https://critoxium.com/shop/

Terkini

Henti kekeliruan, muktamad SOP terlebih dahulu, ahli Parlimen beritahu menteri


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya menyelaras dan memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) sebelum membuat pengumuman besar bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan.

Beliau berkata, pengumuman Putrajaya mengenai arahan bekerja dari rumah melibatkan kira-kira 1 juta pekerja adalah tidak jelas dan terlalu umum, mengakibatkan timbulnya ketidakpastian dalam komuniti perniagaan dan mereka yang berkeluarga.

Yeoh berkata, SOP yang mengelirukan boleh menyebabkan sektor perniagaan kehilangan lebih banyak peluang, selain menyukarkan pegawai penguat kuasa menjalankan arahan dan mengakibatkan berlakunya ketidakadilan dalam kalangan orang awam.

“Saya menggesa kerajaan supaya segera menjelaskan kekeliruan ini dan memastikan denda tidak dikenakan ke atas sesiapa yang didapati keliru dengan SOP yang dikeluarkan oleh kedua-dua menteri terlibat, iaitu Ismail Sabri Yaakob dan Mohamed Azmin Ali.

“Subsidi juga seharusnya diberikan kepada majikan yang terpaksa membuat ujian Covid-19 untuk pekerja mereka akibat kekeliruan dalam pengumuman menteri.

“Saya cuma mahu mengingatkan mereka bahawa masa ‘berbulan madu’ telah pun tamat. Mereka perlu segera belajar untuk menyelaras secara bersama-sama sebelum sesuatu keputusan diambil kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) bukan sesuatu yang baru,” katanya.

Yeoh juga memberitahu Ismail supaya berhenti mengadakan sidang media harian sekiranya tiada perkara substantif untuk diumumkan, selain menambah bahawa pengumuman tidak perlu akan menambah kekeliruan dalam kalangan orang awam.

“Hentikan kekeliruan, sekat Covid-19. Sekiranya wabak Covid-19 tidak membunuh ekonomi kita, ketidakcekapan menteri akan memusnahkannya,” katanya.

Ia susulan pengumuman Ismail sebelum ini bahawa pekerja peringkat pengurusan dan penyeliaan dalam sektor awam dan swasta di kawasan PKPB diarah bekerja dari rumah bermula hari ini bagi mengurangkan jumlah pekerja di premis.

Katanya, semua pekerja yang perlu berada di lokasi untuk bekerja perlu menjalani ujian swab, yang akan ditanggung oleh Perkeso.

Bagaimanapun, Ismail semalam menjelaskan semula mengenai ujian swab, dengan berkata, saringan hanya wajib bagi pekerja asing yang bekerja dalam sektor binaan dan kawalan keselamatan, sementara bagi pekerja pejabat mereka hanya disarankan untuk menjalani ujian itu.

Dalam pada itu, Azmin, yang merupakan menteri perdagangan antarabangsa dan industri (MITI) berkata, maksimum 10% kakitangan kanan, khususnya pengurusan dan penyeliaan, dari jabatan berkaitan, dibenarkan berada di pejabat.

Kakitangan itu antaranya melibatkan jabatan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), selain peringkat pengurusan tertinggi syarikat.

Menurut kementerian itu, mereka hanya dibenarkan berada di pejabat selama 4 jam – bermula 10 pagi sehingga 2 petang –3 hari seminggu.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.