https://critoxium.com/shop/

Terkini

Warkah terbuka untuk Mufti Perlis


Oleh Manan Razali
 
Assalamu’alaikum Ustaz..
 
Saya rasa tidak perlulah saya perkenalkan diri saya kepada Ustaz. Kita sefikrah dan saling mengenali sejak Ustaz belum jadi Mufti lagi ketika sering dijemput dan diuruskan oleh sahabat-sahabat di KL untuk datang menyampaikan kuliah di sini sekitar 15 - 18 tahun lepas. Bersama sahabat-sahabat ini juga, kita akan bertemu dan berbincang di rumah-rumah mereka mengenai isu-isu semasa pada malam sebelum Ustaz sampaikan kuliah keesokkan paginya. Demikianlah sedikit sebanyak latar belakang umum kita bersama yang Ustaz sedia maklum.
 
Sejak kebelakangan ini, saban hari saya lihat dan baca Ustaz membuat berbagai-bagai kenyataan politik memuji dan menyanjung tindakan Muhyiddin Yassin (MY) menarik keluar parti Bersatu keluar dari PH untuk bekerjasama dengan Umno dan Pas menubuhkan kerajaan pintu belakang yang baru.
 
Ustaz sedia maklum saya bukan seorang ahli politik. Sebaliknya, hanya pendokong sunnah yang diajar oleh sahabat-sahabat dan guru-guru sunnah yang lebih berilmu di kalangan kita termasuk Ustaz sendiri, agar sentiasa mendahulukan Al-Qur’an dan As-Sunnah yang berpandukan kepada hadis-hadis sahih dalam membuat segala penilaian sebagai panduan hidup, baik dari aspek yang berkaitan urusan ibadah dan juga segala-gala urusan lain.
 
Maka dengan ilmu cetek yang ada pada diri saya dalam kefahaman inilah yang membuat saya rasa amat terpanggil untuk menulis warkah ini di media sosial bagi mengimbangi kenyataan-kenyataan umum Ustaz di pentas yang sama mengenai isu-isu politik yang bagi saya adalah mengelirukan dan membuat saya musykil jika ia menepati prinsip Islam sebenar dan tauladan-tauladan dari sunnah Nabi junjungan kita, Muhammad (saw).
 
Saya lakukan begini agar para pembaca dapat membuat penilaian mereka sendiri mengenai hal ini. Samada saya betul atau tidak, biarlah para pembaca sendiri yang menilaikan dan agama benar kita yang menentukan.
 
Saya mulakan dahulu dengan kenyataan-kenyataan umum yang saya kutip dari FB Ustaz sendiri, beberapa video ucapan Ustaz, dan temubual Ustaz dengan Astro Awani semalam (Selasa 11 Mac 2020, sekitar jam 2.30 tengahari) yang saya olah dalam bahasa saya sendiri. Ustaz menyatakan bahawa :
 
1. Kerajaan PH sebelum ini, seolah-olahnya tanpa sekatan, telah membiarkan berbagai-bagai isu dan polemik berkaitan agama, bahasa dan hal-hal senstif lain ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu hingga rakyat menjadi resah dan marah. Keadaan ini dibiarkan berpanjangan tanpa apa-apa tindakan tegas untuk mengawalnya. Sepatutnya keadaan ini ditangani segera bagi mententeramkan kemarahan rakyat. Ia tidak boleh dibiarkan berterusan kerana akan mengakibatkan kemudharatan besar kepada rakyat dan negara.
 
2. Oleh kerana kerajaan PH gagal menangani situasi ini dengan baik, maka adalah wajar bagi MY dan kumpulannya melancarkan “Ops Langkah Sheraton” untuk merampas kuasa kerajaan mengikut laluan pintu belakang bagi mengatasi kemelut ini dengan menubuhkan sebuah “all-Malay government” dengan membuang barah DAP keluar dari kerajaan. Dengan berjayanya misi ini, maka Ustaz kini menyeru rakyat (khususnya orang-orang Melayu) supaya memberi peluang kepada MY dan kerajaan pintu belakangnya untuk melaksanakan tugas mereka dengan baik.
 
