'Henti kucar-kacirkan parti' - Dr Daroyah
SHAH ALAM: Ketua Wanita PKR Selangor, Dr Daroyah Alwi menggesa agar segala usaha untuk mengkucar-kacirkan parti itu dihentikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa yang juga Timbalan Ketua Wanita Keadilan Pusat itu, berkata tindakan mengkucar-kacirkan parti sedikit pun tidak memberikan keuntungan kepada pihak yang berbuat demikian.
“Hentikan usaha mengkucar-kacirkan parti kerana ia tidak memberi sebarang keuntungan, malah bakal merugikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menegaskan pendirian terus komited dan kekal setia memperjuangkan idealisme perjuangan reformasi bersama PKR.
Katanya, sayap itu juga tetap kukuh dan tegas di atas landasan berprinsip selaras kenyataan Ketua Wanita Keadilan, Haniza Talha sebelum ini.
“Kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan selain tidak mencampuri kemelut yang berlaku di dalam Pakatan Harapan (PH).
“Ayuh anggota PKR di semua peringkat, bulatkan azam, perkukuh tekad dan rapatkan saf, juga perkemas muafakat untuk terus bekerja keras memelihara mandat dan amanah rakyat ini,” katanya.
Katanya, PKR Cabang Kapar yang diterajuinya pula akan terus dipimpin untuk setia menyokong, memberi komitmen dan menghormati mandat rakyat melalui dasar dan agenda pentadbiran Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Amirudin sebelum ini menzahirkan sokongan teguh terhadap pentadbiran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.-B/H
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.