https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kekalahan sebagai pengajaran kepada Pakatan

Oleh Mahdzir Ibrahim

 MASALAH siapa calon perdana menteri bagi PH Plus yang selama ini menjadi dilema dan kabur kini sudah selesai dan jelas iaitu, tidak selesai.

Beginilah penyelesaian politik yang selalu diberikan kepada kita.

Sebelum ini pada 2015, semasa konflik antara Pakatan Rakyat dan PAS, kita bertemu dengan konsep ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dan akhirnya gabungan itu terkubur.

Semua ini adalah bahasa-bahasa rasional yang sudah tidak rasional lagi.

Satu lagi bahasa diplomasi untuk menyedapkan telinga muncul lagi baru-baru ini iaitu “PH kekal utuh” dalam suasana perang dingin sudah bermula antara PKR dengan DAP dan Amanah akibat perbezaan pandangan mengenai calon PM.

Semua ini adalah naratif yang sedang berkembang menjadi suatu cerita yang seakan-akan ulang tayang tragedi perpecahan gabungan politik sejak zaman Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif dan lain-lain lagi selepasnya.

PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah sedar bahawa mereka tidak mampu berdiri sendirian, baik sebagai pembangkang mahupun kerajaan. Ketiga-tiga parti ini mesti berdiri sebagai sebuah gabungan politik, sama ada sebagai kerajaan atau pembangkang.

Dalam sejarah politik Malaysia, tidak pernah ada parti tunggal yang mampu menjadi pembangkang apatah lagi kerajaan yang berjaya.

Jadi, imaginasi ingin keluar atau berdiri sendirian daripada gabungan, patut segera dihentikan kerana hanya sia-sia belaka.

Realiti baharu juga harus kita terima bahawa baik Dr Mahathir Mohamad mahupun Anwar Ibrahim, mereka semakin tidak popular dalam kalangan rakyat – khususnya generasi muda.

Anwar telah diberi peluang mengetuai pimpinan sejak 2008 dan 2013, tetapi masih gagal menjadi perdana penteri dan kerajaan.

Begitu juga dengan Dr Mahathir. Beliau juga telah diberi peluang dan diangkat oleh PH termasuk Anwar untuk menjadi PM kali kedua. Namun beliau tidak berjaya mengekalkan PH sebagai kerajaan walau sepenggal, malah peralihan kuasa kepada Anwar juga gagal.

Ini bukan salah Dr Mahathir atau Anwar, tetapi salah kita semua.

Kita tidak berupaya melepaskan kedua-dua tokoh ini dalam persaingan politik kita.

Kita gagal membina naratif baharu hingga kita tersepit dalam masalah kepimpinan yang tidak berkesudahan.

Kita bercita-cita mahu menyediakan barisan pemimpin pelapis negara pada masa hadapan. Tetapi selepas 20 tahun sejak reformasi 1998, kita masih tidak berani melepaskan Dr Mahathir dan Anwar malah, sebaliknya kedua-dua tokoh ini kita gunakan sebagai ‘ayam sabung’ untuk menumbangkan kerajaan kleptokrasi.

Maka, terpaksalah kita akur dengan pengajaran paling besar daripada kegagalan ini – bahawa kita harus menanggung dan menerima kekalahan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.