https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mana jantan, Muhyiddin atau Mukhriz ?

Berita mengenai Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Mohd Ariff Yusof yang telah menerima usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin benar-benar menggemparkan dan memeranjatkan ramai pihak sama ada di pihak pembangkang mahu pun di pihak kerajaan.

Pihak kerajaan menjangka bahawa Speaker tidak akan membenarkan usul sedemikian dibentangkan.

Pihak pembangkang pula tidak menduga bahawa Speaker begitu berani untuk membenarkan usul undi tidak percaya itu dibentangkan tatkala ramai pihak kini telah menukar kem politik masing-masing untuk menjaga periuk nasi mereka.
Ucapan tahniah sepatutnya diberikan kepada Speaker yang telah menjalankan tugasnya menurut keluhuran undang-undang dan peraturan mesyuarat yang ditetapkan. Speaker ini tidak memilih untuk bermain politik murahan walaupun menyedari bahawa Muhyidin kini adalah orang yang paling berkuasa di Malaysia. Boleh sahaja beliau menolak usul undi tidak percaya itu. Tetapi beliau lebih selesa memilih untuk mendaulatkan undang-undang daripada membodek seorang bos.


Sebelum ini pun beliau pernah menolak permintaan Mahathir untuk memanggil sidang khas parlimen sewaktu Mahathir menjawat jawatan Perdana Menteri Interim. Maka, tentu ramai yang tidak menyangka Speaker boleh menerima usul undi tidak percaya Tun Mahathir ini yang tidak mempunyai apa-apa kuasa sekarang.

Sebaik sahaja Speaker mengumumkan bahawa beliau membenarkan usul undi tidak percaya ini lantas tidak semena-mena Datuk Takiyuddin Hasan, Menteri yang bertanggungjawab menyatakan bahawa kerajaan akan membawa tiga usul pada tarikh persidangan pada 18 Mei 2020. Padahal sebelum itu hal ini tidak pernah disebut atau dibangkitkan. Ini menunjukkan betapa pihak kerajaan begitu gentar dengan tindakan yang dibuat oleh Tun Mahathir ini.

Begitu juga, apabila Speaker menerima usul Datuk V.K Liew untuk memanjangkan tempoh persidangan Parlimen dari satu hari kepada lapan hari ianya begitu menggusarkan Muhyiddin sehingga beliau terpaksa menggunakan kuasanya sebagai Ketua Majlis untuk memaksa Speaker untuk menamatkan sidang Parlimen sebaik sahaja titah YDPA tamat.

Alasan yang diberikan adalah untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19. Tentu sekali alasan ini sangat remeh memandangkan orang ramai pun sekarang agak bebas untuk berkunjung ke pasaraya. Adakah pasaraya lebih selamat daripada Parlimen?
Justeru, apakah rasionalnya Parlimen bersidang untuk tempoh yang begitu pendek, tidak sampai pun ke tengahari melainkan semata-mata untuk memastikan jangka hayat jawatan Perdana Menteri itu dapat dipanjangkan.

Apakah tanda-tanda ini menunjukkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini adalah satu kerajaan yang tidak stabil dan berada di hujung tanduk? Hanya masa yang akan menentukan hal tersebut. Tetapi sikap yang ditunjukkan oleh PN ini menunjukkan bahawa PN ini sering berasa tidak selamat.

Mereka sedar bahawa kerajaan PN ini bukanlah kerajaan yang mendapat mandat rakyat tetapi ianya adalah hasil daripada pengkhianatan beberapa wakil rakyat terhadap perjuangan parti masing-masing.


Parlimen adalah salah satu daripada institusi penting dalam sesebuah kerajaan. Dalam doktrin pengasingan kuasa, Parlimen sebagai badan legislatif hendaklah bebas daripada pengaruh badan eksekutif dan kehakiman. Parlimen tidak boleh berfungsi dengan baik sekiranya kedua-dua badan itu mencampuri urusan pihak legislatif.

Anehnya, ada suara sumbang yang menyatakan bahawa adalah tidak wajar untuk berpolitik semasa wabak COVID-19 ini belum berakhir termasuk tidak wajar bagi Mahathir untuk mengemukakan usul undi tidak percaya. Ini hujah yang karut kerana Parlimen adalah tempat rasmi untuk ahli-ahli Parlimen bersuara. Malah, Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan pun menyebut secara langsung mengenai peranan usul undi tidak percaya ini dalam menentukan kedudukan seseorang Perdana Menteri.

Soalnya sekarang, adakah Muhyidin berasa beliau boleh selamat daripada usul undi tidak percaya ini. Kita lihat Muhyidin begitu gentar dengan usul undi tidak percaya ini semenjak mula-mula beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8. Pelbagai helah dan dalih dilakukannya untuk mengelakkan Parlimen daripada bersidang.

Sebelum ini sepatutnya sesi persidangan Parlimen yang dijadualkan pada bulan Mac telah pun ditangguhkan ke 18 Mei ini. Kali ini Muhyiddin tidak mampu lagi untuk menangguhkan sidang Parlimen kerana Parlimen akan terbubar dengan sendirinya sekiranya luput tempoh masa 6 bulan dari tarikh terakhir sidang itu dibuat. Untuk rekod sekiranya tiada sidang dibuat sehingga 4 Jun 2020 maka Parlimen akan terbubar secara automatik.

Namun, walau apa pun yang dibuat oleh Muhyidin untuk mengelakkan Parlimen daripada bersidang beliau tetap tidak mungkin selama-lamanya melarikan diri. Ini kerana pasti banyak rang undang-undang perlu dikemukakan untuk dilluluskan termasuklah rang undang-undang perbekalan yang menyentuh mengenai pakej rangsangan COVID-19.

Mungkin kali ini Muhyidin terselamat daripada usul undi tidak percaya tetapi beliau tetap tidak boleh melarikan diri daripada isu itu. Pastinya makin lama ditangguhkan sidang parlimen makin terserlah ketakutan Muhyidin untuk menghadapi usul undi tidak percaya ini.

Sikap Muhyidin ini jauh sekali berbeza dengan sikap yang diambil oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mencabar ketua pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya dalam sidang Dun Negeri Kedah.

Sekarang anda lihatlah siapa yang dayus dan siapa yang lebih jantan? Fikir-fikirkanlah!

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.