Darurat hanya akan burukkan lagi ekonomi - Tengku Razaleigh
KUALA LUMPUR: Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa pengisytiharan darurat akan memburukkan lagi ekonomi Malaysia yang sudah teruk.
Menurut
Tengku Razaleigh, beliau bukan mempersoalkan hak Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon pengisytiharan itu daripada Yang
di-Pertuan Agong.
Sebaliknya,
Ahli Parlimen Gua Musang itu berpandangan tidak ada "alasan jujur"
untuk kerajaan memohon pengisytiharan darurat itu.
“Sekiranya
Perdana Menteri berjaya melaksanakan perintah darurat yang
dicadangkan... sebagai seorang ahli ekonomi dan bekas Menteri Kewangan,
bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (dan bekas Pengerusi
Bank Dunia dan IMF), saya boleh tegaskan ia boleh memburukkan lagi
keadaan ekonomi kita yang sudah teruk.
“Pelabur
tempatan dan luar akan menghindari kita sepenuhnya. Keyakinan
perniagaan akan musnah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tengku
Razaleigh juga menjelaskan beliau ada alasan untuk percaya bahawa
Perdana Menteri dan jemaah menterinya sudah tidak lagi mempunyai
majoriti di Dewan Rakyat.
Dakwanya,
tindakan Muhyiddin yang enggan membenarkan pembentangan usul tidak
percaya dalam sidang Dewan Rakyat membuktikan beliau tidak mempunyai
majoriti.
“Inisiatif saya bersama Yang
di-Pertua Dewan Rakyat tidak harus dilihat sebagai untuk kepentingan
diri saya atau saya ada minat untuk jawatan Perdana Menteri, tetapi
untuk mempertahankan prinsip sistem Parlimen kita,” katanya.
Tengku
Razaleigh pada masa sama mendakwa jika benar Muhyiddin mahu darurat
diisytiharkan, bermakna tindakan itu hanyalah untuk menyelamatkan
jawatannya sebagai Perdana Menteri tanpa proses semak dan imbang.
Beliau pada masa memohon agar Seri Paduka Baginda tidak melayan permintaan yang tidak munasabah itu.
Sebelum
ini, pejabat Tengku Razaleigh mendedahkan surat tokoh itu dengan Yang
di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta usul tidak
percaya terhadap Perdana Menteri diberi keutamaan pada sidang akan
datang.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.