https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tajuddin Rahman pelawa Muhyiddin masuk Umno semula

SEORANG ahli Majlis Tertinggi Umno mempelawa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kembali menyertai Umno, ketika beberapa pemimpin Umno mengeluarkan kenyataan menegaskan kerjasama dua parti itu hanya untuk menggantikan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan dan tidak akan kekal sampai pilihan raya akan datang.

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman yang membuat saranan itu dalam satu wawancara dengan Malaysiakini, berkata Muhyiddin patut masuk Umno semula bagi mengelak pertembungan antara Bersatu dan Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

“Selagi duduk dalam parti berbeza, selagi itulah kita akan bersaing antara satu sama lain… selagi itu tidak akan bersatu.

“Umno parti yang sudah lama, Muhyiddin pun orang Melayu. Apa perlunya Bersatu? Masuklah Umno, boleh jadi perdana menteri Umno.

“Kita pelawa, marilah masuk Umno, yang baik-baik mari masuk Umno… saya rasa orang Melayu Umno boleh terima,” katanya, seperti dipetik Malaysiakini.

Tajuddin antara pemimpin Umno yang lantang mengkritik barisan Kabinet Muhyiddin pada Mac lalu, selepas pemimpin Umno tidak diberikan portfolio yang berurusan langsung dengan rakyat seperti pertanian, pendidikan, dan pembangunan luar bandar.

Umno memecat Muhyiddin pada Jun 2016 selepas beliau lantang mengkritik Najib Razak, ketika itu perdana menteri dan presiden Umno, berhubung skandal 1Malaysian Development Berhad.

Tiga bulan selepas itu, Muhyiddin mengasaskan Bersatu, sebuah lagi parti Melayu dan Bumiputera, bersama Dr Mahathir Mohamad. Parti itu kemudian bersama DAP, Amanah, dan PKR dalam Pakatan Harapan menyingkirkan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lepas.

Pada hujung Februari lalu, Muhyiddin membawa Bersatu keluar PH sementara beberapa ahli Parlimen PKR juga dipecat dan dibuang parti, menyebabkan pentadbiran itu runtuh tidak sampai dua tahun jadi kerajaan.

Minggu lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata kerjasama Umno dengan Bersatu bukan bersifat rasmi dan tidak mustahil ia akan bertanding melawan parti itu dalam pilihan raya akan datang, walaupun sekarang kedua-duanya dalam Perikatan Nasional.

Katanya, Umno hanya menyokong Perikatan Nasional dan bersetuju Muhyiddin sebagai perdana menteri untuk menyelamatkan negara selepas pentadbiran PH runtuh.

Katanya, kerjasama Umno dan Bersatu juga tidak sama dengan persefahaman Umno dan PAS yang dimeterai atas nama Muafakat Nasional.

Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed juga dipetik berkata Umno akan melawan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya parti itu bertegas masih mahu wujud.

“Kita (Umno) boleh terima Tan Sri Muhyiddin seorang saja yang boleh sambung jadi perdana menteri. Yang lain, masuk balik Umno tanpa syarat.

“Kalau mereka masih berkeras nak Bersatu masih wujud, kita lawan masa pilihan raya negeri dan pilihan raya umum. Umno tidak rugi apa-apa. Sudah jatuhkan PH pun,” katanya

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.