https://critoxium.com/shop/

Terkini

Surat Hadi Awang: Diplomasi atau konfrontasi?

Oleh  Fakhrurrazi Rashid,

 SEPERTI orang lain juga, saya tidak terlepas untuk membaca surat Abdul Hadi Awang yang kini Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat.

Bagi saya, surat ini boleh dimulakan dengan isu-isu yang lebih baik mengenai dasar luar negara Malaysia daripada mengupas isu-isu politik Malaysia yang tidak boleh melibatkan kuasa luar.
Mengapa Hadi dan Pas amat selesa dengan kandungan surat ini?

Pada permulaan setiap usaha dakwah dan perjuangan para nabi dan rasul, ‘pertanyaan’ merupakan aspek yang penting dalam mencari penjelasan dan kebenaran dalam kehidupan.

Surah Al-Baqarah ayat 206 menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim a.s mempersoalkan kejadian hidup dan mati kepada Allah swt. Allah swt berfirman “adakah engkau belum beriman?’ kepada Nabi Ibrahim a.s.

Baginda menjawab: “Bahkan (aku beriman), tetapi supaya dapat mententeramkan hatiku”. Kemudian, Allah swt memenuhi permintaan Nabi Ibrahim a.s tanpa marah dan menuduh baginda seorang pengkhianat.

Dengan bertanya, ia boleh menumbangkan tembok kejahilan yang didirikan selama ini atas sikap tidak bermoral dan lupa kepada keterbukaan dan ketelusan kepada masyarakat. Tanpa menyoal pemimpin, maka rakyat dan negara akan berada dalam tempoh yang sukar.

Surat kepada pemimpin Asia Barat yang dikeluarkan oleh Hadi dan PAS menunjukkan mereka sudah sekian lama tidak berhadapan dengan ujian ketelusan dan keterbukaan daripada masyarakat, khususnya umat Islam.

Kerana mereka sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan, maka mereka tidak terlepas daripada kritikan, pertanyaan dan tanggungjawab kepada parlimen serta rakyat atas tindakan mereka.
Saya mempunyai pertanyaan dan ia agak mudah: adakah surat ini sebuah diplomasi kepada rakan-rakan di Asia Barat ataupun satu konfrontasi politik domestik untuk mendapatkan sokongan negara luar bagi menyokong Perikatan Nasional (PN)?

Jika ini tindakan pertama Duta Khas di Asia Barat, maka ia boleh mengundang kesan kepada dasar luar negara yang bersikap ‘neutral’.

Sebelum surat ini dirangka, adakah Duta Khas telah mendapat persetujuan perdana menteri dan kabinet secara bersama (collective responsibility) untuk dihantar kepada pemimpin Asia Barat serta dipaparkan kepada orang awam?

Perkara ini penting untuk ditanya kerana Hadi dan Pas merupakan ahli parlimen dan parti yang mewakili parti pemerintah.

PAS dan Duta Khas perlu sedar bahawa setiap kenyataan yang mereka keluarkan hari ini bukan lagi satu naratif politik yang dahulu hanya dilaungkan di perhimpunan besar-besaran, tetapi ia memberi kesan kepada hubungan diplomatik dan imej Malaysia pada mata dunia.

Perdana menteri tidak menyebut skop tugas Duta Khas ke Asia Barat ketika mengumumkan pelantikan Hadi. Tanpa peranan yang jelas, maka keperluan untuk mengadakan jawatan ini masih diragui.

Maka, peranan semak dan imbang perlu berlaku untuk jawatan ini memandangkan ia lantikan politik perdana menteri dan bukan lantikan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Semasa pentadbiran Najib Razak, duta khas yang dilantik perdana menteri ke India dan Asia Selatan mendapat gaji dan elaun sebanyak RM27,227.70 sebulan dengan kontrak selama dua tahun.

Duta khas ke China memperolehi RM20,000 sebulan dalam tempoh dua tahun. Mereka turut diberikan kemudahan rasmi ketika bertugas. Duta khas ini diberikan tugas utama, iaitu membawa pelaburan infrastruktur.

Secara kasarnya, kerajaan perlu membelanjakan dana awam berjumlah RM1.2 juta dalam tempoh dua tahun hanya untuk elaun dan gaji duta khas. Mereka dinilai berdasarkan pelaburan yang dibawa kepada negara.

Persoalannya sekarang, adakah Hadi juga akan mendapat elaun dan gaji yang sama dan adakah tugasnya untuk membawa pelaburan pembangunan infrastruktur dari negara Asia Barat? Perkara ini yang perlu diperjelaskan oleh kerajaan PN.

Untuk menjadi seorang duta khas yang pragmatik, Hadi boleh mengambil prinsip dasar luar negara Malaysia, iaitu melindungi kedaulatan negara dan menyumbang secara adil dan saksama kepada masyarakat dunia melalui perhubungan diplomatik yang efektif. Bukan melakukan konfrontasi di peringkat dunia dan politik tempatan.

Ruchir Sharma dalam bukunya The Rise and Fall of the Nation menjelaskan kelaziman pemimpin kerajaan yang lemah menyalahkan musuh dan pihak kuasa asing semasa krisis negara semakin serius. Tetapi, kerajaan yang lemah juga akan mengambil kesempatan, pujian atau kredit sekiranya negara maju dan berjaya menghadapi krisis.

Maka, pandangan saya amat jelas bahawa surat yang dikemukakan oleh Duta Khas ini menunjukkan kelemahan kerajaan PN yang mahu menyalahkan musuhnya dan mendakwa penglibatan negara asing sebagai alasan untuk melindungi langkah licik mereka menumbangkan kerajaan dipilih rakyat. Kini, PN mengambil kesempatan, mendakwa mereka “juara” dalam isu Covid-19, sebagai sebuah kerajaan tidak dipilih rakyat, tetapi “diperlukan oleh rakyat”.

Hakikatnya, kita sudah berada dalam dunia yang agak berbeza dari segi cabaran ekonomi, global dan sosial. Zaman ini memerlukan kerajaan diplomasi di peringkat antarabangsa dan tempatan bagi menyediakan peluang ekonomi menguntungkan Malaysia.

Tanpa ekonomi mapan, anak-anak Malaysia akan ketinggalan dan pada masa itu kita hanya boleh menyalahkan diri kita sendiri. Lawan kita pada hari ini adalah kelemahan ekonomi negara yang kian mencabar di peringkat dunia.

Tembok Berlin yang diruntuhkan pada tahun 1989 telah mengakhiri Perang Dingin, sementara perang dunia telah berakhir pada tahun 1945. Pakatan Harapan tidak lagi menjadi kerajaan.

Maka, apakah perlu Duta Khas ke Asia Barat cuba menimbulkan konfrontasi politik dengan lawannya sedangkan tanggungjawab besar senang menunggu di hadapan?

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.