https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sidang Parlimen hari ini langgar Perlembagaan, kata peguam

SIDANG Dewan Rakyat mungkin melanggar undang-undang kerana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai alasan yang munasabah untuk mengehadkannya kepada sehari, kata seorang peguam.

Peguam perlembagaan Lim Wei Jiet berkata sidang sehari  boleh dianggap usaha Muhyiddin untuk memenuhi syarat teknikal di bawah Perkara 55(1) dan mengelak undi tidak percaya di Parlimen.

Perkara 55(1) menetapkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk “memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.”

Sidang hari ini , yang pertama bagi tahun ini dan tertangguh sejak pertukaran pentadbiran di Putrajaya pada Februari lalu, hanya akan mendengar titah diraja membuka mesyuarat pertama bagi penggal ketiga Parlimen ke-14.

Kerajaan sepatutnya membentangkan beberapa perkara berkenaan langkah tindakan menangani kesan Covid-19 namun perkara itu digugurkan daripada notis baharu yang dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat minggu lalu.

Menurut Lim, penularan wabak Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan memendekkan sidang Parlimen kerana ia boleh dijalankan dengan menjaga penjarakan sosial atau secara sidang video.

“Dewan perundangan di serata dunia juga buat begitu, termasuk di Pulau Pinang,” kata Lim.

Beliau juga merujuk pada keputusan Mahkamah Agung di United Kingdom baru-baru ini yang memutuskan persidangan sehari Parlimen bertentangan dengan undang-undang.

Perdana Menteri UK Boris Johnson ketika itu menasihat Ratu Elizabeth II untuk memprorog atau tidak meneruskan sidang Parlimen dan menyambung semula hanya 17 hari sebelum UK dijadual keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

“Banyak yang menganggap ini percubaan Boris Johnson untuk mengelak parlimen menyemak pelan kerajaan untuk keluar dari EU. Keputusan itu dicabar di mahkamah,” kata Lim.

Mahkamah mendapati tindakan Johnson bertentangan dengan undang-undang kerana sekiranya dibenarkan, kuasa eksekutif akan memperlekehkan kedaulatan parlimen dan menyekat parlimen daripada menjalankan tugasnya sedaya mungkin.

Mahkamah memutuskan tindakan memprorog Parlimen tidak sah sekiranya ia menjejaskan fungsi Parlimen di bawah perlembagaan, iaitu sebagai badan perundangan dan badan yang bertanggungjawab menyemak kuasa eksekutif.

Menurut Lim, berdasar keputusan mahkamah itu, sidang Parlimen sehari esok menggagalkan Dewan Rakyat untuk menjalankan tugasnya di bawah perlembagaan tanpa alasan yang munasabah.

“Lebih penting juga, ia menyekat ujian sama ada kerajaan ini mendapat kepercayaan Dewan,” tambah Lim.

Pemimpin pembangkang sebelum ini mencadangkan sidang parlimen maya bagi membolehkan sidang berjalan lebih panjang.

Sidang Parlimen , yang pertama bagi tahun ini dan Seorang menteri kabinet juga berhujah sidang parlimen secara maya tidak boleh dilakukan kerana pihak pembangkang yang menganggotai jawatankuasa peraturan mesyuarat tidak meminda peraturan untuk membolehkannya.

Sementara itu, seorang lagi peguam perlembagaan Andrew Khoo melihat isu sidang sehari esok dari sudut proses.

Katanya, Peraturan Majlis Mesyuarat tidak memberi kuasa kepada perdana menteri untuk meminda tarikh sidang, yang pada awalnya ditetapkan pada 9 Mac, sebelum kerajaan bertukar.

“Saya berpendapat proviso pada perenggan (2) peraturan 11 tidak memberi kuasa kepada perdana menteri untuk meminda tarikh 9 Mac,” kata Khoo.

Peraturan 11 berbunyi:
”(1) Persidangan Majlis yang mula-mula bagi tiap-tiap penggal hendaklah diadakan di tempat, pada hari dan waktu yang diisytiharkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

(2) Dengan tertakluk kepada syarat-syarat perenggan (1), Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap Penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam Penggal itu: Tetapi disyaratkan iaitu Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.”

Jelas Khoo, Yang di-Pertuan Agong menetapkan tarikh pembukaan “yang mula-mula bagi tiap-tiap penggal”, sementara ketua majlis mesyuarat iaitu perdana menteri memutuskan tarikh mesyuarat sepanjang tahun.

“Kita boleh bayangkan bahawa tarikh-tarikh berikutnya yang boleh diubah dari masa ke masa, atas pelbagai alasan. Tetapi yang jelasnya ialah ketua majlis mesyuarat tidak boleh ubah tarikh pertama, iaitu bila Parlimen dipanggil bersidang.”

Khoo juga berpendapat ketua majlis mesyuarat mesti menentukan tarikh persidangan untuk sepanjang tahun sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan sidang pembukaan.

Perisytiharan tarikh pembukaan Parlimen diterbitkan dalam warta kerajaan pada 6 Mei, walaupun tarikhnya diisytihar oleh Yang di-Pertuan Agong pada 14 februari.

“Kalau diterbitkan pada 6 Mei, bagaimana ketua majlis mesyuarat boleh tahu sebelum pewartaannya?

“Ini sekurang-kurangnya satu pelanggaran proses,” katanya.

“Kesannya ialah sidang Parlimen esok tidak dipanggil dengan sah.

“Panggilan yang sah ialah pada 9 Mac tetapi tarikh itu sudah berlalu,” katanya.

Jelas Khoo, Agong masih boleh mengeluarkan perisytiharan baharu tetapi hendaklah dipanggil sebelum 18 Jun.

Ini bagi memastikan sidang Parlimen tidak melanggar Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan, katanya, mengambil kira tempoh enam bulan antaranya daripada tarikh akhir Dewan Negara bersidang iaitu pada 19 Disember 2019.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.