https://critoxium.com/shop/

Terkini

Apa yang pembangkang dapat belajar dari kekalahan di Slim?

Bermula dari awal pengumuman pengosongan kerusi DUN Slim ini, semua pihak tertumpu kepada bagaimana parti-parti politik dapat menguruskan koalisi atau gabungan masing-masing untuk mewakilkan seorang calon dari kalangan mereka.

Paling awal mencapai kesepakatan adalah Perikatan Nasional (pada ketika itu). Memandangkan kerusi itu disandang oleh wakil daripada Umno, PAS dan Bersatu tidak memanjangkan perundingan dan menyerahkan sepenuhnya kepada Umno untuk menghantar calon.

Bagi mereka, ini hanyalah PRK dan yang jauh lebih penting adalah menang besar untuk memberikan semangat kepada penyokong mereka bahawa BN sudah kembali pulih.

Di pihak pembangkang, PKR melalui setiausaha politik presidennya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, paling awal mendahului mana-mana perbincangan dan membuat kenyataan untuk meletakkan calon dari PKR dengan penuh yakin.

Bersatu Blackout pula pada ketika itu melalui Marzuki Yahaya, turut menyatakan pendirian kumpulannya untuk bertanding. Hujahnya, kerusi itu sebelum ini ditandingi Bersatu. Jadi

PRK ini mereka akan mempertahankannya meskipun atas tiket bebas. Pun kelihatan begitu yakin.
PH selepas daripada itu, bermesyuarat dan membuat keputusan untuk tidak bertanding dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada Bersatu Blackout.

Bersatu Blackout menyambut baik keputusan tersebut. Mereka seterusnya memulakan langkah untuk mencari dan memutuskan calon yang paling sesuai.
Dalam satu pertemuan dengan kenalan dalam Bersatu Blackout (Pejuang), saya nyatakan beberapa persoalan kerana kelihatan tak berapa jelas dari sudut kerjasama yang ingin dibuat dalam pilihan raya kecil ini.
Bersatu Blackout dikatakan tidak mahu dilihat sebahagian daripada PH tetapi mahu mendapatkan kerjasama jentera daripada parti anggota PH untuk membantu. Logo bertanding juga mahu menggunakan logo bebas menurut kenalan saya itu.
Penjelasannya masih tak jelas pada saya tetapi di akhir perbualan dengannya, beliau katakan salah satu matlamat mereka adalah untuk memasarkan parti baru yang akan ditubuhkan.
Saya kira memang itulah antara tujuannya dalam PRK ini. Dalam tempoh berkempen, mereka perkenalkan nama Pejuang beserta logo parti baru mereka.
Bantuan Amanah
Amanah seperti mana dalam setiap PRK, membantu dan menurunkan jentera di lapangan sudah menjadi kebiasaan dan sesuatu yang tidak perlu dipersoal. Ia terbukti dengan penglibatan pemimpin di semua peringkat.
Presidennya, Mohamad Sabu bersama saf kepimpinan di peringkat nasional, turut turun padang membantu berkempen. Lebih-lebih lagi dalam tempoh sidang parlimen, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Slim River tidaklah begitu jauh.
Pengarah pilihan raya Amanah merangkap pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi juga dikatakan turut bersama dalam setiap siri perbincangan dengan jentera calon bebas dan menawarkan bantuan yang diperlukan.
Oleh kerana kerjasama rasmi daripada PH dan Pejuang ini tidak ada, maka keputusan membantu PRK kali ini adalah atas inisiatif dan keputusan parti masing-masing.
PKR walaupun diketahui tidak begitu mesra dengan Pejuang atas faktor-faktor tertentu, namun beberapa pemimpin mereka turut hadir untuk membantu calon bebas, Amir Khusyairi. Cuma, ia kelihatan tidak begitu bersungguh untuk mengerahkan sepenuhnya kekuatan yang ada.
Beberapa pemimpin seperti Chang Lih Kang, Saifuddin Nasution, Amirudin Shari, Fahmi Fadzil, Tian Chua, dan beberapa pemimpin Cabnag Tanjung Malim ada kelihatan di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) menyampaikan ceramah kelompok.
DAP juga mengambil langkah sama. Mereka turun membantu tetapi tidaklah begitu aktif. Antara yang dilihat hadir membantu memberikan ceramah adalah Nga Kor Ming, Anthony Loke, Aziz Bari, Howard Lee, Wong Mei Ing, Kulasegaran dan Sivanesan.
Paling dilihat bersungguh adalah Sivanesan, Adun Sungkai, yang membantu membuat beberapa program bersama pengundi kaum India.
Sebaliknya, di pihak BN, hampir semua pemimpin utama mereka turun membantu dalam siri kempen 14 hari tanpa henti. Setiap hari, ada sahaja pemimpin yang hadir.
Pemimpin utama PAS dan Bersatu juga ambil bahagian walau tidak seaktif BN.
MCA, MIC, Makkal Sakhti dan IPF turut serta mengerahkan ahli dan jentera mereka untuk menawan pengundi-pengundi bukan Melayu.
Strategi dan penumpuan mereka untuk PRK kali ini kelihatan sungguh objektif dan bertenaga.
Di setiap PDM Bilik Gerakan mereka diaktifkan lebih awal.
Gambaran kekuatan akar umbi BN
Malah di beberapa PDM, setiap lokaliti mempunyai khemah tempat jentera mereka berkumpul dengan dihiasi poster dan kain rentang calon.
Sedikit sebanyak memberi gambaran kekuatan akar umbi BN di PDM tersebut.
Di pihak pembangkang, ketiadaan kelibat Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan beberapa nama besar lain sesuatu yang dirasai penyokong-penyokong PH.
Mereka ternanti-nanti dan memerhati bagaiman PH mengatur langkah dalam siri kempen.
Jelas, terdapat lompong dan tidak sepadu seperti PRU 14.
Kalau pimpinan DAP kurang ambil bahagian, itu mungkin atas dasar mengelak daripada timbul serangan yang bukan-bukan kerana demografi DUN yang mempunyai 75% pengundi Melayu.
Tetapi kegagalan pemimpin besar Melayu dari kalangan pembangkang tidak bersama dalam kempen PRK ini, ia boleh diterjemah dengan tafsiran yang pelbagai.
Maka majoriti besar kekalahan Amir Khusyairi iaitu 10,945 undi adalah signal daripada pengundi, terutamanya di kalangan penyokong PH sendiri bahawa kegagalan pembangkang menyusun kekuatan dan kesepakatan akan diterjemah ke kotak undi.

