https://critoxium.com/shop/

Terkini

Akar umbi Umno sukar terima Bersatu

PEMIMPIN akar umbi Umno terutama sayap Pemuda sukar untuk menerima penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional (MN).

Mereka berpendapat, lebih baik Bersatu dibubarkan dan ahlinya kembali menyertai Umno memandangkan parti itu kini berpecah dua.

Seorang anggota exco sayap tersebut, Bastien Onn berpendapat cara itu lebih baik kerana sebahagian anggota Bersatu kini bersama parti Pejuang yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad.

“Saya berpandangan lebih baik Bersatu ini menyertai Umno dari menyertai Muafakat Nasional. Lagipun kebanyakan mereka datangnya dari Umno.

“Ini harus dimulai oleh (Presiden Bersatu) Muhyiddin (Yassin) sendiri,” kata Bastien kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, para pengundi terutamanya dari kalangan komuniti Melayu berpandangan tiada keperluan kewujudan dua parti dengan identiti yang sama.

“Orang Melayu rata-rata menyatakan bahawa tidak perlu ada dua parti yang serba-serbi sama dari segi perjuangan dan identiti.

“(Lagipun) Muhyiddin bukan lompat dan meninggalkan Umno, tetapi dipecat dari parti,” kata ketua pemuda Umno Segamat, itu lagi.

Beliau juga berpendapat parti Barisan Nasional kini lebih baik berbanding Bersatu kerana gabunganm parti itu menjalankan pemulihan dan pemutihan selepas PRU14.

“BN dah melalui proses pemulihan parti – menjauhkan diri daripada pemimpin yang bermasalah, itulah yang menjadi punca BN tewas. Kuasa rakyat yang mahukan kepimpinan Umno dibersihkan.

“Nama Bersatu (pula) tercalar kerana berada bersama kelompok yang menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat melalui manifesto yang tidak tertunai,” kata Bastien.

Tambahnya, Bersatu juga menerima pandangan buruk masyarakat kerana tidak menunaikan janji untuk menyerahkan kerusi perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Melihat ke hadapan, Bastien juga berkata penyertaan Bersatu akan memberikan pelbagai kesan kepada Umno dan parti lain, terutamanya membabitkan rundingan pembahagian kerusi PRU15.

“Sudah tentu ianya membuka ruang rundingan yang lebih besar kepada Bersatu untuk berunding.

“Kalau diikutkan, (dalam) enam pilihan raya yang lalu ditempuhi tanpa Bersatu, kita mampu memperoleh keputusan yang baik,” kata Bastien lagi.

Beliau seterusnya berpandangan, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Slim akan menjadi penanda aras sama ada Bersatu diterima dalam kerjasama dengan Umno dan PAS dalam MN.

“Di PRK Slim, MN akan mengukur sama ada kerjasama ini direstui oleh rakyat atau tidak, ini penanda aras untuk pilihan raya umum akan datang,” katanya lagi.

Seorang lagi anggota jentera Pemuda Umno berkata, anggota di peringkat akar umbi itu tidak senang dengan penyertaan Bersatu dan rasa berat hati untuk berkempen untuk calon parti tersebut.

“Kerjasama dengan PAS kami tidak ada masalah, tetapi kalau Bersatu masuk pilihan raya wakil PN, susah untuk saya terima.

“Secara peribadi, saya tidak akan angkat bendera merah bunga raya,” kata pemimpin Pemuda Umno itu yang merujuk kepada lambang parti Bersatu.

Sikap seperti itu dapat dilihat semasa dalam insiden yang berlaku ketika majlis pelancaran jentera Pemuda BN Perak untuk berkempen dalam PRK Dun Slim.

Dalam kejadian itu, jentera Pemuda BN tersebut mengebu wakil Armada yang berada di atas pentas.

Insiden itu dilaporkan berlaku dua kali, pertama ketika Pengerusi Pemuda BN Asyraf Wajdi Dusuki sedang memperkenalkan barisan wakil parti komponen.

Kali kedua, ia berlaku ketika Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi sedang memberikan ucapan beliau dan memaklumkan Bersatu akan menyertai MN.

Mengulas insiden itu, Ketua Armada Bersatu Pulai Che Wan Farid Che Wan Abd Rahman berkata, ia menunjukkan Pemuda BN masih belum bersedia untuk bekerjasama dengan Bersatu.

“Perkara demikian agak memalukan dan menunjukkan yang BN belum bersedia dan berlapang dada untuk bekerjasama dengan Bersatu dan sekali gus membawa impak negatif kepada penerimaan akar umbi untuk MN,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Namun begitu, Che Wan Farid berkata, sayap pemuda Bersatu itu akan sentiasa bersedia bekerjasama dengan komponen MN terutamanya dalam PRK Dun Slim.

“Kami akar umbi akur dengan pucuk kepimpinan parti dan bersedia kerjasama dalam apa jua sudut bersama parti komponen Umno dan PAS untuk PRK dalam masa terdekat ini.

“Buat masa sekarang kami di peringkat negeri menunggu perlantikan ketua Armada negeri daripada ketua Armada nasional yang baharu,” katanya.

Armada Bersatu baru selesai menjalani proses pemilihan semalam dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dipilih sebagai ketua yang baharu.

Susulan kemenangan itu, beliau menyatakan tekad untuk membina hubungan baik bersama Pemuda Umno dan Pemuda PAS dalam Muafakat Nasional.

Ketua Armada Bersatu Sri Gading Muhamad Zulfadhly Zulkifly juga menyatakan kesediaan untuk menjalin hubungan rasmi dengan Umno dan PAS.

“Saya dengan kepimpinan Umno tidak ada masalah. Ada ketua-ketua cawangan, malahan jawatankuasa Pemuda Umno yang berjumpa kita.

“(Buat masa ini) kita tak boleh nak formalkan sebab belum ada kata putus untuk buat program bersama. Kita kena tunggu arahan daripada atas.

“Kalau kata nak formalkan kita akan gerakkan,” kata ahli jawatankuasa Armada nasional itu yang menang dalam pemilihan semalam.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan penyertaan ke dalam MN semalam berkata keputusan itu dibuat dengan persetujuan Majlis Tertinggi parti itu.

Katanya, penyertaan dalam MN adalah pilihan terbaik untuk parti itu memandangkan mereka akan berada dalam kelompok besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara ini.

“Dengan terbentuknya penyatuan antara Bersatu, Umno, PAS dan parti-parti lain dalam kerajaan PN, sebahagian besar sokongan rakyat sudah pun berada di pihak kita,” kata Muhyiddin

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.