Kerajaan PN celaru, hilang wibawa undang musibah
Sebulan selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah pelbagai kecelaruan telah berlaku. Kecelaruan ini berlaku akibat pengambilalihan kerajaan ini dibuat tanpa mandat rakyat tetapi dibuat hanya melalui perancangan rapi beberapa ahli parlimen yang melakukan ‘Langkah Sheraton’.
Secara logiknya Langkah Sheraton ini pastinya bukan berlaku secara kebetulan. Langkah Sheraton bagi membolehkan pembentukan kerajaan baharu oleh beberapa ahli parlimen yang khianat kepada mandat rakyat dan disokong oleh Umno, MCA, MIC dan Pas.
Hakikatnya, selepas peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Mahathir telah membolehkan Langkah Sheraton ini berjalan dengan lebih licin. Meskipun, perancangan asal Langkah Sheraton ini hanya ingin menukarkan anggota Kabinet tanpa menukarkan Perdana Menteri tetapi akhirnya Langkah Sheraton ini tetap berjaya walaupun dengan melalui jalan dan pelan yang berbeza.
Malang sekali selepas Langkah Sheraton ini berjaya dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, wabak Covid-19 telah melanda Malaysia.
Wabak ini mula dikesan semenjak akhir tahun 2019 tetapi telah mencapai kemuncak di negara China pada awal tahun pada musim perayaan Tahun Baru Cina. Malang juga, wabak yang sama telah merebak ke Malaysia sepanjang ketiadaan kerajaan dengan penyebaran berlaku dalam kalangan kluster tabligh yang membuat ijtimak mereka pada 27 Februari lalu.
Akhirnya, kerajaan pintu belakang ini berhadapan masalah besar untuk menghadapi wabak ini. Menteri-menteri baharu yang dilantik mula resah dan gelisah dan membuat pelbagai kesilapan yang menjadi bahan sindiran warga maya.
Kewibawaan Menteri Kesihatan yang baharu mula dipersoalkan orang ramai apabila beliau mula-mula mempamerkan cara memakai topeng muka kemudiannya dengan menggunakan air suam untuk menghalang kuman Covid-19 ini. Akhirnya, Menteri Kesihatan ini dipetisejukkan dan tidak dibenarkan lagi untuk muncul di khalayak ramai.
Kemudian, Menteri Alam Sekitar pula dipersoal apabila beliau menyatakan fakta yang silap mengenai pembalakan di Kelantan dan mengaitkan pula dengan penanaman durian Musang King. Selepas itu, beliau muncul lagi dan mengaitkan pembiakan kuman wabak Covid-19 ini di loji kumbahan.
Seterusnya, Menteri Alam Sekitar ini mengumumkan nama baharu bagi kementeriannya apabila beliau mengambil portfolio berkaitan air dan menjenamakan semula kementeriannya dengan nama Kementerian Alam Sekitar dan Air atau dengan singkatan ringkas dalam bahasa Inggeris sebagai MEWA.
Dalam tempoh 24 selepas pengumuman itu netizen menemui singkatan mewa itu digunakan dalam laman web rujukan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai bermaksud ‘bingung’.
Maka, Menteri Alam Sekitar telah membuat pusingan balik dengan mengatakan bahawa perubahan itu masih di peringkat cadangan, walhal dalam kenyataan rasmi kementerian menyatakan bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju dengan nama baharu itu.
Tidak lama selepas itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula menjadi bahan jenaka rakyat apabila mencadangkan tips rumahtangga bahagia dengan menyarankan kaum wanita untuk meniru suara watak kartun Doraemon bagi menimbulkan suasana humor dalam keluarga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.
Saranan itu akhirnya telah ditarik balik selepas tips tersebut telah menjadi bahan berita satira bukan setakat di Malaysia bahkan juga di media antarabangsa.
Baru-baru ini sekali lagi kerajaan pintu belakang ini telah menjadi bahan tertawa orang ramai apabila telah membenarkan kilang arak Heineiken beroperasi dalam tempoh PKP ini.
Langkah membenarkan kilang arak itu beroperasi telah menimbulkan rasa resah di kalangan orang Islam kerana banyak lagi sektor perniagaan lain yang tidak kurang penting tetapi tidak dibenarkan beroperasi.
Orang ramai mula mempersoal hal itu apabila tular satu surat yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPPDNHEP) memberikan kebenaran itu.
Tidak sampai 24 jam hal tersebut diketahui oleh orang ramai akhirnya Perdana Menteri sendiri telah menarik balik kebenaran itu. Apa yang lebih dikesali adalah ada pihak-pihak tertentu yang menyalahkan KSU atas hal tersebut padahal KSU hanya menjalankan tanggungjawabnya selepas segala prosedur telah dipatuhi.
Ini adalah beberapa siri kecelaruan kerajaan PN yang berlaku dalam tempoh sebulan selepas mengambilalih kerajaan daripada PH. Bayangkan jika PN ini memerintah sehingga akhir tempoh penggal pilihan raya. Pastinya pelbagai kecelaruan lagi akan berlaku sehingga rakyat sendiri akan melihat kerajaan PN ini bukanlah kerajaan yang berwibawa.
Kehilangan wibawa ini boleh membawa musibah besar apabila ianya akan dipandang negatif oleh para pelabur. Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ini pastinya Malaysia amat berharap kepada pelabur asing untuk memulihkan ekonomi.
Para menteri yang ada pada hari ini perlu belajar prinsip-prinsip yang telah digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan khasnya mengenai doktrin ‘Collective Responsibility’ (Tanggungjawab Kolektif) dan ‘Ministerial Responsibility’ (Kepertanggungjawaban Menteri) jika ingin melihat pemerintahan yang lebih teratur.
Menteri yang ada pada hari ini tidak boleh lagi berfikir mereka adalah pembangkang. Lihat sahaja cara mereka mengendalikan isu kebenaran operasi kilang arak yang mana blok kerajaan sendiri menentang apa yang kerajaan mereka telah benarkan.
Ini tidak sepatutnya berlaku dalam sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia. Akhirnya, ianya akan menjejaskan moral dan semangat penjawat awam apabila mereka dikambinghitam.
Walhal, Menteri itu sendiri sepatutnya mengambil tanggungjawab atas dasar kementeriannya sendiri.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.