Suatu hari saya diajak oleh Datuk Mahfuz Omar bersama beberapa rakan
makan di Restoran Wadi Hadramawt, Ampang. Setelah kami selesai menjamu
nasi Arab, sebelum kami beredar pulang, tiba-tiba kelihatan Ustaz Ismail
Kamus masuk ke restoran bersama beberapa orang rakan.
Kami pun bersalaman dengan Ustaz Ismail. Datuk Mahfuz Omar berkata: "Makan kambing, nanti pening kepala, ustaz."
Dengan spontan Ustaz Ismail menjawab: "Kalau tak makan kambing, itu lagi pening kepala."
Kami yang hadir di situ ketawa dengan gurauan lucu Ustaz Ismail Kamus.
Ya,
itulah watak Ustaz Ismail Kamus yang kami kenal sejak sekian lama.
Beliau pandai bergurau, tetapi dalam banyak-banyak gurauan beliau
kadangkala mempunyai 1,001 hikmah.
Forum Perdana
Di
pertengahan tahun 90-an, antara rancangan yang menjadi minat dalam
kalangan orang Islam di Malaysia adalah forum Perdana Ehwal Islam di
TV1.
Rancangan tersebut menampilkan beberapa tokoh besar agama
seperti Datuk Dr Hasan Ali, Datuk Dr Harun Din, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim
Tuan Man, Datuk Ustaz Hassan Din, Datuk Ustaz Hassan Mahmud al-Hafiz
dan beberapa nama besar yang lain.
Nama Ustaz Ismail Kamus antara
yang terserlah. Ini kerana pendekatan beliau agak berbeza dengan yang
lain, iaitu beliau ada kemampuan dalam membuat lucu dalam menyampaikan
sesuatu pandangan agama beliau. Pendekatan ini sudah pasti amat diminati
ramai dalam kalangan orang Melayu Muslim di Malaysia.
Ketika
itu saya masih di sekolah rendah. Dari rancangan tersebut, saya
mengenali nama besar yang bernama Datuk Ustaz Ismail Kamus. Malah, ia
menjadi ustaz kegemaran keluarga saya yang ketika itu baru
berjinak-jinak dengan agama.
Saya kira ramai yang berkongsi pendapat dengan saya, bahawa Ustaz Ismail Kamus
mempunyai
kebijaksanaan dalam menegur beberapa amalan agama dalam masyarakat
Melayu di Malaysia. Kebijaksanaan itu terserlah yang kadangkala
kandungan teguran beliau, jika dibandingkan dengan teguran ustaz lain,
ia adalah sama, tetapi implikasi penerimaannya berbeza.
Contohnya,
beliau menegur orang yang menghisap rokok. Pendekatan beliau bukan
menghukum tetapi membawa naratif makanan jin - beliau menjelaskan bahawa
disamping tulang, asap juga makanan kegemaran jin.
"Siapa yang
hisap rokok, maka dia adik-beradik jin,” ucap beliau dalam ceramah
menyebabkan orang ketawa termasuk penghisap rokok.
Beliau pernah
mengkritik beberapa sikap ahli politik yang bermain-main dengan hukum
Islam - apabila menguntungkan mereka, hukumnya halal; apabila merugikan
mereka, hukumnya haram.
Lalu, beliau menyindir ahli politik sebegitu dengan mencipta istilah "halam", iaitu gabungan antara halal dan haram.
Politik
Mungkin
golongan muda agak kurang mengenali allahyarham Ustaz Ismail Kamus.
Bagi golongan pertengahan dan yang sudah berumur, nama beliau bukan
asing. Kaset-kaset ceramah beliau boleh dikatakan mudah didapati di
kedai yang menjual barangan keagamaan.
Beliau bukan sekadar dikenali sebagai orang yang beramanah dalam beragama, malah cukup beramanah dalam pengurusan wang.
Kita
tahu pada tahun 1998, sejarah pemecatan Anwar Ibrahim dari jawatan
timbalan perdana menteri melahirkan keuntungan politik kepada pihak PAS
yang ketika itu presidennya adalah allahyarham Ustaz Fadzil Noor.
Pada
tahun 1999, berlaku pilihan raya umum. Atas permintaan beberapa rakan
dan taulan, Ustaz Ismail Kamus telah masuk bertanding atas tiket PAS.
Dalam pilihan raya itu, beliau menang di DUN Gombak Setia.
Ketika
itu, beliau merupakan salah seorang Adun dari pihak pembangkang, yang
kadangkala mempunyai masalah kewangan untuk pengurusan DUN. Menurut
ceritanya, apabila keadaan begitu berlaku, beliau akan pergi ceramah ke
luar negara dan meminta bantuan kewangan melalui derma-derma. Hasil
kutipan derma itu, diserahkan seratus peratus untuk kegunaan DUN di
tempat beliau, tanpa beliau mengambil satu sen pun untuk peribadi
beliau.
Walau bagaimanapun jangka hayat politik beliau tidak lama.
Pada tahun 2004, beliau kalah dalam pilihan raya umum. Selepas itu,
beliau memfokuskan diri beliau dengan sudut kerja dakwah.
Tak suka gaduh khilafiah
Bagi
orang yang selalu mengikuti ceramah beliau, pasti akan mengetahui
bahawa beliau bukan seorang yang suka kepada perbalahan aliran pemikiran
dan mazhab.
Beliau tidak pernah dilihat sebagai seorang agamawan
yang dibenci oleh mereka dari aliran Asyairah mahupun Salafiyah. Semua
pihak senang dengan beliau. Tidak kurang juga, di setiap pihak mendakwa
bahawa beliau dari aliran mereka.
Beliau mengajar kepada kita,
soal aliran dan mazhab perlu saling menghormati, bukan dijadikan
sebagai alat permusuhan. Demikian juga, beliau mengajar kepada pendengar
ceramah beliau agar menghormati pengamalan mazhab setempat.
Atas
sebab tidak suka kepada permusuhan itu, kita tidak akan pernah
mendengar sebarang caci-maki ataupun serang peribadi yang dilakukan oleh
beliau di dalam ceramah.
Meninggal dunia
Sebelum
ini, beberapa kali tersebar berita kononnya beliau telah meninggal
dunia. Tetapi banyak berita yang tersebar itu adalah palsu.
Beberapa
hari sebelum beliau meninggal dunia, turut tersebar berita kononnya
beliau sedang sakit kuat. Tidak kurang juga, tersebar sekali lagi berita
palsu, kononnya beliau telah meninggal dunia.
Ketika mendapat berita palsu itu, saya melihat diari di smartphone saya - apakah hari itu hari Jumaat? Saya dapati bukan hari Jumaat.
Hati
saya terus berkata, Ustaz Ismail Kamus seorang yang soleh, sudah pasti
Allah akan mengambil nyawanya pada hari yang mulia dan yang ada
keberkatan.
Tanggal 15 Ramadan, bersamaan dengan 8 Mei, jatuh
pada hari Jumaat - Ustaz Ismail Kamus yang kami pernah mengambil ilmu
daripada beliau telah dijemput oleh Allah. Semoga Allah melimpahkan
rahmat dan kasih sayang kepada Ustaz Ismail Kamus. Amin.
Ustaz Ismail Kamus: Lucu tapi berkesan
Reviewed by editorreformis
on
Mei 08, 2020
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
KETUA Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang mengekalkan kedudukan masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Ketua Parlimen...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.