https://critoxium.com/shop/

Terkini

Minggu memualkan bagi Malaysia

Oleh Zin Mahmud

Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan, sewajarnya rakyat dalam keadaan gembira, bersemangat serta berazam baru, tetapi tahun ini keadaan bukan saja tidak selesa, sebaliknya memualkan.

Ancaman Covid-19 masih mengganggu negara dan dunia dengan kesan ekonomi tidak diketahui penghujungnya. Tetapi, apa yang memualkan ialah gelagat ahli politik tidak mencerminkan warga sebuah negara matang dan lama mencapai kemerdekaan.

Daripada seorang bekas perdana menteri yang sabit kesalahan, tetapi masih berkempen bagi pilihan raya kecil hinggalah menteri yang tidak menjalani kuarantin sekembalinya dari Turki. Daripada aktivis parti politik yang melakukan vandalisme terhadap tanda nama jalan hinggalah surat sokongan supaya anak timbalan menteri dilantik sebagai ahli lembaga pengarah. Tidakkah itu semuanya memualkan rakyat Malaysia?

Sepatutnya Malaysia pada 2020 berdiri megah kerana pencapaiannya sebagai negara Harimau Asia yang pada 1980-an amat dialu-alukan dengan semangat dan penuh harapan. Walaupun sasaran Wawasan 2020 tidak tercapai, tetapi seharusnya keadaan sekurang-kurangnya tidaklah seburuk hari ini.
Sememangnya tiada sesiapa boleh menjangkakan Covid-18 akan melanda dunia, tetapi jika politik negara berada dalam keadaan mantap, keadaan tidak akan seperti masa ini.

Pada permulaannya tidak begitu. Ketika Covid-19 muncul di Wuhan, China pada penghujung 2019, keadaan politik Malaysia dalam keadaan baik.

Sememangnya diketahui umum terdapat pergeseran dalaman PKR antara puak Azmin Ali dengan Presidennya, Anwar Ibrahim, tetapi ia tidak menjejaskan kedudukan kerajaan Pakatan Harapan.
Begitu juga kempen bernada perkauman dan keagamaan yang dilancarkan Umno dan PAS serta sekutu-sekutunya, ia tidak menjejaskan kedudukan politik dan kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Kedudukan politik PH mantap, walaupun timbul desas-desus mengenai rasa tidak puas hati dalam kalangan parti komponen yang terdiri daripada PPBM, PKR, Amanah dan DAP.

Namun, kepimpinan Mahathir selaku pengerusi PPBM, PH dan perdana menteri dalam kedudukan tiada sesiapa dapat mempertikaikan mandat rakyat yang diperolehnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kerana ia adalah jelas dan padu.

Maka, apabila masuk 2020, angka yang begitu keramat bagi Mahathir dan Malaysia, harapan masih tinggi untuk membawa negara ini ke kedudukan lebih baik daripada semasa pentadbiran Barisan Nasional, walaupun cita-cita Wawasan 2020 dikira hanya tinggal dalam lipatan sejarah.

Dalam keadaan inilah negara menghadapi Covid-19 dengan kerajaan PH sudah bersiap sedia.

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail mempengerusikan mesyuarat dan Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad bersama Timbalannya, Dr Lee Boon Chye memberi taklimat harian secara bergilir-gilir bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah. Kerajaan PH sudah bersiap sedia.

Tetapi, kemudian berlaku Langkah Sheraton yang menjejaskan kemantapan politik negara dan sedikit sebanyak menggegarkan tumpuan kepada usaha melawan Covid-19.

Sememangnya kerajaan Perikatan Nasional bertindak segera dan fokus dalam menghadapi Covid-19.

Apa yang mesti dilakukan telah dilaksanakan tanpa sebarang keraguan. Dalam hal ini, kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dapat menyatukan rakyat untuk memberi tumpuan bagi menundukkan Covid-19.

Namun, politik negara sudah kacau. Asasnya ialah mandat rakyat dikhianati dan pilihan pengundi pada PRU14 tidak bermakna lagi. Pihak yang kalah menjadi sebahagian daripada kerajaan, sementara pihak yang menang menjadi pembangkang. Rasa tidak puas hati melanda negara. Kalau tidak kerana perintah kawalan pergerakan (PKP), pasti penyokong PH turun ke jalan raya.

