https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tun Mahathir akan dipecat daripada Bersatu ?

DR Mahathir Mohamad menjangkakan beliau akan dipecat daripada Bersatu, parti yang diasaskannya pada 2016 selepas keluar Umno.

“Majoriti dalam parti itu sudah menolak saya, jadi mereka boleh pecat saya,” katanya pada sidang akhbar di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur pagi ini.

Dr Mahathir meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu dan perdana menteri pada Isnin lalu, ketika parti itu yang diketuai presidennya Muhyiddin Yassin, Umno, PAS dan kumpulan bekas ahli Parlimen PKR di bawah Mohamed Azmin Ali, sedang merancang membentuk pakatan baharu.

Bersatu pada mulanya menolak peletakan jawatannya, tetapi kemudian menerimanya apabila perebutan siapa yang bakal menjadi perdana menteri menjurus kepada Dr Mahathir vs Muhyiddin.
Muhyiddin turut melantik dirinya sebagai pengerusi Bersatu.

Muhyiddin mendakwa mendapat sokongan 114 daripada 222 ahli Parlimen, dan dilantik sebagai perdana menteri ke-8 oleh Yang di-Pertuan Agong semalam.

Pagi ini, Dr Mahathir dan Pakatan Harapan (PH) turut mendakwa mendapat sokongan 114 ahli Parlimen, susulan deklarasi berkanun yang ditandatangani malam tadi, yang menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Muhyiddin dijadualkan mengangkat sumpah di Istana Negara pada 10.30 pagi ini, tetapi Dr Mahathir dan PH tidak akan menghadirinya.

Ditanya adakah beliau menyesal meletak jawatan pada Isnin lalu, Dr Mahathir berkata beliau tiada pilihan.

“Saya tidak ada pilihan kecuali letak jawatan. Saya tidak bersedia untuk bekerjasama dengan Umno, tetapi Muhyiddin bersedia.

Bersatu menyertai DAP, PKR dan Amanah untuk membentuk PH pada 2016, dan pada 2018, mereka menggulingkan kerajaan Barisan Nasional, mengakhiri pemerintahan satu parti di Malaysia selama enam dekad

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.