https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kadir: Guna usul PM singkir speaker sebagai 'undi tak percaya PM'

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin mencadangkan supaya usul penggantian speaker parlimen pada sidang Dewan Rakyat esok dapat digunakan sebagai kaedah tidak langsung untuk mengukur sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

 "Usul itu dapat digunakan untuk menunjukkan keyakinan kepada perdana menteri atau secara tidak langsung sebagai undi tidak percaya (ahli parlimen) terhadapnya," kata wartawan veteran itu dalam catatan blognya hari ini .

Ini berlaku selepas Muhyiddin, yang mengetuai pemerintahan Perikatan Nasional (PN) yang baru dibentuk, bulan lalu mengemukakan beberapa usul untuk menyingkirkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming.
Usul itu, yang telah diterima oleh Ariff untuk dibahaskan, akan menjadi usul pertama yang bakal dibentangkan ketika Dewan Rakyat bersidang esok. Sidang Dewan Rakyat dijadualkan berlangsung dari 13 Julai hingga 27 Ogos.

Dilaporkan Muhyiddin berhasrat mencalonkan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun sebagai speaker dan Ahli Parlimen BN Pengerang, Azalina Othman Said sebagai timbalan speaker.

Menurut Kadir hari ini, Muhyiddin barangkali berharap mendapat layanan yang lebih baik daripada speaker baru yang mana beliau berperanan dalam pelantikannya.

"Tapi mungkin tidak semudah itu. Beliau mungkin berhadapan penentangan daripada anggota Dewan Rakyat. Mereka mungkin tidak setuju dengan usahanya untuk menyingkirkan Mohd Ariff dan melantik Azhar.

"Sekiranya ini terjadi, kedudukan beliau sebagai perdana menteri akan terjejas kerana keadaan sebegitu dapat ditafsirkan secara tidak langsung sebagai undi tidak percaya terhadapnya," tulis Kadir.

Dalam catatan blognya, Kadir, yang merupakan penasihat media kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, menunjukkan ini pertama kalinya dalam sejarah negara bahawa seorang perdana menteri telah mencadangkan untuk membuang speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Mohamad Ariff Md Yusof dan Nga Kor Ming.
Kadir bagaimanapun mencadangkan kemungkinan Azhar dipilih menjadi speaker Dewan Rakyat akan dapat meneruskan kebebasan penyandang jawatan parlimen itu. Azhar telah meletak jawatan sebagai pengerusi SPR pada 29 Jun lalu.

Tetapi timbul kebimbangan mengenai hal ini, memendangkan empat bulan lalu Muhyiddin telah melantik abangnya, bekas hakim mahkamah persekutuan Idrus Harun, sebagai peguam negara.

Usul undi tak percaya dari Dr M
Ariff, bekas hakim, telah berhenti daripada jawatan parti dalan Amanah sebelum usul melantiknya sebagai speaker, manakala Nga, yang merupakan ahli parlimen Teluk Intan, masih bersama DAP.

Timbalan speaker Mohd Rashid Hasnon, yang merupakan ahli parlimen Batu Pahat yang berpihak kepada kerajaan PN, tidak terpengaruh dengan usul tersebut.

Kadir hari ini juga mengulas spekulasi bahawa langkah Muhyiddin meletakkan speaker baru itu sebagai persediaan maklum balasnya terhadap undi tidak percaya perdana menteri.

Dr Mahathir, bekas perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan, mengemukakan usul itu setelah pentadbirannya digulingkan Langkah Sheraton yang dipimpin, sebahagiannya hasil gerakan Muhyiddin, menteri dalam negeri dalam kabinetnya ketika itu.

Walau pun demikian, usul itu sepatutnya didengar pada persidangan parlimen sebelum ini bulan Mei lalu tetapi ditangguhkan ketika kerajaan memutuskan untuk mengadakan persidangan selama satu hari berikutan krisis kesihatan wabak Covid-19.

Selanjutnya, Kadir juga berkata jika Muhyiddin "berjaya menyingkirkan Ariff dan melantik Azhar, kedudukannya akan menjadi bertambah kuat."

"Usul undi tidak percaya daripada Dr Mahathir akan berhadapan laluan yang lebih sukar.

"Tetapi apa pun keputusannya, objektif akhir tetap untuk kebaikan negara dan rakyat lebih-lebih lagi ketika kita memasuki fasa pemulihan wabak Covid-19 serta membangun semula ekonomi," tulis catatan blog itu.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.