https://critoxium.com/shop/

Terkini

‘AMANAH parti amat berdisiplin, ikhlas sesama sahabat’


Bekas Penyelaras Pakatan Harapan (PH) Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan merakamkan jutaan terima kasih serta penghargaan kepada Presiden AMANAH dan kepimpinan tertinggi parti itu yang telah meletakkan kepercayaan kepadanya bertanding di kerusi Parlimen Jasin pada PRU-14.

Dalam kenyataan pengumuman rasminya keluar Pakatan Harapan (PH), penyokong tegar kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad itu menyifatkan keseluruhan pemimpin AMANAH baik-baik belaka.
“Ketika berjuang di bawah platform parti AMANAH telah meninggalkan pelbagai pengalaman manis kerana parti ini amat berdisiplin, ikhlas sesama sahabat dan keseluruhan pemimpin-pemimpinnya baik-baik belaka!

“Secara jujur dan ikhlas saya amat menyayangi semua kepimpinan tertinggi parti AMANAH khususnya presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan anggota tertinggi parti ini. Kalangan ini adalah para pejuang yang amat gigih!” ujarnya dalam kenyataan lewat tengah malam tadi.

Sehubungan itu, Khairuddin menyifatkan hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi baik seluruh pemimpin-pemimpin AMANAH yang banyak membantunya dalam karier politik termasuk bertanding dan menjawat jawatan Penyelaras Parlimen Jasin.

“Insya-Allah, dalam masa terdekat saya akan berjumpa dengan presiden parti AMANAH untuk menzahirkan keputusan bagi menyerahkan balik kerusi Parlimen Jasin seterusnya meletakkan jawatan selaku Penyelaras Parlimen Jasin berkuat-kuasa serta merta.

“Jutaan terima kasih dan penghargaan yang tiada terhingga kepada presiden serta keseluruhan kepimpinan tertinggi parti yang telah meluluskan keahlian saya menganggotai parti ini pada suatu masa dahulu,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Khairuddin adalah bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Batu Kawan yang menyertai Bersatu sebelum keluar untuk memimpin gerakan Deklarasi Rakyat seterusnya menjadi ahli AMANAH menjelang PRU-14.

Bekas pemimpin Umno itu secara keluar PH serta-merta atas dakwaannya tidak akan bernaung di bawah ‘pemimpin sewel dan berpenyakit’ seperti Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri kesembilan.

Bahkan, secara terus-terang Khairuddin mengajak keseluruhan orang Melayu dan umat Islam menolak Anwar.

“Hanya ‘orang gila’ saja yang sanggup bernaung serta berjuang di bawah kepimpinannya (Anwar)!
“Allah SWT tidak akan memberkati sesiapa saja yang menyokong pemimpin ‘songsang’ yang ‘sewel’ dan ‘berpenyakit’!” kecamnya lagi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.