https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Kesian Makcik Kiah niaga goreng pisang tak layak dapat BPN'

Peniaga yang mengemukakan rayuan untuk menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) mendapat kejutan mengecewakan pagi ini apabila kelayakan mereka dibatalkan kerana mereka atau pasangan mereka mempunyai perniagaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat (SSM).

Sebagai gantinya, mereka diberitahu untuk memohon Geran Khas Prihatin (GKS), bantuan sekali sahaja berjumlah RM3,000 untuk perniagaan skala mikro yang tidak perlu dibayar balik.

Bantuan BPN adalah bagi isi rumah golongan B40 yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan keseluruhannya berjumlah RM1,600, dengan pembayaran berperingkat dalam dua fasa.

Peguam dan Setiausaha Politik MP Iskandar Puteri, Syahredzan Johan berkata BPN bertujuan meneruskan kelangsungan hidup manakala GKS pula bantuan untuk perniagaan.
Katanya, permohonan GKS cuma dibuka pada bulan ini.

"Bayangkan, mohon BPN April. Mei dapat tahu tidak layak. Kena mohon GKS pula, itupun kalau layak. Jun baru boleh dapat duit. Habis dua ke tiga bulan sebelum itu macam mana pula?

"Yang paling menyedihkan adalah semua ini langsung tidak dinyatakan semasa pengumuman dibuat. Dikhabarkan tiada siapa yang akan ketinggalan," katanya pada hantaran di Facebook.

Syahredzan berkongsi pesanan para peniaga, termasuk penjaja pasar malam, dan mereka yang baru memulakan perniagaan tanpa membuat untung yang terjejas akibat pembatalan kelayakan menerima BPN.

Malaysiakini difahamkan mereka yang terjejas termasuk mereka yang telah mendaftar untuk menjadi pemilik tunggal atau perusahaan dengan SSM.
Syahredzan, turut menggunakan nama timangan watak rekaan Makcik Kiah yang disebut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Covid-19.

Peraturan baru itu, katanya kini menyebabkan kehidupan Makcik Kiah terjejas.

"Ironinya, kalau Makcik Kiah daftar perniagaan goreng pisang dia dengan SSM, Mak Cik Kiah pun tidak dapat dapat BPN.

"Kesian Mak Cik Kiah," katanya sambil membandingkan perbezaan nasib antara peniaga ini dengan MP Perikatan Nasional yang dilantik menerajui GLC.

"Murah rezeki mereka (dilantik ke GLC)," jelas Syahredzan.
Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Kewangan untuk mendapatkan maklum balas.

Awal hari ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan kerajaan menerima 2.3 juta permohonan baru untuk BPN setelah proses rayuan yang diteliti oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Jumlah penerima BPN kini berjumlah 10.6 juta orang.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.