https://critoxium.com/shop/

Terkini

Muhyiddin bentuk Bersatu ikut acuan sendiri

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin muncul dari bayangan Dr Mahathir Mohamad untuk menjadikan Bersatu mengikut cara sendiri berdasarkan keputusan pemilihan parti yang sedang berlangsung, kata penganalisis politik.

Dalam barisan kepimpinan baharu, presiden Bersatu itu mengukuhkan sayap parti selepas menyingkirkan bekas pengerusi Dr Mahathir dan berpisah daripada Pakatan Harapan yang menyaksikan kejatuhan kerajaan gabungan itu pada Februari lalu.

Muhyiddin juga berjaya menyingkirkan puak pemberontak dalam partinya dan menggantikan mereka dengan individu yang boleh dipercayai bagi meneruskan agendanya walaupun perdana menteri kelapan itu hanya memperoleh sokongan majoriti tipis di Parlimen.

Pengarah Eksekutif Kajian Pendapat Merdeka Centre Ibrahim Suffian berkata Muhyiddin mengukuhkan kedudukannya sebagai presiden parti untuk berdepan kemungkinan pilihan raya mengejut.

“Saya fikir pilihan raya telah menyatukan parti itu dengan melibatkan mereka yang setia kepada Muhyiddin.

“Perkembangan ini boleh menstabilkan parti dalam jangka masa pendek kerana mereka mungkin perlu berdepan pilihan raya mengejut selain berdepan cabaran daripada Dr Mahathir dan mereka yang menyertai Pejuang,” katanya merujuk kepada parti baharu Dr Mahathir.

Pensyarah Universiti Malaya Dr Awang Azman Azwang Pawi berkata amat jelas bahawa puak Dr Mahathir dalam Bersatu sedang disingkirkan berdasarkan keputusan pemilihan.

“Kem Dr Mahathir kalah. Dalam konteks Bersatu, mereka yang setia kepada Muhyiddin telah menang. Penyokong Dr Mahathir disingkirkan daripada parti.

“Amat menarik juga untuk diperhatikan bahawa segelintir ahli yang kekal disebabkan Muhyiddin adalah perdana menteri dan mereka berharap mendapat manfaat daripada kedudukan beliau,” katanya

Sebelum pemilihan parti diumumkan, Bersatu menyiarkan advertorial dalam akhbar bahasa Melayu untuk memaklumkan pemecatan 282 ahli pro-Dr Mahathir termasuk pengasas Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi dan ketua penerangan Armada Ulya Aqamah Husamudin.

Penganalisis berkata langkah itu menyebabkan perpecahan dalam Bersatu yang dilihat sebagai bayangan Umno sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Bersatu sudah berpecah. Ini bermakna sokongan akar umbi juga goyah. Ahli yang masih kekal sama ada setia kepada Muhyiddin atau mahu pengaruhnya sebagai perdana menteri.

“Ini yang berlaku kepada parti yang mempunyai pengikut kecil. Akhirnya Bersatu akan menjadi lebih kecil berbanding Umno dan PAS,” kata Awang.

Pengarah Eksekutif Ilham Center berkata mereka yang masih kekal dalam Bersatu mungkin mencari peluang untuk mendapat kedudukan atau mahu mengaut untung.

“Akar umbi Bersatu goyah. Mereka tidak kuat seperti sebelum ini. Bersatu tidak mempunyai kekuatan seperti PRU14.

“Mereka yang kekal bermotifkan keuntungan politik. Jika mereka tidak dapat apa yang dimahukan, mereka akan keluar parti,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.