https://critoxium.com/shop/

Terkini

Melihat Muhyiddin melakar sejarah, bukan bersajak

Oleh Al-Abror Mohd Yusuf

 Nampak benar tawaduk dan khusyuknya perdana menteri kesayangan ramai sekarang ini, Muhyiddin Yassin. Hari ini genap seminggu beliau menjadi perdana menteri. Dan tengah malam tadi - sebagai salah satu karomah kerajaan baru - harga minyak turun dengan ketara.

Hal ini tidak akan dapat difahami dengan jelas kecuali kita membaca dan menekuni pandangan-pandangan yang dilontarkan oleh ilmuan PAS. Maklumlah, selama berpuluh-puluh tahun jadi pembangkang, PAS sekarang sudah jadi kerajaan. Tentu banyak hujah dan dalil yang boleh disandarkan untuk menjustifikasi Perikatan Nasional (PN) ini.

Tawaduk dan ketelitian Muhyiddin dapat dilihat dengan jelas apabila beliau masih belum membuat sebarang pelantikan bagi mengisi jawatan dalam kabinetnya. Buat masa ini Muhyiddin bolehlah dianggap suatu keajaiban yang terlahir daripada 'Langkah Sheraton' yang keramat itu.

Buktinya, sebagai one man show, Malaysia tetap Malaysia seperti yang kita kenal. Kalutnya tetap sama, politiknya tetap berbelit, wakil-wakil rakyat tetap memikirkan tembolok sendiri dengan melacurkan nama kita - rakyat - dengan semahu-mahunya.

Cuma kecaman berbau perkauman daripada pengguna media sosial yang diragui ketulenannya sudah berkurangan. Ini juga salah satu karomah kerajaan baru.

Memahami kesibukan perdana menteri sekarang, mungkin kita boleh memberi cadangan kepada beliau mengenai nama-nama yang wajar diberi perhatian serius bagi dilantik sebagai menteri.

Kiasan ulama
 
Untuk jawatan timbalan perdana menteri, rasanya sangat wajar untuk Muhyiddin melantik tiga orang ke kedudukan itu. Ia penting untuk memastikan keadilan dan kestabilan kabinet. Lagi pun kerjasama dan ukhwah yang dipamerkan oleh Umno dan PAS kepada Bersatu perlu dihargai sebaiknya.

Apa yang lebih penting, jangan biarkan sama sekali Abdul Hadi Awang kembali ke laut buat masa ini. Negara memerlukan seorang pimpinan yang sebegitu. Memanglah beliau mengakui tidak kisah jika tidak terpilih dalam kabinet yang akan dibentuk.

Tetapi siapalah Abdul Hadi jika tidak berkias? Dan lekeh sangatlah Muhyiddin jika gagal membaca kiasan ulama berfikiran luas dan bertaraf antarabangsa itu.

Tokoh kedua yang mesti diangkat sebagai timbalan ialah tidak lain dan tidak bukan, Ahmad Zahid Hamidi. Pengalamannya menguruskan negara sangat banyak. Pernah menjaga Kementerian Dalam Negeri, tentu akan ada lagi pendedahan yang menggemparkan boleh kita cerap daripada ahli parlimen Bagan Datuk itu.
Tidaklah cukup akan Ahmad Zahid hanya mendedahkan bahawa pada nama Mahathir ada nama bapanya Iskandar Kutty.
 
Dengan adanya Abdul Hadi di kanan dan Ahmad Zahid di kirinya - sebagai timbalan - Muhyiddin berada di kedudukan paling selesa dan kukuh. Sementelah beliau merupakan anak ulama Johor, apa lagi yang lebih diperlukan untuk melengkapkan kerajaan ini selain adanya seorang intelek yang dikhabarkan berkali-kali bermimpi bertemu nabi - di kanan - dan tokoh Melayu berketurunan jawa yang berdampingan dengan ulama kasyaf - di sebelah kiri?

Lalu, siapa timbalan menteri yang ketiga - tanya kamu.

Siapa lagi kalau bukan bapa pembangunan kenderaan udara kita, Mohd Redzuan Md Yusof. Beliau merupakan salah seorang bekas menteri yang paling banyak disalahfahami.

Memiliki geliga yang luar biasa, ahli parlimen Alor Gajah itu sudah membuktikan kepintarannya selama berada dalam kerajaan sebelum ini. Idea-idea bernas beliau - terutama mencipta kereta terbang - selalu diketawakan.

Malah bukan saja Mohd Redzuan yang jadi bahan ketawa, sindiran serta lelucon itu dilimpahkan kepada kerajaan PH yang dipimpin Mahathir. Jenuh jugalah kabinet bersilat berkuntau menepis cacian itu. Tetapi Mohd Redzuan kekal tenang. Hinggalah akhirnya kerajaan PH tumbang.

