https://critoxium.com/shop/

Terkini

Apa terjadi jika Muhyiddin gagal singkir Ariff?

Oleh Wong Chin Huat

 Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan membawa usul untuk menukar Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof. Tindakan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Parlimen ini dikecam kuat oleh masyarakat sivil dan pihak pembangkang.

Muhyiddin dijangka akan berjaya tetapi apa yang akan terjadi jika berlakunya keajaiban - usul itu dikalahkan dengan tipis?

Adakah kegagalan menukar YDP akan memendekkan hayat pentadbiran Muhyiddin atau memaksa beliau membubarkan Parlimen? Adakah ia akan membawa bala kepada beliau sepertimana usaha Dr Mahathir Mohamad untuk mengelakkan transisi kepada Anwar Ibrahim berakhir dengan kejatuhannya sendiri sebagai perdana menteri?

Kalah tak bermakna hilang keyakinan

Pada masa lalu, sememangnya apabila usul atau rang undang-undang kerajaan ditolak oleh Parlimen, ia dianggap seolah-olah kerajaan sudah hilang keyakinan Parlimen. Sama seperti apabila belanjawan ditolak, kekalahan dalam perundangan bermakna perdana menteri perlu letak jawatan atau memohon perkenan untuk pilihan raya baru.

Sejarah merekodkan bahawa peletakan jawatan perdana menteri yang pertama di Britain berlaku pada tahun 1742. Setahun sebelum itu, pembangkang membawa usul tidak percaya yang julung kali dalam sejarah terhadap perdana menteri Britain yang pertama, Robert Walpole tetapi beliau berjaya mempertahankan kedudukannya.

Apabila usul kerajaan untuk mensahihkan satu pilihan raya kecil ditewaskan, Walpole menerima kekalahan itu sebagai kehilangan kepercayaan oleh Dewan dan mengundur diri.

Pada tahun 1944, di tengah-tengah Perang Dunia Kedua, Winston Churchill memberitahu Parlimen bahawa dia akan letak jawatan kalau posisi kerajaan terhadap satu pindaan rang undang-undang tidak disokong kerana ia samalah seperti usul percaya kepadanya. DanChurchill menang pertaruhan tersebut.

Oleh kerana politik menjadi semakin kompleks, berpecah-pecah (fragmented), dan ahli parlimen bangku belakang (backbenchers, yakni ahli parlimen daripada parti pemerintah tetapi tidak semestinya menyokong setiap usul kerajaan)  makin berani untuk mengingkari arahan parti, ia tidak masuk akal bagi sesebuah kerajaan zaman sekarang untuk mengundur diri setiap kali mereka kalah suatu undian.

Mengambil contoh dari Britain sekali lagi: Theresa May tidak letak jawatan sejurus selepas gagal mendapat undian majoriti di Parlimen untuk menyokong pelan Brexit yang dirunding pasukannya. Beliau hanya mengundur diri selepas kalah buat kali ke-4.

Oleh itu, jika Muhyiddin gagal menyingkirkan YDP Dewan Rakyat, beliau tidak perlu dilihat sebagai hilang kepercayaan Dewan Rakyat. Bagaimanapun, jika beliau berani membawa usul percaya terhadap dirinya dan berjaya mendapat undian majoriti, beliau akan dapat mengabsahkan kerajaannya dari segi prosedur dan membungkam pengkritiknya.

Seperti yang ditunjukkan oleh ahli parlimen PKR Hassan Karim, Muhyiddin bahkan mempunyai duluan yang ditinggalkan oleh Mahathir yang tidak letak jawatan apabila rang undang-undang untuk pindaan perlembagaan kerajaannya ditewaskan pada April 2019, juga julung kali di sejarah Malaysia.

Buat apa tukar YDP Dewan Rakyat?

Sebenarnya, apa manfaat yang akan diperolehi Muhyiddin dengan menyingkirkan Ariff?
Sekiranya motivasi Muhyiddin adalah untuk membalas dendam kerana keputusan YDP untuk menerima usul tidak percaya yang dibawa Mahathir terhadapnya (dalam aturan mesyuarat asal sesi parlimen pada 18 Mei), mungkin ia tindakan yang masuk akal.