Ditambah pula kerajaan PN tidak ditubuhkan atas prinsip, walaupun ia sepatutnya merupakan kerajaan yang berdiri atas platform Melayu-Islam, tetapi melihat agihan jawatan menteri dan lantikan politik, termasuk pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ternyata ia merupakan barisan pentadbiran habuan untuk mendapatkan sokongan.

Minggu ini ialah bukan ke-6 PKP dalam pelbagai bentuk. PKP pemulihan pada awalnya dijangkakan berakhir 31 Ogos ini. Sempena Hari Kebangsaan ini, negara diharapkan bebas daripada Covid-19 dan rakyat dapat menikmati kebebasan dan usaha ekonomi boleh digerakkan dengan pantas supaya kerugian yang ditanggung dapat diganti balik.

Tetapi, itu hanyalah harapan dengan berbaki seminggu lagi menjelang Hari Kebangsaan, apa yang diharapkan tidak akan dicapai. Gelombang ke-2 dan ke-3 Covid-19 dijangka melanda September ini, bererti di penghujung Disember 2020, keadaan belum dapat dipastikan selesai, lebih-lebih lagi apabila disyaki terdapat “super spreader” Covid-19.

Namun, apa yang memualkan ialah kluster baru muncul, antara lain kerana rakyat tidak mematuhi SOP. Mereka yang pulang ke tanah air tidak mematuhi peraturan kuarantin. Kerajaan bertindak tegas dengan mengenakan denda tinggi dan tidak bertolak ansur. Tetapi, apabila menteri yang melakukannya, ia amat menjengkelkan.

Daripada penubuhan kerajaan PN, barisan kepimpinannya tidak seperti PH. Mereka tiada idealisme atau prinsip jelas, hanya laungan dan permainan sentimen kaum serta agama. Tiada manifesto yang perlu dilaksanakan, sebaliknya penghormatan kepada ketua mereka, Muhyiddin juga tidak jitu.
Dari awal lagi, anggota kerajaan melanggar SOP tanpa segan-silu sehingga timbul dakwaan berlaku dwistandard dalam layanan kerajaan terhadap rakyat biasa berbanding anggota kerajaan lantikan politik.

Selepas 6 bulan, keadaan politik semakin buruk. Bekas presiden Umno didapati bersalah, tetapi pengikutnya tidak malu untuk memberi sokongan. Malah parti sekutunya, PAS juga tidak malu menunjukkan sokongan.

Umno dari awal lagi menolak PN, ia hanya mahu berpakat dengan PAS dalam Muafakat Nasional. Tetapi, PAS kemudiannya bersedia menerima PPBM sebagai anggota MN. Dalam keadaan ini, apa makna PPBM apabila sebahagian ahli meninggalkannya untuk menyertai parti Mahathir, Pejuang?
Namun begitu, Pejuang yang meletakkan calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil Slim juga belum jelas arah tujunya. Usaha untuk memulihkan mandat rakyat begitu pudar kerana kegagalan persepakatan antara Mahathir dan Anwar.

PH masih terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah. Mereka pula jelas memberi sokongan kepada Warisan dan Upko untuk Pilihan Raya Negeri Sabah. Tetapi di Semenanjung Malaysia, Pejuang menyatakan mereka berkecuali antara PH dan PN.

Sungguh memualkan melihat gelagat anggota kerajaan PN, Pejuang atau sesiapapun tidak boleh berkecuali. Mandat rakyat jelas dikhianati. Kalau ia tidak boleh dikembalikan pun, usaha mesti dihalang daripada membenarkan PN, MN dan BN kembali berkuasa.

Tahun 2020 dirasakan mengecewakan, walaupun ia belum berakhir. Semoga 2021 memberi harapan baru kepada rakyat dan negara ini, tetapi tanpa usaha dan tumpuan perjuangan, keadaan memualkan ini akan berpanjangan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.