Semasa peringkat awal kejatuhan kerajaan PH itu, lihatlah bagaimana beliau seakan-akan menjadi jurucakap rasmi kepada Bersatu yang dibawa Muhyiddin.

Dengan adanya tokoh dipanggil Pak Wan itu, imej dan wibawa kerajaan Muhyiddin akan dapat diangat tinggi. Setinggi langit.

Percaturan pintar
 
Lengkap tiga orang timbalan perdana menteri, maka bolehlah tokoh lain yang berjasa banyak kepada Muhyiddin disaring dan dilantik. Paling manis, peruntukkan 65 peratus kepada ahli parlimen Umno, 25 buat PAS dan selebihnya untuk dikongsi sesama Bersatu, MIC dan MCA.

Hal ini penting kerana ia boleh menggambarkan kebesaran jiwa perdana menteri untuk berkorban demi agama, bangsa dan negara tercinta. Ia juga suatu refleksi kepada percaturan pintar Bersatu di peringkat negeri-negeri.

Di Johor, misalnya, Bersatu mempamerkan kewibaan mereka dengan melepaskan jawatan menteri besar kepada Umno. Di Kedah - kalau bukan kerana orangnya ialah Mukhriz Mahathir - diyakini ia juga akan diisi oleh Adun Umno.

Di Perak pun ramai orang sudah berasa tempat Ahmad Faizal Azumu akan diisi oleh pemimpin Umno.
Di Melaka pula, ikutkan percaturan awal Adunnya yang akan menjadi ketua menteri. Tapi biasalah, kena berkorban juga.

Selepas menyumbang untuk meruntuhkan dominasi Umno dalam kalangan orang Melayu pada PRU14 lalu, apa lagi yang perlu dibuat oleh Bersatu selain menyumbang kerusi menteri besar mereka kepada - apa lagi kalau bukan - Umno?

Ahmad Faizal itu jangan pula dilupakan. Muhyiddin boleh membawa ahli parlimen Tambun itu ke Putrajaya. Daripada menjaga kerusi DUN yang dimenangi hanya dengan kelebihan 39 undi di Chenderiang baiklah beliau diberi peranan lebih besar, iaitu menjaga negara.

Dengan keunikan dan sikap Ahmad Faizal yang begitu dekat dengan seni, elok beliau diberi portfolio Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang bertanggungjawab dalam hal-hal seni, hiburan, radio, televisyen dan media.

Dalam suasana ekonomi dan sosial yang tegang sekarang, jenaka hiburan yang dapat melupakan seketika kesempitan hidup adalah apa yang sangat diperlukan rakyat negara ini sekarang.

Sejarah orang menang
 
Tidak wajar dilupakan Muhyiddin juga ialah memberikan tumpuan kepada individu berprofil tinggi seperti Dr Zakir Naik. Pendakwah itu bukan orang sembarangan. Dalam lembut wajah dan senyum lebarnya ada risiko yang mesti didepani kerajaan jika beliau diabaikan.

Tanpa perhatian yang cukup kepada isu-isu di sekitar Zakir dan orang yang dekat dengan beliau, Muhyiddin sangat mungkin berdepan dengan bara-bara marah dari sebelah utara. Silap hari bulan ada sajak-sajak merah dikirim untuk beliau.

PH sudah mempelajari hal itu secara pahit sekarang.

Di mana pula kedudukan ahli parlimen bukan Melayu - tanya kamu lagi.

Muhyiddin tidak perlu membuang banyak masa untuk memikirkan hal itu. Seperti bidalan Melayu, mereka umpama melukut di tepi gantang. Ada tak menambah, tiada tak mengurang. Ini kan kerajaan Melayu Islam?

Jika tidak bagaimana PN mahu menghapuskan lesen-lesen syarikat judi, menutup kasino, menyita kilang arak, menamatkan jualan minuman keras dalam pesawat udara MAS, memastikan pramugari bertudung dan hal-hal lain seperti yang diidamkan sesetengah ahli politik itu?

Untuk jawatan-jawatan lain, bolehlah Muhyiddin fikirkan perlahan-lahan. Ambil masa yang lebih lama pun tidak mengapa. Sambil-sambil itu beliau bolehlah menelaah semula deretan ucapan yang pernah disampaikan semasa berkempen untuk mengalahkan BN dulu.

Sejarah ditulis oleh orang yang menang. Yang kalah menulis sajak. Mana mungkin Muhyiddin nak kekal membaca sajak saja.

Nah, sekarang Muhyiddin sedang menulis sejarah bersama-sama Umno, PAS, MIC, MCA dan yang lain-lain.

AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang masih terasa manisnya air, kuih dan kata-kata dihidangkan semasa menemu bual Muhyiddin sebelum PRU14 lalu.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.