https://critoxium.com/shop/

Terkini

“Tergamak Muhyiddin ingkar janji”

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengakui, sepanjang tempoh 22 bulan mentadbir sememangnya wujud khabar angin yang mendakwa adanya beberapa pihak tidak mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan.

Namun begitu, beliau melahirkan tanda tanya bagaimana pula Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu boleh turut serta menolak Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Malah, dalam perjanjian yang ditandatangani sebelum ini, Muhyiddin secara jelas bersetuju bahawa Tun Mahathir bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang dalam PRU14.

“Secara ringkasnya, saya tak boleh faham. Kalau isu mereka tak nak Anwar Ibrahim, kenapa tolak Tun Mahathir juga.

“Sebelum bertukar kerajaan, Muhyiddin yang tandatangani perjanjian iaitu (bersetuju) Tun Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu siaran Bicara Presiden AMANAH di Facebook rasmi AMANAH hari ini.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, segala bentuk perjanjian yang dimeterai bersama sewajarnya dipatuhi oleh setiap anggota parti.

Kata Mohamad lagi, kekecewaan tidak begitu terasa terhadap mereka yang tidak menandatangani perjanjian sebagaimana kekesalan yang dirasakan terhadap Muhyiddin.

“Yang lain-lain yang tak tandatangani itu, (saya) tak lah berasa kesal sangat.

“Tapi Muhyiddin yang menandatangani perjanjian, kenapa dia boleh ingkar perjanjian yang dia tandatangani sedangkan PM adalah Tun Mahathir. Anwar belum jadi PM lagi,” ujarnya.

Menurut Mohamad atau Mat Sabu, beliau sama sekali tidak mempunyai masalah peribadi bersama Ahli Parlimen Pagoh itu.

Justeru, beliau melahirkan rasa tidak sangka bagaimana Muhyiddin boleh menolak ketuanya sendiri semata-mata mahu mengambil jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Saya tak sangka sama sekali orang yang baik seperti ini akhirnya boleh menolak ketuanya sendiri iaitu Tun Mahathir untuk mengambil alih jawatan PM.

“Inilah perkembangan politik yang kadangkala buat saya keliru dan kurang faham. Perjanjian boleh dibuat sebegitu rupa, orang yang tandatangan perjanjian pun boleh melanggar perjanjian itu,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Menteri Pertahanan itu menegaskan bahawa perkembangan politik yang berlaku ketika ini sama sekali tidak melambangkan kesuburan demokrasi yang diamalkan Malaysia sejak bertahun lamanya.

Baginya, adalah perlu untuk semua mengembalikan mandat rakyat dan perbuatan khianat tidak sepatutnya diamalkan oleh kerana jika ia dibiarkan, akan menyumbang kepada pengkhianatan yang lainnya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.