3. Ustaz kerap mengingatkan kita bahawa setelah seorang pemimpin itu memperolehi kuasa, dia ditaati dan dipatuhi sehinggalah terbukti dia menyuruh kepada perkara dosa atau zalim. Selagi tidak berlaku, kita wajib mentaati pemerintah sekalipun kita tidak suka. Kemudian Ustaz akan susuli dengan hadis berikut dari baginda Nabi (saw) : “Mendengar dan mentaati (pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci, selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
 
4. Ustaz pernah berucap secara umum dan ucapan ini dipetik oleh media-media sosial yang kemudiannya tersebar meluas di internet pada tanggal 17 Februari 2010 bahawa tindakan wakil rakyat melompat parti adalah berdosa dalam agama kerana mengkhianati kepercayaan dan tidak menghormati keputusan rakyat.
 
Hujah sanggahan saya terhadap kenyataan dan pendirian Ustaz bukan bertujuan politik. Sebaliknya, saya melihatnya dari perspektif agama kerana apa yang saya inginkan ialah kebenaran. Apa yang saya sentiasa bayangkan ialah bagaimanakah agaknya Nabi (saw) dan para sahabatnya yang paling unggul dan akrab dengannya akan bertindak dalam situasi krisis politik seperti ini.
 
Pertama-tama sekali, kita bersetuju tanpa apa-apa pertikaian bahawa Islam adalah agama yang mendukung prinsip-prinsip suci yang sangat selari dengan fitrah manusia dalam aspek-aspek hubungan dengan Rabb Pencipta kita dan juga hubungan sesama manusia.
 
Islam memerintah kita sentiasa berlaku adil kerana ia lebih hampir kepada taqwa, dan taqwa adalah passport untuk masuk ke syurga. Maka ini dengan secara tidak langsung bermakna sesiapa yang tidak berlaku adil akan menghadapi masalah besar di akhirat kelak kerana passport taqwa itu tidak mungkin diperolehinya.
 
Saya turunkan di sini dua potong ayat yang sangat mahsyur tentang bab keadilan yang kerap dibaca dan diucap oleh golongan agamawan. Tetapi saya kurang pasti jika mereka benar-benar faham maksud dan tuntutannya :
 
"Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."
[Al-Maaidah (5) : 8]
 
"Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu."
[An-Nisaa (4) : 135]
 
Isu yang paling besar dalam krisis politik kita hari ini ialah berkaitan dengan perbuatan mungkir janji dan khianat terhadap perjanjian yang telah disepakati di kalangan parti-parti komponen yang terlibat pada waktu mereka menubuhkan Pakatan Harapan (PH) dahulu untuk menghadapi PRU-14 sebagai satu gabungan. Seterusnya, mandat rakyat telah mereka perolehi apabila berjaya menumbangkan kerajaan kleptokrasi Umno yang telah menjarah dan menyamun khazanah negara sekian lama, terutamanya waktu negara berada di bawah pemerintahan Najib Razak sebagai PM-6 selama 9 tahun dari April 2009 hingga Mei 2018.
 
Dalam istilah agama, sesiapa yang berlaku khianat dan memungkiri janji, ia disebut zalim; dan zalim pula berlawanan dengan adil. Orang yang zalim dilaknat oleh Allah dan di akhirat kelak, nasibnya amat buruk.
 
Malangnya, MY telah tidak berlaku adil dalam hal ini. Dia telah memungkiri dan mengkhianati janjinya kepada rakan-rakan PH lain dan juga kepada rakyat yang telah memilih PH untuk menghalau parti penyamun Umno dari tampuk kuasa yang telah dipegangnya selama 61 tahun.
 
Persoalannya : Adakah perbuatan MY ini mendapat pengecualian dari prinsip Islam yang jelas melarang umatnya memungkiri janji dan berlaku khianat kepada pihak yang ia telah adakan sebuah perjanjian bersama?
 
Berdasarkan kefahaman saya, tidak terdapat apa-apa ayat dari Al-Qur’an dan kisah dari sirah Nabi (saw) yang merakamkan perbuatan baginda dan para sahabatnya pernah mengkhianati apa-apa perjanjian dengan golongan kafir musyrik dan ahli kitab. Saya percaya kejahatan mereka jauh lebih buruk dari orang-orang bukan Muslim yang ada di Malaysia sekarang. Tetapi itu pun Nabi tidak pernah berlaku tidak adil kepada mereka.
 
Musuh-musuh Islam di zaman Nabi benci kepada Islam walaupun setelah Nabi sampaikan Islam kepada mereka dengan sebaik-baiknya. Sebaliknya, golongan bukan Islam di Malaysia pula tidak memusuhi dan memerangi Islam, serta tidak melarang sesiapa dari mengamalkan agama ini dengan aman. Jauh perbezaan ini dengan musuh-musuh Islam yang hidup di zaman Nabi dan para sahabat dahulu.
 
