Pakatan Harapan masuk jerat undi percaya PAS
“PAS memulakan rancangan untuk membentangkan undi percaya bagi mencipta rasa tak percaya dalam PH, untuk membuat mereka syak wasangka, sampai mereka retak menunggu belah” kata Mohamad hari ini di Pagoh.
Rakaman ucapan itu dimuat naik di akaun Facebook Umno Online.
Katanya lagi, itu adalah sebab utama kejatuhan kerajaan PH yang mula berkuasa pada 2018.
“Disebabkan usul undi tidak percaya itu, mereka (parti PH) mula syak wasangka antara satu sama lain.”
Mohamad hadir di majlis Persidangan Umno Bahagian Pagoh, hari ini. Pagoh adalah kawasan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mengangkat sumpah pada 1 Mac susulan kejatuhan kerajaan PH.
PH dijatuhkan selepas komplot dirancang kem Muhyiddin dalam Bersatu, kumpulan bekas pemimpin PKR diketuai Mohamed Azmin Ali, Umno dan PAS yang mengheret negara ke krisis politik pada hujung bulan Februari lalu.
Pada awal Februari, PAS mengumumkan rancangan untuk membentangkan usul percaya kepada pentadbiran Dr Mahathir pada sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada Mac.
Walaupun mereka adalah parti pembangkang, PAS berkata undi percaya itu bagi menamatkan isu peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
PAS berkata isu peralihan kuasa itu menyebabkan ketidakstabilan negara dan undi percaya kepada Dr Mahathir akan mengembalikan keyakinan kepada pentadbiran perdana menteri.
Tetapi, Mohamad, hari ini berkata sebenarnya “tidak ada mana-mana parti pembangkang yang mahukan undi percaya (kepada perdana menteri)”.
Tetapi, PH masuk perangkap menyebabkan kemelut antara kem yang mahukan Anwar menjadi perdana menteri dan kem mahu Dr Mahathir terus mentadbir sehingga habis penggal bertambah buruk.
Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari adalah pemula kepada krisis politik yang menyebabkan Dr Mahathir meletak jawatan dan jatuhnya kerajaan PH.
Pada mesyuarat itu, semua parti PH bersetuju yang Dr Mahathir akan menetapkan masa peralihan kuasa akan berlaku yang dijangka berjalan selepas Sidang Kemuncak Apec pada November.
Tetapi, komplot antara Azmin, Muhyiddin, Umno dan PAS berterusan selepas mesyuarat itu, dan wujud dakwaan ia dimulakan untuk menghalang Anwar daripada berkuasa.
Selepas Dr Mahathir meletak jawatan dan kerajaan PH jatuh, Yang Di Pertuan Agong kemudiannya melantik beliau sebagai perdana menteri sementara.
Agong kemudian memanggil semua ahli Parlimen bagi menentukan sokongan calon perdana menteri dan pembentukan kerajaan baharu.
Walaupun ahli Parlimen PH dan Warisan Sabah menyokong Dr Mahathir menjadi perdana menteri, ahli Parlimen Umno, PAS, Bersatu, Gabungan Parti Sarawak menyokong Muhyiddin.
Agong menitahkan Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen dan dinamakan sebagai perdana menteri.
Dr Mahathir menggelarkan Muhyiddin sebagai pengkhianat.
Mengulas dakwaan Dr Mahathir bahawa Umno dan PAS bersubahat dengan Muhyiddin, Mohamad berkata Umno bukan pengkhianat.
“Kita tak khianat sesiapa dan kita bukan punca ‘rampas kuasa’, tetapi sebagai pembangkang kita buat apa yang perlu kita buat.
“Jika kita benarkan mereka terus berkuasa tiga tahun lagi, habislah orang Melayu dan Islam di negara ini,” katanya.
Mohamad juga menjelaskan walaupun Umno bersama PAS dalam Muafakat Nasional, ia bukan jaminan ia akan berterusan kerana kepentingan Umno perlu diutamakan.
“Benar kita ada Muafakat Nasional tetapi ia bukan jaminan. Kita bekerja dengan kawan kita tetapi parti kita tetap parti kita.
“Kita perlu bekerja kuat untuk Umno, jaga rahsia sendiri walaupun dalam Perikatan Nasional, kita tak boleh kongsi rahsia kita,” katanya.
Muafakat Nasional ditandatangani Umno dan PAS pada 14 September 2019 bagi mengukuhkan kerjasama politik selepas BN hilang kuasa pada PRU14
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.