Akan tetapi, jika pertukaran YDP didorong oleh perhitungan politik agar Muhyiddin tetap berkuasa, saya khuatir perdana menteri mungkin tidak diberi nasihat yang tepat.

Pembangkang mempunyai dua cara untuk menjatuhkan kerajaan. Undi tidak percaya secara formal dapat dielakkan jika kedudukannya terlalu belakang dalam aturan Dewan sehingga tiada peluang untuk berlaku. Usul tidak percaya atas Muhyiddin oleh Mahathir kini menjadi perkara ke-27 dalam aturan mesyuarat, jauh ke bawah. Seseorang YDP yang bersikap kepartian dan berat sebelah berguna untuk memastikan usul itu tidak dicepatkan.

Cara kedua adalah dengan tidak meluluskan Belanjawan (“rang undang-undang perbekalan”). Ini tidak dapat dielakkan oleh mana-mana YDP, sekalipun jika sikap kepartiannya setinggi awan.
Analoginya begini: Setiap tahun ketika Belanjawan dibentangkan, kepala kerajaan berada di atas papan pemotong Parlimen. Apabila Belanjawan diluluskan, kapak Parlimen tetap di udara dan kepala kerajaan selamat melepasinya tanpa dipancung.

Tidak ada YDP di dunia ini yang dapat menghentikan kapak Parlimen jatuh ke bawah apabila Belanjawan diusulkan. Apa yang membuatkan kapak itu tetap berada di udara (dan tidak jatuh dan memancung kepala kerajaan) adalah majoriti yang dipegang oleh kerajaan.

Oleh itu, jika Muhyiddin tiada majoriti, pemerintahannya akan berakhir selewat-lewatnya pada awal Disember apabila Belanjawan mesti diusulkan untuk undian. Jika pembangkang mempunyai majoriti, mereka boleh memalukan pihak kerajaan dengan menolak setiap usul dalam proses tujuh minggu selepas Hari Belanjawan (6 Nov).

Dari segi strategi, pengagihan jawatan-jawatan kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) demi memastikan kesetiaan anggota Parlimen kerajaan adalah satu langkah rasional dalam "scheme of things", tetapi bukan penukaran YDP.

Sebenarnya kalau Muhyiddin memiliki majoriti yang boleh menukar Speaker, lebih baik beliau menggunakannya untuk mengalahkan usul tidak percaya pembangkang. Ia sekaligus mematahkan semangat pembangkang dan memberikan kerajaannya keabsahan dari segi prosedur.

Manfaat kecil untuk kerajaan, rugi besar buat demokrasi?

Mungkin ada pembaca yang bertanya sekarang, “sekiranya penyingkiran YDP hanya membawa manfaat kecil kepada kerajaan, bagaimana ia pada masa sama boleh menjadi satu kerugian besar bagi demokrasi kita sehingga masyarakat sivil dan pembangkang membantahnya dengan lantang?”
Jawapannya: Ya, kerana fungsi Parlimen jauh lebih besar daripada sekadar sebuah badan pemilih (electoral college) yang menentukan perdana menteri.

Selain mengekalkan atau menarik balik kepercayaan kepada kerajaan dan meluluskan belanjawan, Parlimen yang kita bayar RM145 juta pada tahun 2019 (di mana RM44 juta digunakan hanya untuk membayar elaun bulanan anggota Parlimen) juga mempunyai dua fungsi yang lain: membuat undang-undang dan memantau pentadbiran kerajaan.

Dewan Rakyat kita memerlukan seorang YDP yang tidak berat sebelah dan berwawasan untuk menyatukan ahli-ahli parlimen dari pelbagai parti dan meneruskan reformasi parlimen. Antara perubahan penting yang masih diusahakan dan dinanti-nantikan: lebih banyak jawatankuasa parlimen, slot untuk urusan bukan kerajaan , cabutan undi untuk usul rang undang-undang persendirian, pengiktirafan kabinet bayangan  dan suruhanjaya perkhidmatan parlimen.

Sebenarya, mutu paling utama yang perlu ada dalam seorang YDP ialah sikap tidak memihak sehingga beliau dapat memimpin seluruh Dewan dan berupaya mengingkari kuasa Eksekutif bila perlu.

