Covid-19 bukannya datang naik motosikal atau kereta, kata Kadir
A Kadir Jasin menyelar politikus “kepala bapak” yang turun berkempen di Sabah sehingga mencetuskan gelombang baru Covid-19 yang akhirnya menyebabkan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula esok.
Menurut wartawan veteran itu, meskipun rakyat perlu akur kepada PKPB, penularan semula Covid-19 bukanlah terjadi dengan sendir, sebaliknya berdasarkan perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bukan juga berpunca utama daripada kes import.
“Virus Korona yang menyebabkan Covid-19 ini tidak tunggang motosikal atau pandu kereta dari rumah ke rumah mencari mangsa. Ia tidak juga disebarkan oleh nyamuk, tikus atau pijat.
"Ia disebarkan oleh manusia yang tidak ikut prosedur operasi standard (SOP) yang kerajaan laksanakan.
“Tapi siapakah 'haramzada' yang menyebabkan ledakan baru pandemik ini?” soal A Kadir di Facebook hari ini.
“Ledakan baru ini bermula sebaik saja para politikus 'kepala bapak' kecil dan besar balik daripada berkempen, cari makan dan makan angin dalam pilihan raya negeri Sabah 26 Sept lalu pulang ke Semenanjung dan dengan sewenang-wenangnya melanggar SOP - termasuk menteri," tambahnya.
Mohon berpatut padan
Pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang bermula dengan penamaan calon 12 Sept menyaksikan Sabah dikunjungi rombongan politik dari semenanjung untuk membantu kempen, meskipun Sabah ketika itu sudah pun dilanda peningkatan kes Covid-19.
Sepanjang tempoh kempen - meskipun SOP ketat disediakan - banyak kejadian menunjukkan ia gagal dipatuhi dengan baik, terutamanya dari aspek penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka sepanjang masa oleh calon, jentera kempen dan orang ramai.
Kebimbangan itu akhirnya menjadi kenyataan apabila berlakunya lonjakan drastik kes Covid-19 selepas PRN yang tamat pada 26 Sept sehingga menyebabkan gelombang ketiga Covid-19 di Semenanjung dan Sabah, yang bukan berpunca daripada kluster penjara.
Semalam KKM melaporkan ada 563 kes baru direkodkan dengan Sabah menjadi negeri dengan kes keseluruhan tertinggi.
Semalam juga, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 Okt sehingga 27 Okt, manakala Sabah sehari lebih awal.
Menurut A Kadir, ahli politik yang mencetuskan krisis sehingga terjadinya PRN wajar dikutuk sekeras-kerasnya kerana menjadi penyebab kepada gelombang baru.
Malah katanya disebabkan PRN juga ada pengundi Sabah yang membawa pulang wabak tersebut dan menyebarkannya di semenanjung selepas balik mengundi.
“Politikus kemaruk kuasa yang mencetuskan krisis sehingga memaksa PRN Sabah diadakan wajar dikutuk sekeras-kerasnya.
“Begitu juga menteri-menteri kerajaan tebuk atap (mengguna pakai jenama yang diberikan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang) yang berdolak-dalik mengenai keperluan kuarantin kendiri setelah balik daripada berkempen di Sabah.
“Kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab melaksanakan PKPB ini, mohon mereka berpatut padan dan berperikemanusiaan,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, ahli politik - termasuk menteri - dibidas banyak pihak kerana tidak mengambil inisiatif menghabiskan kuarantin kendiri 14 hari di rumah masing-masing sekembalinya mereka dari Sabah.
Untuk rekod memang mengikut SOP ditetapkan KKM ia bukanlah wajib, namun ia digalakkan.
Beberapa ahli politik dan anggota kabinet disahkan positif Covid-19 setelah pulang dari Sabah. Antaranya Anggota Majlis Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii; Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan; Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad dan Menteri Agama Zulkifli Mohamad.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.