Saya melilhat tindakan sebahagian dari mereka yang dikatakan telah bersikap kurang ajar kepada orang Melayu berpunca dari keadaan mereka yang langsung tidak memahami Islam kerana agama ini tidak disampaikan kepada mereka dengan baik dan berkesan.
 
Janganlah kita berdalih tentang ini. Kita lebih pentingkan bangsa dari agama. Kita biarkan mereka dengan cara mereka tanpa berusaha dengan sebaik-baiknya untuk menyampaikan dakwah dengan cara yang boleh memikat mereka. Kita lebih obses dengan fahaman salah bahawa Melayu itu Islam, dan Islam itu Melayu.
 
Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa sikap sebahagian besar dari kita hampir sama dengan sikap kaum Yahudi yang hidup beratus tahun di Madinah sebelum kedatangan Nabi. Mereka sedikitpun tidak merasa apa-apa keperluan untuk mengajak penyembah-penyembah berhala berbangsa Arab di sana untuk menyembah Allah kerana mereka berpendapat bahawa Allah adalah milik eklusif bangsa Yahudi. Bagi kaum Yahudi ini, bangsa Arab adalah bangsa yang tidak ada “class” di sisi Allah. Oleh itu, mereka tidak perlu didakwahkan. Biarkan saja mereka dengan kesesatan menyembah berhala kerana syurga hanya milik orang-orang Yahudi.
 
Saya lihat keadaan ini hampir serupa dengan mentaliti dan cara kita menjalankan kehidupan di Malaysia. Kita menghukum orang-orang bukan Islam dengan berfikir atau berkata : “Lantaklah diorang yang memang kapir tu. Dah memang tempat diorang di neraka nanti. Orang Islam macam mana pun mesti akan masuk syurga jugak last-last nanti. Buat apa susah-susah nak sampaikan Islam kepada diorang ni semua? Yang penting, diorang mesti respek kita. Malaysia kepunyaan kita. Diorang tu hanya pendatang yang tak sedar diri. Dah bagi betis, nak peha pula. Jangan dilayan diorang tu..”
 
Berbalik kepada kisah Nabi semula, walaupun musuh-musuhnya jahat dan brutal, namun baginda tidak pernah mungkir janji dan mengkhianati mereka. Jika ada pun apa-apa tindakan keras dari Nabi terhadap mereka yang disalahtafsir sebagai “barbaric” oleh orientalis Barat, ia sebenarnya berlaku atas sebab baginda bertindak-balas terhadap perbuatan mereka yang telah mengkhianati perjanjian dengan baginda dan umat Islam.
 
Insiden-insiden tesebut adalah :
 
1. Pembunuhan terhadap Ka'ab bin Ashraff, seorang pengkhianat berbangsa Yahudi dari Madinah yang datang ke Makkah untuk menghasut kafir Qurasy supaya menyerang umat Islam bagi menuntut bela atas kekalahan mereka di Badr. Peperangan Uhud telah menyusul tidak lama selepas itu.
 
2. Pemenggalan kepala terhadap semua kaum lelaki Yahudi dari suku Bani Qurayza dan penghambaan ke atas wanita-wanita dan kanak-kanak mereka kerana berkomplot secara rahsia untuk membunuh Nabi, dan juga atas sebab pencabulan terhadap perjanjian piagam Madinah kerana bersekongkol dengan kafir Qurasy untuk menyerang Madinah.
 
3. Serangan terhadap kaum Yahudi dari suku Bani Nadhir dan hukuman pembuangan negeri dari Madinah atas komplot rahsia mereka bekerjasama dengan kafir Qurasy dan tentera bersekutu musyrikin dari kabilah-kabilah Arab lain dalam peperangan Al-Ahzab.
 
4. Pencabulan oleh pihak kafir Qurasy terhadap perjanjian Hudaibiyyah yang mengakibatkan Nabi mara bersama 10 ribu tentera Islam dari Madinah untuk menawan dan membebaskan kota Makkah dari penguasaan kafir Qurasy.
 
Jelas di sini bahawa tindakan keras Nabi hanyalah sebagai respons kepada pengkhianatan yang diawali oleh musuh-musuh Islam. Bukannya Nabi yang mulakan pengkhianatan terlebih dahulu.
 
Kesimpulannya ialah, pengkhianatan yang bermula dari pihak Islam tidak pernah berlaku di zaman Nabi dan para sahabat. Tiada contoh atau tauladan yang boleh kita ambil untuk mengatakan bahawa Islam mewajarkan perbuatan mungkir janji dan pengkianatan.
 
