Muhyiddin paling banyak khianati saya, kata Mahathir
Berbanding Azmin Ali, bagi Dr Mahathir Mohamad, 'luka' lebih
dalam dirasainya berpunca daripada tindakan Muhyiddin Yassin yang
diberi kepercayaan menjadi presiden Bersatu selepas mereka diketepikan
dari Umno beberapa tahun lalu.
“Dia (Azmin) mempunyai agenda sendiri. Saya rasa dikhianati, paling banyak oleh Muhyiddin.
Beliau (Muhyiddin) merancang ini untuk masa yang lama dan kini dia berjaya,” katanya.
Terdahulu Mahathir ditanya sama ada beliau berasa marah atau tidak dengan tindakan Azmin yang memulakan gerakan bersama 10 ahli parlimen lain meninggalkan PKR Ahad lalu.
Ia membawa kepada pengumuman dibuat Muhyiddin bahawa Bersatu tidak lagi bersama gabungan PH dan akhirnya menjatuhkan kerajaan yang diasaskan pada 8 Mei 2018.
Untuk rekod sebelum ini Muhyiddin ialah
timbalan kepada Najib Razak yang menjadi perdana menteri sehinggalah
skandal 1MDB didedahkan, menyaksikan ahli parlimen Pagoh itu mengkritik
kepemimpinan Umno.
Perselisihan itu membawa kepada
penubuhan Bersatu yang kemudian dibawa menyertai PH. Gabungan itu
berjaya memperoleh sokongan majoriti pengundi semasa PRU14 lalu
membentuk kerajaan pusat, serta kebanyakan negeri.
Najib
kemudian didakwa di mahkamah atas puluhan tuduhan membabitkan rasuah,
pecah amanah dan salah guna kuasa. Kes itu sedang dibicarakan di
mahkamah.
Kata Mahathir, Muhyiddin juga melanggar perlembagaan parti Bersatu apabila melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi.
"Beliau
melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi Bersatu tanpa kehadiran
saya, yang mana ia sama sekali tidak sah sama sekali kerana tidak
mengikut perlembagaan.
"Tapi bagi beliau, ia tak penting.
"Sekarang dia mendakwa dia adalah ketua Bersatu, tapi saya masih pengerusi Bersatu," katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.