https://critoxium.com/shop/

Terkini

Guan Eng cabar Zafrul – dedah senarai penuh, tengok siapa kantoi

LIM Guan Eng mencabar Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan senarai penuh tender secara langsung yang dikeluarkan oleh kerajaan selama ini, termasuk sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan mentadbir.

Bekas menteri kewangan semasa kerajaan PH berkata pentadbiran sebelum ini mengamalkan tender terbuka tetapi ada beberapa pengecualian dan syarat tertentu termasuk keputusan Jemaah Menteri.

“Menteri Kewangan dicabar dedahkan senarai penuh tender secara langsung (direct award) oleh PH, PN (Perikatan Nasional) dan BN (Barisan Nasional).

“Jangan sembunyi dan sorok-sorok. Kita tengok nanti siapa yang kantoi.

“Tengok kroni-kroni siapa yang dapat projek,” katanya, dalam satu kenyataan di Facebook.

Lim membayangkan sesetengah tender secara langsung yang didakwa melibatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional, yang juga menteri dalam pentadbiran PH.

“Jangan suka baling batu sembunyi tangan. Berani kerana benar,” katanya.

Lim mengulangi cabaran itu di luar Dewan Rakyat selepas Zafrul semalam berkata sebanyak 101 projek dengan nilai perolehan RM6.61 bilion diberi secara rundingan terus semasa PH jadi kerajaan.

Zafrul membuat kenyataan itu menjawab celahan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan berkata  semasa menggulung perbahasan rang undang-undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) Covid-19 2020.

Jawapan Zafrul lalu mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat, sehingga menyebabkan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham diusir keluar oleh Speaker Azhar Azizan Harun.

Dewan Rakyat semalam kecoh apabila ahli parlimen dari kedua-dua belah kerajaaan dan pembangkang menuntut Zafrul menyenaraikan semua projek yang dimaksudkan.

Antara mereka yang menyampuk semalam termasuk Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) dan Noh Omar (BN-Tanjung Karang) serta Amin Ahmad (PH-Kangar).

Lim juga semalam berkata beliau terbuka sekiranya Zafrul memaklumkan senarai penerima tender secara langsung yang disebutnya.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim juga setuju supaya tender itu disenaraikan kepada umum, semasa PH dan PN jadi kerajaan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.