Keputusan PRK ini juga menunjukkan PDM yang dimenangi PH semasa PRU ke-14, tewas dengan majoriti yang agak besar.

PDM Pekan Slim, Sungai Slim Utara, Kampong Kuala Slim, Ladang Kelapa Bali, Ladang Sungkai dan Pekan Lama, semuanya tewas. Pengundi bukan Melayu juga dilihat tidak menyebelahi Amir Khusyairi. Apa lagi PDM di Felda Trolak dan Besout.

Pembangkang seharusnya sedar bahawa ini adalah suara yang mahu disampaikan kepada mereka. Pengundi tidak akan memberikan kepercayaan dan mandat kepada kepimpinan yang tidak sepakat.
Dan niat Pejuang atau mana-mana parti pembangkang ,sekiranya berhasrat untuk bergerak sendirian seperti yang ditunjukkan dalam PRK Slim ini, dalam tempoh PRU ke-15 yang sudah semakin hampir, natijahnya sudah ditunjukkan di depan mata.

Pembangkang boleh cari alasan lain untuk tidak mengakui kelemahan ini.

Misalnya penggunaan logo bebas, kekurangan sumber untuk biaya jentera, parti yang masih baru ditubuh, berdepan dengan parti yang menguasai kerajaan dan bertanding di kawasan kubu kuat Umno BNkepada kekalahan.

Tetapi kalau inilah yang terus dijadikan sandaran, maka berterusanlah pembangkang berada dalam sindrom penafian.

Pengajaran paling besar yang harus PH dan pembangkang lain muhasabahkan adalah, keegoan akan membawa kegagalan.

Mangsanya adalah pemimpin pelapis muda berkebolehan dan rakyat keseluruhan.
Justeru, kembalilah menyusun kekuatan.

Selamat Hari Kebangsaan.

AZHAR RAHMAN ialah setiausaha Amanah Tanjung Malim dan pengundi N58 DUN Slim.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.