Mengenai dakwaan Ustaz bahawa kerajaan PH telah gagal menangani tindakan-tindakan beberapa non Muslim yang dikatakan kurang ajar dan biadab terhadap orang Melayu hingga menyebabkan kepada rasa keresahan yang kian memuncak, saya ingin bertanya : Siapakah Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN) sepanjang 22 bulan lepas? Bukankah masalah ketenteraman awam negara ini berada di bawah tanggungjawabnya? Kenapa fakta ini tidak diambil kira dan dibahaskan langsung?
 
Bahkan dalam insiden Peguam Negara melepaskan 12 orang berbangsa India yang ditangkap kerana disyaki terlibat dengan pengganas LTTE, saya ada baca lapuran media rasminya yang disebar di internet memberi jawapan kepada kenyataan Menteri KDN yang memarahinya kerana menggugurkan dakwaan terhadap suspek-suspek tersebut.
 
Saya pun menunggu jawapan balas dari Menteri KDN terhadap kenyataan rasmi Peguam Negara tersebut, tetapi malangnya ia tidak kunjung tiba. Saya pasti ramai dari kalangan orang kita yang tidak kuasa membaca lapuran media rasmi Peguam Negara menjawab kenyataan Menteri KDN. Kita lebih gemar percaya apa yang kita hendak percaya, tak kiralah samada ia benar atau tidak. Mungkin kalau baca, insyaa Allah akan faham apa justifikasi Peguam Negara bertindak demikian.
 
Mengenai hadis yang Ustaz sering quote, iaitu : “Mendengar dan mentaati (pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat.”; saya ingin bertanya : Adakah pemerintah sebelum ini memerintahkah kita melakukan maksiat hingga menyebabkan gugurnya ketaatan kita kepadanya?
 
 Jika ada, sila kemukakannya. Saya ingin tahu kerana mungkin terlepas pandang.
 
Tidak ada untung bagi diri saya untuk menangkan orang non-Muslim di sini, lebih-lebih lagi mereka yang dilihat telah bersikap kurang ajar kepada orang Melayu Islam. Tetapi seperti saya katakan tadi, saya hanya ingin berpegang kepada prinsip Islam lebih dari segala-galanya dalam membuat penilaian. Samada saya suka kepadanya atau tidak, itu bukan persoalannya. Bukankah ini yang diajar kepada kita yang serius ingin menjadi pendokong-pendokong sunnah?
 
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah jualah yang mengetahui segala-galanya, sedang kamu tidak mengetahui. [Al-Baqarah (2) : 216]
 
Oleh itu, adakah wajarkah bagi saya untuk membenci orang-orang yang masih tidak faham Islam ini hingga sanggup berlaku tidak adil hanya kerana segelintir dari mereka bersikap biadab? Dan lebih-lebih lagi apabila Menteri KDN yang sepatutnya mengawal dan mendisiplinkan mereka, tidak melaksanakan tugasnya dengan sempurna pula?
 
Wajarkah Menteri tersebut kemudiannya berpusing menyalahkan mereka dan seterusnya gunakan alasan kebiadaban mereka, untuk dia tumbangkan kerajaan yang dia sendiri menganggotainya? 
 
Bukankah dia telah berjanji untuk menyelamatkan negara dari penyamun-penyamun Umno yang dia sendiri kutuk “kaw-kaw” ketika berkempen untuk PRU-14 sebelum ini? Dah tu, macam mana dia boleh tiba-tiba langgar semua ini dengan menyalahkan pihak yang dia sendiri gagal kawal dan disiplinkan?
 
Wajarkah saya terima Umno dengan berlapang dada padahal merekalah yang telah bermati-matian mempertahankan rompakan Najib dan teman setianya Jho Low ke atas khazanah negara? Kegilaan jenis apa ini apabila saya diajak mengalu-alukan mereka untuk kembali memerintah negara hasil dari langkah pengkhianatan mantan Menteri KDN tersebut melalui pintu belakang?
 
Tiada seorang pun dari kalangan menteri-menteri Umno rasa bersalah dan menyesal kerana menyokong Najib walaupun seluruh dunia tahu dia mencuri. Bukti-bukti sudah cukup jelas. Tetapi menteri-menteri Umno yang mencurah bakti kepada Najib tetap buat dek saja. Kalau benar mereka insaf, wajib bagi mereka memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat sebagai tanda taubat. 
 