YDP Parlimen England yang paling masyhur, William Lanthell mengingkari perintah Raja Charles I yang masuk bangunan Parlimen dengan askar untuk menahan lima orang ahli parlimen yang mengkritik kerajaan (Istana pada zaman itu).

William Lanthell menjawab, “Ampun Tuanku. Patik tidak ada mata untuk melihat dan lidah untuk bersuara di sini kecuali menurut perintah Dewan yang patik bertugas sebagai hambanya.”
YDP Ariff bukan setia kepada Mahathir atau PH yang melantiknya. Beliau setia kepada, dan menjunjung, demokrasi berparlimen.

Mengapa saya berkata demikian? Apa bukti yang saya ada? Buktinya, YDP Ariff pernah “mengingkari” arahan dari dua perdana menteri. Sebelum mengingkari Muhyiddin pada bulan Mei (dengan menerima usul Mahathir), beliau pernah menolak permintaan Mahathir untuk mengadakan sesi parlimen khas pada 2 Mac. Sekiranya beliau setia kepada Mahathir, Muhyiddin mungkin bukan perdana menteri hari ini.

Tidak banyak YDP yang pernah diuji dua kali untuk mempertahankan kebebasan, autonomi dan kewibawaan Parlimen dari perdana menteri. Dalam dua ujian tersebut, Ariff bukan sekadar meninggalkan legasi dirinya, tetapi beliau juga mencipta halaman baru dalam sejarah Parlimen kita.

Apa pula alasan sekarang untuk menyingkirkan Ariff? Usul itu tidak menawarkan apa-apa penjelasan kecuali menyatakan "terdapat pencalonan lain."

Ini adalah satu penghinaan kepada Ariff, calon YDP baru Azhar Harun, dan kedudukan YDP itu sendiri. Parlimen yang kita biaya sebanyak RM145 juta setahun ini bukan bangunan gajah putih (white elephant) yang mewah tetapi tidak berguna, dan YDP pula bukanlah objek hiasan mewah yang kita boleh beli dan tukar sewenang-wenangnya.

Saya mengagumi visi, kecekapan dan integriti Azhar. Beliau boleh menjadi YDP yang hebat, mungkin tidak kurang berbanding Ariff dalam keadaan yang lain. Beliau juga pastinya seorang calon yang hebat untuk memegang kerusi YDP Dewan Negara.

Adalah tragis sekarang bahawa Azhar dijadikan untuk mengisi kasut besar yang ditinggalkan Ariff, yang mesti dipecat kerana telah lulus “ujian” sejarah dengan mengingkari dua orang perdana menteri.

Ada kemungkinan usul singkir Ariff gagal?

Sekiranya semua 222 ahli Parlimen hadir dan mematuhi arahan parti (party whip), kebarangkalian usul itu akan lulus dengan majoriti tipis (113 menyokong, 109 membantah). Akan tetapi, jumlah akhir masih mungkin berbeza bergantung pada keadaan.

Mana-mana ahli-ahli parlimen pembangkang yang tidak hadir untuk membantah usul ini boleh menimbulkan kecurigaan bahawa mereka bersekongkol dengan pihak kerajaan dan mungkin ‘melompat’ tidak lama lagi.

Sebaliknya, ahli-ahli parlimen kerajaan yang tidak hadir dengan apa alasan pun (keracunan makanan, batuk, demam atau apa-apa sebab bukan kesihatan) bukan sahaja akan membantu mengekalkan seorang YDP yang bagus, tetapi juga boleh mengingatkan Muhyiddin tentang nilai sokongan mereka.
Malah, mereka yang belum mendapat tawaran jawatan syarikat milik kerajaan (GLC) mungkin akan mendapatnya sebelum Parlimen ditangguhkan pada Ogos nanti.

Sekiranya anda ingin memberitahu Ahli-ahli Parlimen untuk mengekalkan YDP Ariff, sama ada dalam kehadiran atau dengan tidak hadir pengundian, sila tandatangani petisyen ini.

WONG CHIN HUAT adalah saintis politik lepasan University of Essex dengan tumpuan terhadap institusi politik dan konflik kumpulan. Dia kini mengetuai kluster sistem pilihan raya dan persempadanan kawasan dalam Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) kerajaan. Dia adalah seorang oportunis berprinsip yang sedar akan motivasi kepentingan diri manusia ke arah dunia yang lebih baik.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.