https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dah dapat kuasa, jangan jadi 'menteri ketegaq'

Oleh Mohd Mizan Aslam

 Berapa lama lagi masa diperlukan untuk negara ini melahirkan seorang YB (Yang Berhormat) yang boleh menjadi contoh teladan buat rakyat?

Seorang YB yang menjadi teladan dan contoh baik buat ikutan semua terutamanya anak-anak muda. Cukup lama negara ini ketandusan pemimpin yang mempunyai integriti tinggi dan boleh diangkat sebagai ikon oleh kawan mahupun lawan.

Sejak kiblat Malaysia diubah dari negara merdeka dan makmur kepada moden dan maju, maka sejak itulah Malaysia kehilangan pimpinan yang suci dan tulus.

Dan sejak itu jugalah lahirnya ramai YB ketegar atau dalam bahasa utaranya ketegaq. Tulisan ini bukan untuk menghina mana-mana pihak atau parti politik tertentu, akan tetapi inilah realiti lama dalam normal baru yang sedang dihidangkan kepada rakyat marhaein yang dahagakan keadilan.

Apabila rakyat yang buat buat salah, hukumannya sudah jelas menanti. Seksanya mereka hingga ada yang tersungkur merebah bumi. Ada yang terpaksa menjual harta peribadi, rumah, tanah dan sebagainya.

Gagal berbuat demikian, gagal bayar wang jaminan atau gagal bayar denda maka ke penjaralah kamu. Akan tetapi tidak bagi YB. Duit, wang ringgit dan harta melimpah ruah, tiada masalah dendaan yang mencecah jutaan mahupun bilion.

Kemampuan ada, rezeki banyak malah proksi juga menjadi penyelamat di saat sukar.
Apabila hukuman RM1,000 untuk pesalah yang gagal mematuhi penjarakan sosial dikenakan, tingkat kesusahan Mak Cik Kiah dan Datuk Nurulhidayah adalah berbeza.

Apabila Mak Cik gelang pink dikenakan hukuman penjara sehari dan denda RM8,000, Uncle Sivagangga Napoh dikenakan penjara 5 bulan dan denda RM12,000, seharusnya tiada perbezaan untuk kluster Pak Menteri atau Kluster Kayangan.

Jangan dibeza-bezakan hukuman untuk rakyat marhaen dan pembesar negara, keluarga atau kroni mereka. Semuanya harus dilayan sama-rata sama rasa. Jika tidak, terpalitlah arang dimuka, terdedahlah pekung didada dan nampaklah fiil sebenar pemerintah.

Akan tetapi hingga ke hari ini, tiadalah penglima yang mahu memberi ulasan atau menyatakan pendirian jelas tentang isu ini.

Takut hilang undi
 
Seharusnya perdana menteri (PM) memberikan satu kenyataan tegas bahawa tiada kompromi sama sekali ke atas segala bentuk pelanggaran undang-undang ke atas sesiapa pun meskipun dirinya sendiri dan menteri-menteri kabinetnya.

Lihat sosok tubuh seperti Duli Yang Maha Mulia YDPA dan Tuanku Permaisuri, dengan sukarelanya mengasingkan atau mengkuarantinkan diri sendiri demi kebaikan rakyat dan negara khususnya termasuklah yang maha penting kebaikan diri sendiri.

Malah PM pun secara sukarela pernah melaksanakan tanggungjawabnya untuk kuarantin sukarela dengan jujur. Tetapi tidak bagi pak menteri kabinet lantikan PM sendiri.

Jangan kerana takut hilangnya undi dan kuasa maka nilai keadilan dikesampingkan. Ingatlah, meletakkan sesuatu yang haknya akan menjadi kerajaan hari ini lebih dihormati dan disanjungi semua lapisan masyarakat.
Malah Abdul Hadi Awang, presiden partinya pak menteri yang melanggar peraturan ini juga bertindak senyap. Tidak salahkah menurut kacamata Islam? Atau Islam dan politik adalah dua perkara yang berbeza?

Kalau dipisahkan keduanya dikatakan sebagai liberal dan mengamalkan hedonisme seperti kerajaan Thogut, tetapi dalam kes Khairuddin Aman Razali yang merupakan menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi nampaknya semua pihak membisu seribu bahasa.

Pastinya ‘diam bukan bererti setuju’ kan. Presiden parti perlu juga menegur anak buah masing-masing dengan beraninya. Perkara yang sama seharusnya dilaungkan oleh DAP ketika exconya ditahan tersabit kes rogol dan pengganas LTTE, atau PKR dalam kes liwat pimpinannya, Umno dalam kes rasuah dan salah guna kuasa ahli Majlis Tertinginya dan lain-lain parti politik di Malaysia.

Di awal tulisan ini saya nyatakan kita perlukan pemimpin yang mampu memberikan contoh dan teladan apatah lagi integriti tahap tinggi.

