Satu dunia tahu ini rampasan kuasa
KUALA LUMPUR – Sama ada mengikut prosedur
atau pun menerusi undi, krisis politik yang melanda negara sehingga
membawa kepada pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana
Menteri disifatkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai rampasan kuasa.
Beliau berkata bukan sahaja rakyat
Malaysia mengetahui gerakan ini malah seluruh dunia yang menyaksikannya
mampu menterjemahkan apa yang telah berlaku sejak minggu lalu.
“Orang yang berfikir bukan hanya di
sini, seluruh dunia dia tahu ini (pembentukan kerajaan dan pelantikan
Perdana Menteri baru) satu rampasan (kuasa) sama ada ikut prosedur,
sama ada ikut undi ia rampasan,” katanya ketika Majlis Zikir Selawat Nuril di kediamannya.
Beliau juga mengakui proses peralihan
kuasa yang sepatutnya berjalan lancar untuknya gagal akibat pengkhianat
yang dilihat lebih mengejar kuasa dan wang berbanding prinsip dan janji.
“Kita mulai lentur hadapi kesukaran bila kita terpukau dengan kilauan kuasa dan harta, ini cabaran besar kita.
“Semalam kamu setuju kemudian hari ini kamu tukar sebab apa? Ugutan, wang?”soal beliau.
Namun Anwar berkata beliau tetap tenang menghadapi perubahan drastik ini dan menganggapnya sebagai ujian.
Beliau menutup ucapan majlis yang
berlangsung di kediamannya dengan memberi peringatan bahawa umat Islam
yang beriman perlu berpegang dengan janji.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga berharap agar penyokongnya bertenang.
“Ramai orang kata Anwar pura-pura senyum. Saya tidur lena, makan lalu.
“Ingat kita orang beriman kena pegang pada janji, faham, faham, tidak faham sudah,” katanya lagi.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.