https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dr Mahathir nafi cadang Mukhriz calon TPM

DR Mahathir Mohamad menafikan beliau mencadangkan anaknya Mukhriz Mahathir sebagai calon timbalan perdana menteri II jika Pakatan Harapan Plus berjaya membentuk kerajaan.

Dalam catatan terbaru di blognya hari ini, bekas perdana menteri itu berkata idea mencalonkan Mukhriz disebut dalam kenyataan bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada 22 Jun.

PH Plus terdiri daripada parti-parti dalam Pakatan Harapan, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Dr Mahathir.

“Apabila nama Mukhriz dicadang untuk jawatan-jawatan tertentu, saya tidak ada hak untuk menentang kerana kepentingan diri saya,” tulis Dr Mahathir di blognya.

“Sama ada penjelasan saya ini dipercayai atau tidak, terpulanglah kepada masing-masing. Sudah tentu orang yang bermusuh dengan saya, akan bercakap sinis.

“Ini saya terima kerana memang pun ia adalah naluri manusia.”

Dua hari lalu Dr Mahathir mengumumkan Amanah, DAP dan Warisan sudahpun bersetuju agar Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dinamakan sebagai calon perdana menteri baharu untuk mengambil alih kerajaan.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata pemimpin parti dan beberapa pemimpin Bersatu termasuk beliau juga bersetuju Presiden PKR Anwar Ibrahim jadi timbalan perdana menteri I dan Mukhriz timbalan perdana menteri II.

Pengkritik Dr Mahathir dalam Umno berkata cadangan meletakkan nama Mukhriz itu adalah usaha untuk menaikkan anaknya sebagai calon perdana menteri seterusnya.

Dalam catatan di blognya hari ini juga, Dr Mahathir berkata cadangan mencalonkan bekas menteri besar Kedah itu meletakkannya dalam keadaan serba-salah.

“Di waktu saya jadi perdana menteri kali pertama saya telah larang anak saya dari bergiat dalam politik, khusus sebagai ahli parti kerajaan.

“Saya tidak hendak dituduh mengamal nepotisme, memberi keistimewaan kepada keluarga saya,” katanya.

Tambah Dr Mahathir, anak-anaknya hanya dibenarkan bergiat dalam politik selepas beliau melepaskan jawatan pada 2003.

“Apabila saya tidak lagi menjadi perdana menteri, tanggungjawab menjaga nama saya, tidak sepatutnya dipikul berterusan oleh anak saya.

“Mereka dibebas untuk berpolitik. Jaya atau tidaknya politik mereka bergantung kepada diri mereka.”

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.