Seharusnya pemimpin seperti Khairuddin ini menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat. Jika partinya menggunakan Islam sebagai asas perjuangan, maka seharusnya diri beliau itu sendiri menjadi cerminan parti dan agama Islam itu sendiri.

Tak perlu tunggu kenyataan KKM
 
Ini bukannya sesi untuk memperlekehkan Islam atau PAS, akan tetapi ini adalah ruang untuk melihat semula, muhasabah dan membetulkan diri kita termasuklah saya sendiri.

Apa perlunya menanti kenyataan rasmi KKM, mengapa tidak mengakui kesilapan yang telah dilakukan sepertimana DS Hishammuddin yang mengaku salah ‘vaping’ di dalam Dewan Rakyat?

Jika Hishammuddin secara ‘gentleman’ mengakui kesalahan beliau dan akur dengan sebarang bentuk hukuman oleh kerajaan melalui KKM, maka seharusnya perkara yang sama juga dikenakan kepada mana-mana pemimpin yang melanggar SOP yang ditetapkan.

Juga barang diingat, ini bukannya skrip ‘buat dulu-tular-minta maaf’, tetapi ini ceritanya kita adalah pemimpin, perlu jadi contoh dan teladan kepada semua.

Kalau nak rakyat yang patuh undang-undang dan peraturan, maka kita perlu tunjukkan contoh dan patuh undang-undang tersebut. Macaman nak marah anak hisap rokok kalau kita sendiri pun merokok, macamana polis nak tangkap penunggang tidak pakai helmet kalau polis pun tak pakai helmet.

Ceritera yang sama juga berlaku apabila ada Pak Menteri tidak pakai pelindung muka semasa lawatan kerja rasmi ke Sabah dan beberapa majlis lainnya. Tidak ada sesiapa pun di atas undang-undang atau istilahnya ‘above the law’.

Ada ramai juga YB yang dilihat menjadi kebal sebab ada kuasa dan pengaruh. Ketika inilah mereka seperti mempunyai tangkal, sesiapa pun tidak ditakuti malah mereka lawan dan hentam saja hinggakan keluarlah ayat ‘awak YB ke saya YB?’.

Inilah hakikatnya ramai yang mula lupa bila ada kuasa dan jadi ketegaq. April lalu, exco MMK Perak dan Timbalan Menteri yang menghadiri kenduri di Lenggong, sama juga tak patuh SOP.

Pak Menteri Agama yang telah direpot polis atas kesalahan pelanggaran penjarakan sosial bersama geng-geng Wahhabi juga tidak kelihatan sebarang pergerakan, atau semua ini masuk kategori ‘NFA’ (tiada tindakan lanjut).
Jadi apa ceritanya ni? Dahlah mengaku salah pun tidak, malah belagak benar pula. Sepertinya salah hanya untuk golongan marhaen, dan 'maksum' untuk YB.

Semalam pula, seorang pelancong Perancis dilihat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dengan memakai gelang pink. Selepas menjadi tular beliau rupanya dibenarkan kuarantin di rumah kerana ‘Work From Home’.

Kemudianya kenyataan OCPD Langkawi pula bahawa beliau akan ditahan di klinik berhampiran tempat kediamannya. Aittt, mana satu ni? Ramai yang garu kepala, takkan ada pengecualian untuk ‘Mat Saleh’ pula, bukankah kerajaan dah bagitahu baru-baru ni kuarantin wajib’ sebaik menjejakkan kaki ke Malaysia?

Tetapi mengapa ada ‘special kes’ untuk mat saleh ni dan juga Pak Menteri aka YB ketegaq ni?

Kerana apa segelintir rakyat Malaysia dan orang luar yang masuk ke negara ini yang ketegaq, maka akhirnya semua terkesan. Kuarantin wajib dilaksanakan, malah kos berkaitan juga perlu ditanggung mereka sendiri.

Ini peluang untuk saya maklumkan kepada PM, Menteri Pertahanan, Menteri Kesihatan, Menteri KDN dan lain-lain lagi, ingatlah betapa banyak kerugian disebabkan kluster Sivagangga, hampir ratusan dijangkiti, ribuan peniaga terjejas, ratusan ribu masyarakat terkesan dan jutaan ringgit kerugian.

Takkan kita nak ada kluster ‘Turki’ atau kluster ‘Dr Ketegaq’ dan juga kluster ‘Perancis’ di negara ini. Tolonglah, rakyat melihat dan menilai. Kita inginkan keadilan dan kesamarataan.

Semua di bawah undang-undang dan wajib patuhi SOP tanpa mengira pangkat darjat. Akhirnya nanti, kita sama-sama diadili dihadapan Allah.

Ketika di Padang Mahsyar tak ada kluster YB atau kluster VIP, tergantung amal, budi dan iman yang dimiliki. Bukannya senang menjadi YB yang boleh menjadi contoh teladan, ujiannya amat hebat sehebat kuasa yang dimiliki. Wallahua’lam.

DR MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik dan antikeganasan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.