https://critoxium.com/shop/

Terkini

Shafie bersyukur cadangan calon PM, tapi perlu masa fikir

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berharap diberi sedikit masa untuk meneliti cadangan Dr Mahathir Mohamad agar beliau menjadi calon Pakatan Harapan Plus (PH Plus) dalam usaha pembangkang mengambil alih semula kerajaan.

Presiden Warisan itu berkata beliau akan mengumumkan keputusan itu selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk membuat perbincangan bersama pemimpin partinya.

“Saya sangat bersyukur kerana cadangan itu datang daripada Dr Mahathir Mohamad. Itu satu cadangan dan saya perlu menelitinya secara mendalam termasuk mengadakan perbincangan bersama Timbalan Presiden Warisan (Darell Leiking) dan Ketua Penerangan Warisan (Dr Yusof Yacob).

“Ini satu cabaran besar untuk saya. Saya melihat ini secara serius. Beri saya sedikit masa (untuk membuat keputusan) dan (ia) tidak mengambil masa lama,” katanya seperti dilapor Bernama, hari ini.

Mahathir mencadangkan nama Shafie sebagai calon perdana menteri dalam satu pertemuan dengan pemimpin DAP, Amanah dan Warisan pada 25 Jun lalu.
DAP dan Amanah bagaimanapun berkata mereka perlu berbincang dengan peringkat tertinggi parti masing-masing dan di peringkat PH berhubung cadangan itu.
Mahathir sebelum ini berkata pertemuan 25 Jun itu juga mempersetujui agar Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Bersatu yang dipertikai, Mukhriz Mahathir akan mengisi dua jawatan timbalan perdana menteri.

Cadangan kombinasi terbaru itu hadir ketika PH terus berdepan kebuntuan berhubung calon perdana menteri selepas PKR bertegas menolak Mahathir untuk dicalonkan sekali lagi, dan sebaliknya mahukan presiden parti mereka dicalonkan.
Semalam, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya bersedia untuk meninjau semula isu calon perdana menteri PH tetapi menasihatkan supaya berhati-hati terhadap usaha memecahbelahkan gabungan politik itu.

"Walaupun PKR telah menyatakan pendirian dalam isu calon perdana menteri sebelum ini, PKR sedia untuk berbincang namun sebarang keputusan di peringkat PH perlu diputuskan oleh Majlis Presiden.

"Sebarang cadangan baru tidak harus dijadikan mainan politik peribadi mana-mana tokoh," katanya.

Sekretariat PH dijadual bermesyuarat pada Khamis ini. Mesyuarat itu akan menetapkan tarikh mesyuarat majlis presiden, yang biasanya menentukan hala tuju dasar gabungan itu.

Sejak akhir Mei, pembangkang masih gagal memuktamadkan calon perdana menteri mereka sekiranya berjaya merampas semula kerajaan dari Perikatan Nasional (PN).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.