https://critoxium.com/shop/

Terkini

Peja 'Kingmaker' di Perak?

Oleh Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Hampir seminggu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengunci mulut mengenai situasi politik dan kedudukan kerajaan negeri Perak, timbul desas-desus mengatakan beliau sedang menunggu jawatan Kabinet.

Tambahan pula beliau memang diketahui rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Namun, perubahan suasana politik baru-baru ini menunjukkan seolah-olah beliau berpihak kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8.

Sumber memberitahu, Ahmad Faizal atau Peja kini menjadi ‘kingmaker’ atau ‘pencatur utama’ politik di Perak.

Katanya, Muhyiddin sewajarnya perlu ‘membayar’ ketaatan Ahmad Faizal yang kononnya sanggup meninggalkan Tun Mahathir bagi menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Anda kena ingat Peja ini adalah anak angkat Tun M dan baik dengan Mukhriz, tetapi dalam kes ini dia (Ahmad Faizal) menyokong Muhyiddin.

“Dia (Muhyiddin) kena bayarlah ketaatannya itu, dia (Ahmad Faizal) sanggup meninggalkan Tun M untuk menyokong Muhyiddin menjadi PM, ‘Politics is a game of numbers,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut sumber itu, persoalan sama ada Perak akan membentuk kerajaan Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan (PH), semuanya adalah terpulang kepada Ahmad Faizal.

“Semuanya sekarang terpulang kepada Peja, dia sahaja yang boleh membuat keputusan. Muafakat Nasional ada 28 kerusi dan PH juga 28 (kerusi) serta dua Bersatu dan satu Bebas. Yang mana tiga ini ‘pergi’ itu yang akan menjadi Kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari, berkata tidak timbul isu membalas jasa atau ketaatan kepada Ahli Parlimen yang menyokong Perikatan Nasional.

“Spekulasi (balas jasa) itu, saya pun tidak tahu betul atau tidak, kerana ada juga orang kata dia (Ahmad Faizal) tidak dapat (jawatan).

“Kalau hendak kata balas jasa atau pun tidak, ada juga sekarang (ahli parlimen yang menyokong Perikatan Nasional) yang tidak dapat (jawatan),” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, barisan EXCO masih meneruskan tugasan seperti biasa selagi tiada keputusan rasmi mengenai kedudukan kerajaan negeri.

“Kita (EXCO) masih menjalankan tugas, selagi tidak ada pelantikan baru daripada Tuanku Sultan (Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) bermakna kerajaan masih ada,” katanya.-B/H

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.