https://critoxium.com/shop/

Terkini

Perjuangan perseorangan Dr M akan meraih simpati rakyat

 Oleh Zin Mahmud

Pada 7 Ogos lalu, Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media di bangunan Yayasan Albukhary di mana terletaknya pejabat beliau bagi mengumumkan penubuhan parti baharunya. Selepas itu beliau menghadiri satu perjumpaan dengan penyokongnya di Hotel Pullman, Bangsar.

Ketika bekas perdana menteri itu melangkah masuk ke dewan hotel itu, pihak penganjur memasang muzik alu-aluan daripada Vangelis, seorang pemuzik Yunani yang terkenal. Pilihan muzik itu mungkin hanya kebetulan sebagai bunyi hiasan latar untuk majlis tersebut.

Vangelis terkenal dengan gubahan muzik untuk filem, antaranya ialah Chariots of Fire, yang berkaitan dengan usaha atlet untuk berjaya dalam sukan Olimpik. Tetapi gubahan muzik beliau memberi semangat dan inspirasi pada para pendengar.

Dalam majlis itu, muzik yang dimainkan ialah Conquest of Paradise atau Penaklukan Syurga. ia merupakan muzik yang digubah oleh Vangelis untuk mengiringi filem mengenai penemuan Christopher Columbus ke atas benua Amerika.

Muzik itu dimainkan ketika detik-detik kapal dari Sepanyol itu menemui daratan di Amerika Tengah. Bayangkan kegembiraan penjelajah-penjelajah itu menemui daratan sedangkan sebelum itu mereka hanya berspekulasi.

Irama muzik itu sememangnya memberikan inspirasi. Itulah juga apa yang dapat dirasakan ketika Mahathir, seorang diri melangkah masuk ke dewan dengan disambut gemuruh oleh penyokongnya. Beliau berjalan tertib untuk duduk di kerusi di depan pentas berseorangan.

Sesiapa pun, terutamanya para penyokong yang melihat suasana ini akan terharu dengan semangat juang Mahathir. Beliau seseorang yang berusia 95 tahun, bukan saja mampu berjalan untuk melangkah merentas dewan hotel itu tetapi juga berkata-kata dengan jelas dan menegaskan kesungguhannya untuk terus berjuang menentang kleptokrasi dan menjadikan semula Malaysia sebagai Harimau Asia.

Semangat Mahathir itu tidak jauh berbeza dengan keazaman Columbus untuk mencari benua baharu dengan kepercayaan perjuangannya benar. Ketika Mahathir berjaya memenangi pilihan raya umum ke-14 dahulu pun, ia merupakan suatu yang luar biasa, ketika itu beliau berusia 93 tahun. Tetapi kali ini usia beliau 95 tahun, iaitu lagi luar biasa.

Atas keadaan beliau itu, banyak rakyat akan tetap memberi sokongan padanya. Dengan usianya itu, rakyat tentu faham kehadiran beliau tidaklah lama. Amat sukar untuk membayangkan beliau akan bertanding pilihan raya umum ke-15, walaupun jika diadakan pada tahun ini.

Tetapi apa yang penting ialah beliau masih berupaya dan mampu meraih sokongan rakyat. Sedangkan pihak lain pula tidak boleh diharap dapat memperbetulkan negara. Iaitu dengan Perikatan Nasional yang merupakan kerjasama parti PPBM dan pihak yang disebut oleh Mahathir sebagai kleptokrasi. Sementara Pakatan Harapan pula gagal mencari kata sepakat untuk memulihkan mandat rakyat.

Tindakan Mahathir hendak menubuhkan parti baharu sebagai ganti PPBM dilakukan setelah usaha bagi mengembalikan kedudukannya sebagai pengerusi parti gagal. Maknanya, beliau berjaya disingkirkan. Dengan serta-merta, para penyokongnya meninggalkan parti itu dan mengikuti beliau.

Apabila melihat beliau duduk seorang diri di depan pentas dewan itu, dapat dirasakan rakyat yang melihatnya melalui media, serta mengikuti perkembangan politik akan berasa simpati terhadapnya. Bagaimana beliau seorang diri terus berjuang walaupun ditinggalkan rakan seperjuangan.

