Usul percaya PAS tak salah, tapi masa tak sesuai - Ahli MPT Bersatu
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Rais Hussin
berkata tiada salahnya dengan langkah PAS untuk mengemukakan usul
percaya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tetapi menegaskan
sekarang bukan masa yang sesuai untuk mencaturkan "permainan nombor."
"Pada saat ini, daripada menonjolkan pertempuran politik antara satu sama lain, lebih baik fokus pada pandemik (Covid-19). Pandemik ini belum berakhir," katanya.
Rais berkata beliau tidak tahu sekiranya PAS ada berunding dengan Bersatu sebelum meneruskan usul tersebut.
"Pandangan saya adalah kerajaan sudah bekerja dan berfungsi serta kerajaan mengutamakan usaha memerangi Covid-19 dan cuba untuk memulihkan ekonomi.
"Jadi saya tidak memahami perlunya usul seperti itu," katanya.
Muhyiddin ada nombor
"Saya rasa pada saat ini, ya (Muhyiddin mempunyai angka majoriti sokongan MP). Saya yakin beliau masih akan mendapat kepercayaan dengan sokongan daripada Muafakat Nasional, GPS dan lain-lain.
"Saya rasa beliau masih memiliki nombor itu. Tetapi apakah kita masih ingin mengikuti permainan nombor," soalnya.
Langkah itu mengejutkan ketika pembangkang selama berbulan-bulan mencuba untuk membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.
Baik usul percaya atau usul tidak percaya, kedua-duanya memerlukan undian Dewan Rakyat untuk menyokong atau menentang Muhyiddin, hasilnya akan menunjukkan apakah perdana menteri memiliki majoriti di Dewan Rakyat.
Berdasarkan sidang Dewan Rakyat pada bulan Mei, Muhyiddin dipercayai mempunyai majoriti dua kerusi di Dewan Rakyat.
Ini kemudian meningkat menjadi tiga apabila Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang keluar daripada PKR.
Rundingan masih terus berjalan memandangkan kedua-dua belah pihak berusaha untuk meningkatkan jumlah sokongan mereka di Dewan Rakyat.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.