Ini bukan kes dosa mereka dengan Allah. Ini dosa sesama manusia yang Allah tidak masuk campur selagi ia tidak diselesaikan sesama manusia sebelum mati.
 
Ustaz lebih arif dalam hal ini dan sepatutnya menasihati mereka agar memohon maaf kepada rakyat dengan cara terbuka. Lainlah kalau mereka sedikit pun tidak rasa bersalah. Kalau beginilah sikap dan pendirian mereka, bagaimana Ustaz boleh masih mengharapkan mereka untuk menyelamatkan kita?
 
Di mana logiknya umat Melayu diajak menjemput dengan penuh redha orang-orang yang hampir meranapkan negara kembali menguasai kerajaan dan mengurus negara? Dan semua ini kerana apa? 
 
Kerana ada seorang Menteri yang tidak menjalankan tugasnya mengawal kenteraman awam dengan baik tiba-tiba berpaling tadah mengkhianati janjinya. Yang kawan tiba-tiba jadi lawan, sementara pihak lawan yang sebelum ini dihamputnya sepuas-puas hati kerana mempertahankan Najib menjarah rakyat dan negara, tiba-tiba didakap menjadi kekasih. Agama apa ini sebenarnya? Bingung saya..
 
Wajarkah juga saya terima Pas dengan berlapang dada padahal mereka telah sama-sama menyokong segala kemungkaran Najib dan Umno dengan memutarbelitkan agama bagi mencapai tujuan politik mereka? Saya tidak ingin sentuh pasal Pas di sini panjang-panjang. Boleh jadi satu karangan sepuluh jilid kalau saya bercakap tentang kebobrokkan mereka.
 
Ketuanya bagaikan seorang Nabi yang maksum dan tidak ada salah sedikitpun. Dia bebas bercakap tentang agama dengan sebebas-bebasnya. Pusinglah kot mana sekalipun apa dia nak cakap. Tiada siapa dari kalangan ahli parti dia yang berani menegur walaupun terang-terang dia salah. Siapa yang tidak setuju dengan dia, senang saja jatuh kafir. Waktu heboh isu RUU355 dahulu, berapa ramai orang sudah jatuh kafir. Bagi saya, orang-orang beginilah yang merosakkan Islam sebenarnya. Wajah Islam yang indah jadi hodoh kerana mereka.
 
Jadi, saya tertanya-tanya sekarang.. Prinsip Islam yang mana satukah Ustaz guna untuk mewajarkan pendirian Ustaz menyokong tindakan MY melakukan pengkhianatan ini berdasarkan kepada penerangan-penerangan yang telah saya beri?
 
Dulu Ustaz juga yang pernah menghukum bahawa adalah berdosa bagi mana-mana wakil rakyat yang lompat parti. Tetapi dalam krisis ini pula, perbuatan yang Ustaz kata berdosa dulu tiba-tiba sudah tidak berdosa lagi.
 
Apa sebenarnya nilai-nilai yang ingin kita ajar kepada bangsa kita dari krisis ini? Adakah matlamat yang kononnya murni boleh menghalalkan cara? Jika Ustaz kata ia termasuk dalam hukum “harus” atas dasar memelihara kemaslahatan yang lebih besar, soalan saya akan berbalik semula kepada mengapa hendak dihukum pihak yang dikatakan melampaui batas itu apabila Menteri KDN sendiri tidak menjalankan kewajipannya dengan sempurna untuk mengawal kenteraman awam? Mengapa dia tidak dikira bersalah dan sebaliknya tindakan dia membawa masuk parti penyamun untuk menguasai kerajaan mendapat penghormatan dan sanjungan? Adakah ini suatu taktik dan strategi dari ajaran Nabi yang saya masih belum mampu menjangkau ilmunya?
 
Nasi sudah menjadi bubur sekarang. Saya pun bukan boleh berbuat apa-apa. Namun apa yang saya persoalkan ialah apakah prinsip agama yang sebenar untuk kita pegang bagi menangani krisis politik yang paling dahsyat dalam sejarah negara kita ini. Adakah langkah pengkhianatan MY dalam krisis ini diwajarkan oleh agama? Ya atau tidak? Ini saja yang saya ingin tahu.
 
Saya sudah memberi hujah berdasarkan kefahaman saya mengenai agama. Sekarang giliran Ustaz pula. Biarlah para pembaca yang menilaikan kekuatan hujah kita masing-masing berdasarkan kepada prinsip agama yang objektif lagi suci, tanpa emosi.
 
Allahu a’lam.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.