https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ketika menukil seseorang adakalanya tersilap.

Oleh Dr Rozaimi Ramle

Saya mendengar perbahasan MP Pontian Dato' Ahmad Maslan di Parlimen tadi. Ia satu satu ucapan yang baik. Cadangan beliau dalam perbahasan tadi juga baik. Tahniah saya ucapkan kepada beliau.

Namun, sewaktu perbahasan berlangsung beliau ada membacakan terjemahan hadis dan meminta MP Pasir Puteh membacakan matannya. Lalu terjadilah perbincangan tentang hadis yang beliau bacakan apabila ditegur oleh MP Simpang Renggam.

Oleh kerana hadis adalah minat saya, maka saya terpanggil untuk memberikan komentar. Berikut komentar saya:

1. Pertama saya rasa sedikit gembira kerana bacaan hadis bergema di Parlimen. Ia sangat baik.

2. Terjemahan hadis yang dibacakan oleh MP Pontian adalah keratan dari matan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Lafaznya seperti berikut:
اللهم إني أعوذ بك من الكفر والفقر، اللهم إني أعوذ بك من عذاب القبر لا إله إلا أنت
Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu dari kekufuran dan kefakiran. Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu dari azab kubur. [HR Ahmad, no hadis: 20446]
Syeikhuna Syuaib menilai hadis ini hasan. Hadis ini juga diriwayatkan dalam Sunan Abu Daud. [No. Hadis: 5090]

Maka dengan ini jelas bahawa sememangnya ada hadis yang menyebut lafaz kekufuran, kefakiran dan azab kubur dalam 1 hadis yang sama. Bukan hadis yang lain.

Justeru, dakwaan MP Pasir Puteh bahawa hadis itu tidak ada sambungan (terhenti sampai kefakiran) dan ia adalah hadis yang lain sewaktu membalas teguran MP Simpang Renggam bagi saya kurang tepat dan kurang teliti.

Hadis yang hampir sama ini juga diriwayatkan oleh Imam Al-Nasaie dengan lafaz berikut:

اللهم إني أعوذ بك من الكفر والفقر وعذاب القبر
Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu dari kekufuran, kefakiran dan azab kubur. [HR Al-Nasaie, no. Hadis: 5465 dengan sanad sahih]

Cuma hadis ini menyatakan doa ini dibaca ketika di akhir solat.

Benar seperti dakwaan MP Pasir Puteh, terjemahan mesti ikut hadis. Dato' Ahmad Maslan sememangnya mengikuti hadis yang betul dan ia disebutkan dalam 1 matan yang sama bukan gabungan hadis-hadis lain seperti dakwaan MP Pasir Puteh.

3. MP Pontian juga membacakan riwayat Abu Naim mengenai kefakiran. Mungkin maksud beliau adalah Abu Nuaim. Setelah mendengar teks arab yang MP Pasir Puteh bacakan. Bagi saya bacaan itu kurang tepat. Matan yang betul ialah:

كاد الفقر أن يكون كفرا
Maksudnya: Hampir-hampir kefakiran menjadi kekufuran. [Abu Nu'aim dalam Hilyat al-Auliya', jil. 3, hal. 53]

Status hadis ini dipertikai oleh ulama hadis silam. Al-Iraqi, Ibn al-Jauzi, al-Sakhawi telah menjelaskan kedaifan hadis ini.

Namun, bagi saya itu satu kesilapan yang biasa berlaku. Sememangnya ketika menukil seseorang adakalanya tersilap tambahan pula jika diminta secara tiba-tiba.

Saya juga adakalanya begitu dan kesilapan MP Pasir Puteh di sini tidak menjejaskan makna hadis tersebut secara total.

Sekian komentar saya.

Dr Rozaimi Ramle

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.