https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kompaun saja tak cukup, dakwa Khairuddin di mahkamah - Puad

Tindakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali, wajar didakwa di mahkamah dan bukannya hanya dikenakan kompaun RM1,000 kata seorang pemimpin kanan Umno hari ini.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Dr Puad Zarkashi, berkata ada dua isu besar melingkungi kes kegagalan Khairuddin mematuhi perintah wajib kuarantin selepas pulang dari luar negara baru-baru ini.

Kata Puad, pertama ialah melanggar peraturan kuarantin 14 hari dan kedua kompaun "ikut suka hati aku" daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun untuk rekod, semalam Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dipetik sebagai berkata, kompaun RM1,000 itu adalah jumlah maksimum yang diperuntukkan undang-undang mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta342).

Kata Puad dalam isu keingkaran Khairuddin itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terpalit sama dan dianggap melakukan campur tangan politik serta tidak boleh diharap.

"Sebab itu jangan gunakan KKM untuk cover line (menyelamatkan diri). Khairuddin patut didakwa di mahkamah," katanya dalam satu hantaran di media sosial malam tadi.

Khairuddin merupakan salah seorang ulama kanan PAS yang dilantik menyertai kabinet PN Muhyiddin Yassin pada Mac lalu.

Mengaku berat, memalukan

Khairuddin mengejutkan orang ramai apabila hadir ke sidang Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu walaupun pada waktu itu dia sepatutnya melakukan kuarantin kendiri selepas tiba di negara ini dari Turki pada 7 Julai.

Hal itu tidak diketahui ramai sehinggalah Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok, mendedahkannya pada 18 Ogos lalu. Sepanjang tempoh berkenaan anggota parlimen Kuala Nerus itu bertugas seperti biasa dan menghadiri pelbagai majlis yang melibatkan orang ramai.

Penyokong PAS pula mendakwa pendedahan itu merupakan serangan iri hati DAP kerana Khairuddin menunjukkan prestasi cemerlang sebagai menteri dalam kerajaan PN.

Perkembangan itu turut menyaksikan ada pihak membuat petisyen dalam talian bagi mendesak agar Khairuddin meletak jawatan sebagai tanda bertanggungjawab atas kesalahan berkenaan. 

Pada awalnya Khairuddin memberikan pelbagai hujah untuk mengabsahkan tindakannya tidak melakukan kuarantin, termasuk memetik nama istana.

Bagaimanapun selepas KKM mengesahkan Khairuddin dikompaun RM1,000 semalam, dia meminta maaf dan menawarkan untuk memulangkan empat bulan gajinya sebagai menteri.

Noor Hisham juga memberitahu polis masih menyiasat kes berkenaan.
Puad berkata Khairuddin itu bukan orang biasa sebaliknya memiliki pendidikan tinggi dan ada jawatan dalam parti.

Kesanggupan Khairuddin memulangkan gajinya selama empat bulan juga menunjukkan bekas bendahari Ulama Pusat PAS itu mengakui kesalahannya amat berat dan memalukan.

Pada masa sama, kata Puad, KKM pula dilihat bersikap pilih kasih kerana mengenakan kompaun RM1,000 sambil memusnahkan imej badan itu yang dihormati ramai.

"Janganlah kerana kritikan saya ini, saya dituduh tidak cover line (membela) dan tidak berjiwa Muafakat Nasional (MN). Pasti saya akan dikutuk.

"MN, MN juga. PN, PN juga. PAS, PAS juga. Tetapi keyakinan rakyat jangan dirobek-robek," katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.