https://critoxium.com/shop/

Terkini

‘Siapa makan cili dialah yang merasa pedasnya’

Oleh TAMRIN TUN GHAFAR

Kali ini saya hanya menulis semula senikata lagu yang disampaikan oleh Sheikh Salim Sheikh Muhamad Al Mahros atau lebih dikenali umum Tan Sri SM Salim.

Beliau yang dilahirkan diKampung Baru, Kuala Lumpur (dahulunya Selangor) pada 30 Julai 1928 telah meninggalkan kita buat selama-lamanya pada 29 Disember 2016 iaitu pada usia 88 tahun
Ekoran panggilan anak perempuanya yang memberi tahu keadaan ayahnya yang sedang nazak, dan permintaan arwah untuk berjumpa saya, saya dan isteri, Khatijah terus membatalkan rancangan ke destinasi yang dirancang.

Keadaan arwah sememangnya menyentuh perasaan; beliau tidak lagi mengenali saya dan tetamu yang lain. Itulah kali terakhir saya bersama beliau (Al-fatihah).

Jika di teliti, ‘TAK SEINDAH WAJAH’ adalah lagu yang banyak membawa makna dan maksud. Terserahlah; bak kata orang-orang tua, siapa makan cili dialah yang merasa pedasnya.

Kusangka aur di pinggir tebing
Kiranya tebu di pinggir bibir
Ku sangka jujur pancaran batin
Rupanya palsu penghias zahir.

Ku kira hati jiwa nurani
Suci seindah wajah terbayang
Ku kira puji seikhlas budi
Ku lupa lidah tidak bertulang.

Di manis gula semut binasa
Kail berduri bersalut umpan
Di manis kata insan terlena
Kerana budi hamba terkorban.

Inikah dia lakonan hidup
Di pentas dunia insan berpura
Tipu dan daya pencapai maksud
Budi dan harta merangkum noda.

Masa yang lepas tidak akan kembali lagi namun ia menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Inilah yang dikatakan harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Semoga roh sahabatku Allahyarham Tan Sri SM Salim dicucuri rahmat oleh Maha Penciptanya, ALLAH SWT.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.