran yang dibuat. Tiada kompromi pada budaya ketaksuban dan kejumudan dalam pimpinan saya termasuk kipas mengipas,” katanya dipetik Mingguan Amanah.

Apa yang beliau inginkan ialah pelaksanaan gagasan Rahmatan Lil Alamin (RLA) yang sudah menjadi dasar pentadbiran negara.

“Saya hanya menuntut dasar RLA difahami sebagai ikatan anda dengan kepimpinan saya. Ada yang terkilan dengan keputusan saya tapi ia bukan kerana peribadi. Saya tak pernah ambil hati kepada sesiapa atau niat menyakitkan hati sesiapa.

“Hanya saya terkilan, dasar RLA belum masak sepenuhnya untuk dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia. Saya hanya berkecil hati jika sesuatu yang baik tidak dapat saya penuhi,” jelasnya.
Beliau menyifatkan pentadbiran Islam perlu terus kekal dinamik dan progresif kerana hal tersebut adalah tuntutan syariat.

“Saya hanya membekalkan alat pentadbiran semata-mata. Terima kasih sekali lagi kerana bersama menjayakan. Pencapaian tidak boleh dipadam walaupun ada yang tidak menyukainya,” tambah beliau lagi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.