https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tadah air hujan teknik zaman batu?


 Oleh Nizam Rahman

Baru-baru ini kecoh dengan kenyataan menteri di Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa), Tuan Ibrahim Tuan Man, yang menggalakkan rakyat Kelantan menadah air hujan untuk kegunaan harian. Kenyataan ini menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warganet, hingga ada yang menyifatkan cadangan itu seperti kembali ke zaman batu, mundur, dan tidak futuristik.

Namun, cadangan ini tidaklah seteruk yang disangka. Keadah ini ternyata sudah lama dipraktikkan di Brazil, New Zealand, Korea Selatan, Thailand, dan banyak lagi negara lain. Langkah ini diambil sebagai alternatif kepada sistem saliran air yang memerlukan kos yang tinggi dan ternyata ianya mampu menjimatkan sumber. Air hujan yang ditadah boleh digunakan untuk mengairi tanaman, membasuh pinggan, mencuci bilik air, dan juga boleh dijalankan penulenan untuk minuman.

Kaedah penadahan air hujan ini juga digunakan oleh beberapa kolej kediaman di Universiti Malaya, Kuala Lumpur bagi memudahkan para pelajar membersihkan kenderaan.

Dengan kekurangan air menjadi masalah mendesak bagi banyak kawasan berpenduduk padat, sistem tadahan air hujan dapat menyediakan bekalan di rumah dan sesuai bagi tujuan perniagaan dengan menggunakan air yang ditadah pada musim panas dan kurang hujan. Langkah ini secara tidak langsung dapat mengurangi permintaan daripada sistem biasa.

Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada sistem empangan semata-mata. Seperti yang kita tahu, keadaan iklim sekarang tidak menentu dan perubahan iklim boleh mengakibatkan empangan mengering dan dapat mengurangkan kapasitinya sehingga lebih 19%, seperti yang berlaku di Empangan Teluk Bahang Pulau Pinang. Apabila berlakunya kemarau, akan timbul pelbagai konflik antara keperluan air bagi perumahan, perniagaan, dan pertanian. Kita semua sedia maklum semua aktiviti ini memerlukan sumber air yang banyak.

Jika benar kementerian ingin menggalakkan rakyat menggunakan sistem tadahan air hujan di rumah, banyak perkara yang perlu diambil kira. Perkara paling utama ialah kos. Perlaksaan sistem tadahan air hujan di rumah memerlukan beberapa pengubahsuaian dari segi bentuk atap bumbung, bagi memastikan air hujan dapat dikumpulkan secara maksimum dan dapat disalurkan ke tangki seperti bilik air, garaj kereta, dan tangki utama. Semua ini memerlukan kos yang agak tinggi.

Seterusnya, aspek kualiti juga perlu diambil kira. Sebelum jatuh ke permukaan, air hujan akan bercampur dengan pelbagai jenis gas di udara. Keadaan menjadi buruk apabila kawasan tersebut terdapat industri yang mengeluarkan gas bahaya seperti karbon monoksida. Sebaik sahaja sampai ke permukaan, air hujan akan bercampur dengan bahan larut dan tidak larut dan ia akan mengumpulkan bahan pencemar seperti habuk, bakteria, kulat, dan najis haiwan, dan bahan organik lain serta bahan bukan organik seperti mineral terlarut, logam, bahan kimia, atau cat larut dalam air.

Mungkin kita tidak tahu, idea untuk menggalakkan penuaian air hujan ini datang daripada ketua setiausaha Kasa sendiri, iaitu Zaini Ujang, seorang pakar dalam bidang pengurusan air. Jadi susah tentu ia bukannya idea yang konyol dan mundur. Cuma, timbul isu apabila cadangan tersebut diketengahkan kepada Kelantan, sebuah negeri yang mempunyai banyak masalah air.

Masalah air di Kelantan tidaklah secara langsung berpunca daripada perubahan iklim, kerana sumber air di Kelantan sangatlah banyak, dengan taburan hujan yang sekata sepanjang tahun, dan kawasan berhutan seluas 700,000 hektar sebagai tadahan air semulajadi. Jadi, tidak akan timbul isu kekeringan sumber air.

Namun, masalah timbul apabila kawasan berhutan dimusnahkan bagi aktiviti pembalakan dan perladangan hutan. Seluas 169,0000 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) menjadi zon bagi projek ladang hutan, yang mana pokok ditebang secara “cuci mangkuk”. Ini ditambah lagi dengan pembalakan komersial di HSK seluas 200,000 hektar (7 kali keluasan Melaka). Tindakan ini wajar dikritik, kerana ia bukan sahaja mengakibatkan sumber air menjadi kotor dan tercemar, bahkan ia juga menjadi penyebab kepada bencana banjir yang kita lihat sudah menjadi “aktiviti tahunan” di negeri Pantai Timur Semenanjung ini.

Di sini, kerajaan patut sedar akan keutamaan sebenar dalam isu ini. Tindakan menggalakkan rakyat untuk menadah air hujan ibarat tindakan lepas tangan yang meminta rakyat bertindak sendiri bagi menangani isu bekalan air, yang secara hakikatnya berpunca daripada kesilapan pengurusan kerajaan negeri.

Masalah di Kelantan bukannya kekurangan bekalan air tetapi bekalan air yang kotor dan tercemar. Jika sistem tadahan air semulajadi tidak diganggu, sudah pasti tiada keperluan bagi rakyat untuk menadah air hujan bagi kegunaan harian. Sebagai seorang ahli Parlimen dan menteri yang terlibat dalam penggubalan undang-undang, isu-isu sebeginilah yang perlu ditekankan. Tapi, hmmm.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.