Ini kerana ketika menghadapi PRU-14 sebelum ini, beliau tidak duduk bersendirian. Di kiri dan kanan beliau barisan kepimpinan PPBM, yang kini kebanyakannya meninggalkan beliau untuk mengikut Muhyiddin Yassin untuk berada dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Tambahan pula, ketika itu, apabila berdepan dengan orang ramai sebagai PH, beliau bukan saja diapit pemimpin PPBM, tetapi juga dari parti gabungan itu, iaitu PKR, DAP dan Amanah. Kini bukan saja PPBM tidak bersama beliau, tetapi juga ketiga-tiga parti PH itu.

Keadaan beliau yang lone ranger untuk terus berjuang menurut jalannya, iaitu My Way (italic) seperti mana nama lagu Frank Sinatra itu bukanlah perkara baharu. Penulis yang membuat liputan terhadap beliau pada 1980-an pernah merasai suasana keseorangan beliau itu.

Ia berlaku pada 1986, pada malam keputusan PRU. Pada masa itu Barisan Nasional menang besar dan berjaya mengalahkan PAS. Umno belum berpecah lagi. Tetapi bibit-bibit perpecahan sudah ada walaupun tidak terserlah pada PRU. Ada sebahagian penyokong Umno dan BN tidak mendokong Mahathir. Mereka menyokong Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam dengan Team B sedang membentuk.

Mahathir tetap mempunyai penyokong di dalam dan luar Umno. Ketika itu Anwar Ibrahim dalam kalangan penyokong beliau. Tetapi banyak pemimpin kanan Umno sudah menolak beliau.

Maka pada malam keputusan pilihan raya itu, beliau bersama pemimpin BN berada di dewan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk menyambut kemenangan dalam satu majlis gilang-gemilang. Penulis berada di situ dan berasakan beliau keseorangan. Tetapi beliau tidak mempedulikan mereka yang tidak menyokongnya, apa yang penting adalah bergerak terus.

Dua lagi suasana yang menampakkan beliau merupakan pejuang keseorangan adalah dalam PRU 1990 dan 1999. Dalam PRU tahun-tahun itu beliau dan BN menang besar juga. Cumanya sebahagian besar rakyat negara ini khususnya orang Melayu sudah tidak bersama beliau.

Dalam PRU 1990, BN nyaris kalah pada Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Tetapi ketika itu Anwar dan penyokongnya masih bersama dengan beliau.

Dalam PRU 1999 pula, Anwar seterunya. Sekali lagi BN menang juga. Tetapi pengaruhnya sudah terhakis. Terengganu jatuh pada PAS yang ketika itu bersekutu dengan Anwar melalui Barisan Alternatif. Anwar dalam penjara. Tetapi apa yang jelas sebahagian orang Melayu sudah menolak Mahathir.

Tetapi apabila beliau mahu melepaskan jawatan perdana menteri, negara terutamanya orang Melayu terkejut dan enggan melepaskan beliau. Tetapi penggantian perlu dilakukan dengan Abdullah Ahmad Badawi dipilih untuk meneruskan legasi Mahathir.

Ternyata tidak ada pemimpin lain yang boleh memikul legasi Mahathir selain dirinya sendiri. Sudah tentu bukan Abdullah, apatah lagi Najib Razak. Mahathir adalah khazanah dan permata negara bukan saja untuk dipertahankan tetapi dimanfaatkan oleh negara dan rakyat.

Apabila melihat ke belakang, difikirkan lebih baik sekiranya Mahathir dahulu tidak melepaskan jawatan. Beliau sepatutnya terus menjadi perdana menteri sehingga dirinya berasa perlu berundur. Iaitu sekurang-kurangnya selepas sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) November ini.

Dari awal lagi, walaupun ada perjanjian dalam PH bahawa beliau akan menyerahkan kuasa pada Anwar tetapi beliau meminta supaya dibenarkan untuk menyandang jawatan itu sehingga selepas sidang Apc, dan Anwar pada satu ketika dilaporkan bersetuju.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.