https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mengapa Anwar gagal ambil kesempatan?

Oleh Dinsman

Ahad dan Isnin 23 dan 24 Februari adalah dua hari yang penuh ketegangan dan tanda tanya di kalangan rakyat Malaysia – apakah yang akan terjadi seterusnya dalam politik Malaysia, kerana pelbagai perubahan sedang berlaku.

Ia bermula dengan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Jumaat 21 Februari malam.

Mesyuarat itu membincangkan isu peralihan kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti yang telah dipersetujui oleh Majlis Presiden PH sebelum PRU14 bahawa Dr Mahathir akan menjadi Pedana Menteri untuk tempoh dua tahun sahaja.

Walaupun dalam sidang media yang diadakan selepas mesyuarat tengah malam itu Dr Mahathir mengumumkan bahawa semua Presiden parti-parti PH bersetuju sebulat suara menyerahkan kepadanya menentukan bilakah tarikh dia akan berundur dan menyerahkan kuasa kepada Anwar, namun perbincangan mengenainya dikatakan telah berlaku dengan agak tegang, kerana ada yang menuntut supaya Mahathir menyatakan tarikh itu.

Anwar sendiri mengakui dalam sidang media itu bahawa mereka semua bersetuju memberi kebebasan itu kepada Dr Mahathir, iaitu selepas persidangan Apec pada November ini.

Tiba-tiba pada Ahad itu berlaku suatu agenda besar yang tidak diduga melainkan oleh mereka yang terlibat. Perdana Menteri Dr Mahathir dikatakan mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk menukar kerajaannya daripada Pakatan Harapan yang terdiri daripada Keadilan, DAP, Bersatu dan AMANAH kepada Pakatan Nasional yang terdiri daripada Bersatu, Umno, Pas, sebahagian dari Keadilan dan beberapa lagi.

Bersatu mengumumkan keluar dari PH. Azmin Ali mengumumkan membawa 10 ahli Keadilan keluar parti, setelah Keadilan mengumumkan memecat keahlian dia dan Zuraida. PH kehilangan majoriti di Parlimen dan akan bertukar menjadi pembangkang, dan seterusnya.

Dalam media sosial pula heboh segolongan penyokong Umno dan Pas bergembira dengan sebaran berita yang mengatakan Malaysia akan kembali dikuasai oleh orang Melayu-Islam, manakala DAP akan kembali menjadi pembangkang.

Kemudian AMANAH membuat kenyataan menyokong Mahathir terus jadi Perdana Menteri. DAP pun membuat kenyataan yang sama. Anwar dilaporkan merayu supaya Mahathir terus menjadi Perdana Menteri. Manakala Mahathir pula meletak jawatan dan surat perletakan jawatannya disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong jam 1.00 tengahari itu. Dia juga meletak jawatan sebagai Pengerusi parti Bersatu.

Maka keadaan pun jadi semakin bercelaru. Berita dan cerita pun mula jadi macam-macam. Bercampur aduk dengan spekulasi dan manipulasi. Mengapakah Mahathir tiba-tiba letak jawatan?

Kenapa jawatan Pengerusi Bersatu pun diletaknya.

Dan tiba-tiba ada penjelasan mengatakan semua jawatan menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik dengan sendirinya terbubar apabila PM meletak jawatan. Malaysia pun tiba-tiba kehilangan kerajaan.

Dan kemudian Dr Mahathir berjumpa Yang di-Pertuan Agong. Agong dilaporkan menerima perletakan jawatannya dan lalu melantiknya menjadi Perdana Menteri Sementara (Interim) pula. Maka hebohlah pula orang memuji-muji Dr Mahathir sebagai satu-satunya Perdana Menteri bebas (tak ada parti) yang disokong oleh semua pihak di dalam Parlimen.

Daripada seorang Perdana Menteri berusia 95 tahun yang didesak oleh pimpinan parti-parti dalam pakatannya, PH, supaya menyatakan tarikh untuk berundur dan menyerahkan kuasa kepada seorang “Perdana Menteri menanti”, kini Dr Mahathir tiba-tiba bertukar menjadi seorang Perdana Menteri yang berkuasa penuh, tanpa dikawal oleh sesiapa yang menjadi rakan kongsi atau sekutunya, kerana dia kini tak ada lagi rakan kongsi dan sekutu yang berkongsi kuasa dengannya dalam mentadbir kerajaan. Dia kini ‘berkuasa penuh’ seorang dirinya.

Bagaimanakah itu boleh terjadi?

Dan kenapakah Anwar Ibrahim gagal mengambil kesempatan yang sangat berharga yang telahpun terbuka di hadapannya itu?

Berilah alasan dan kewajaran yang memang ada, pelbagai, kalau kita mencarinya. Tetapi kenapa hendak mencari alasan dan kewajaran yang tak perlu itu. Bukankah yang kita mahu dan yang Anwar mahu ialah kesempatan untuk menjadi PM8? Dan bukankah kesempatan itu sudahpun terbuka? Kenapa Anwar tidak memanfaatkan kesempatan itu? Aapakah Anwar masih menunggu jawatan Perdana Menteri itu dihulurkan kepadanya di atas ‘dulang emas’?

Belajarlah dengan Mahathir! Saya rasa Mahathir pun sedang ‘mengajar’ Anwar, dengan caranya tersendiri, supaya menjadi seorang strategis yang sentiasa siapsiaga, tajam rasafikir dan bersedia untuk menangkap peluang dengan secekapnya dan secepatnya, tanpa berfikir panjang dan menimbangkan pertimbangan itu-ini dengan penuh sopan santun dan “kesabaran tahap dewa” seperti yang dikatakan itu.

Ada pihak mengatakan cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Malaysua sudah ‘over’/terlepas. Habis. Tidak ada lagi. Dr Mahathir pun tidak lagi terikat dengan apa-apa perjanjian untuk menyerahkan kuasa atau jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Begitu mudah sekali kesempatan wujud dan kesempatan hilang. Kadang-kadang di luar kesedaran kita. Isu peralihan kuasa yang diperkatakan berbulan-bulan yang lalu tiba-tiba sahaja, tanpa dijangka oleh sesiapa, sudah menjadi tidak relevan lagi.

Dan banyak lagi isu-isu yang sudah menjadi tidak releven, padahal mingu lalu ia sangat relevan dan penting dalam percaturan politik kita.

Sekarang pun, waktu kolum ini ditulis, Selasa petang, Yang di-Pertuan Agong dikhabarkan sedang menginterviu seorang demi seorang Ahli Parlimen, untuk baginda mendapat maklumat terkini dan langsung daripada orang-orang berkenaan, sebelum baginda membuat keputusan siapakah yang akan dipercayainya untuk menerajui kerajaan Malaysia yang baru.

Berita dan cerita politik yang sedang beredar dan berputar sekarang sebahagiannya sangatlah mencemaskan dan memalukan. Maka kita berdoa sajalah agar yang baik-baik sahaja yang akan terjadi. Aamiin. Wallaahu a’klam!

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.