https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tukar kerajaan, PKP sebab TH lewat bentang penyata kewangan

KUALA LUMPUR: Perubahan kerajaan dan penangguhan sidang Dewan Rakyat susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) menjadi faktor pembentangan laporan tahunan dan penyata kewangan Tabung Haji (TH) 2018 tidak dapat dilaksanakan lebih awal.

TH dalam kenyataan hari ini berkata, laporan itu sepatutnya dibentangkan tahun lalu tetapi tidak dapat dilakukan kerana sidang Parlimen berakhir pada 19 Disember 2019.

Katanya, perancangan asal untuk membentangkan laporan itu di Parlimen ketika sidang Parlimen Mac lalu.

“Bagaimanapun, ia tidak dapat dilakukan kerana perubahan kerajaan dan penangguhan sidang Dewan Rakyat semasa PKP.
“Oleh itu, laporan ini hanya dapat dibentangkan di Parlimen hari ini selepas diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibentangkan pada 14 Ogos lalu,” katanya.

Katanya, laporan tahunan dan penyata kewangan TH 2018 (telah diaudit) dihantar kepada Jabatan Audit Negara pada April 2019.

TH turut menjelaskan, proses pengauditan laporan itu memakan masa agak lama sehingga menyebabkan ia lewat dibentangkan kerana pelan pemulihan dan penstrukturan TH dilaksanakan kerajaan terdahulu adalah suatu perkara kompleks dan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“(Susulan itu) Sijil Audit Bersih daripada Ketua Audit Negara hanya dikeluarkan pada 21 November 2019. Pada masa sama, TH perlu melalui proses biasa dan mendapatkan ulasan daripada agensi kerajaan berkaitan.

“Ulasan ini diperoleh pada 19 Disember 2019 dan diserahkan kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri, seterusnya di Parlimen selepas mendapat persetujuan jemaah menteri,” katanya.

Bagi laporan tahunan dan penyata kewangan TH 2019, TH menegaskan proses pengauditan masih lagi berjalan.

“Laporan itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri selepas pengauditan selesai sebelum dikemukakan ke Parlimen,” katanya.

Sebelum ini, bekas pengerusi TH Abdul Azeez Abdul Rahim dilaporkan menyoal tindakan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang gagal membentangkan laporan tahunan TH 2018 dan 2019.

Katanya, keperluan dan kewajipan menyediakan laporan tahunan penyata kewangan itu termaktub dalam Seksyen 5 dan 6, Akta Badan berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980 (Akta 240).

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mujahid Yusof Rawa kemudian menjawab persoalan itu dengan menegaskan laporan kewangan TH 2018 tidak dapat dibentangkan berikutan pertukaran kerajaan pada Februari lalu.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu menjelaskan, sebarang proses pengauditan sudah diselesaikan dan pihaknya sepatutnya membentangkan laporan itu pada Mac lalu.

Mujahid juga menggesa kementerian terlibat untuk membentangkan laporan itu dan tidak menyatakan laporan tersebut masih belum siap.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.