Politik Malaysia dari kaca mata seorang suri rumah
Saya penganggur yang diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19.
Saya kini menjadi suri rumah sepenuh masa, selain melakukan pelbagai ‘bussiness’ sementara beroleh kerjaya lebih baik dan sesuai.
Belakangan ini, saya melihat keadaan politik kita penuh dengan kejutan, barangkali terkait sumpahan tahun 2020 yang sememangnya menunggangterbalikkan satu dunia.
Tetapi sebagai seorang Muslim, kita wajib beriman pada ketentuan baik dan buruk.
Jadi walaupun tahun 2020 ini tahun yang menguji, kita tetap perlu reda dan bersyukur atas ketentuan yang tuhan berikan.
Mula sahaja tahun 2020, isu kesihatanlah yang paling meruncing. Bermula dengan virus influenza dan kemudiannya Covid-19, senario politik juga terkena tempiasnya.
Sepanjang hidup saya, pertama kali saya menyaksikan pertukaran kerajaan yang begitu dramatik.
Bermula pada petang sehari sebelum Langkah Sheraton, saya mendengar satu pesanan mesej suara di aplikasi Whatsapp menceritakan tentang sesuatu perkara besar bakal berlaku.
Wah! Gempak sekali mesej suara itu seolah-olah negara ini hendak berperang! Dan sehingga kini saya tidak tahu gerangan pemilik mesej suara berkenaan.
Masa pun berlalu dan dipendekkan cerita, sampailah kita pada kerajaan yang ada pada hari ini. Pap! Sekelip mata sahaja.
Semalam kita masih melihat menteri-menteri merasmikan program dan melancarkan itu dan ini.
Hari ini, tup! Semuanya hilang. Semuanya reset!
Kitaran Mahathir, Anwar, Mahathir, Anwar, Tup! Reset! Kita kini ada Abah Muhyidin. Siapa pernah sangka itu?
Liku-liku PH
Muafakat Nasional yang saya rasa masih dalam tempoh mengenal hati budi masing-masing, terheret - dipaksa bersedia menggalas tanggungjawab yang sememangnya mereka harapkan, tetapi tidaklah sepantas ini.
Masa pun berlalu lagi, dan kita melihat pihak Pakatan Harapan masih tidak berputus asa untuk mengembalikan hak mereka yang didakwa dirompak di tengah jalan.
Tetapi, saya melihat perjalanan Pakatan Harapan untuk kembali menjadi kerajaan penuh dengan liku-liku dan onak duri.
Mereka berperang dengan musuh di luar, dan musuh dalam selimut mereka sendiri. Tetapi itu masih boleh diatur saya kira.
Orang politik ini mereka memang ditakdirkan untuk bersengketa dan esok lusa baiklah semula. Esok lusa, bergaduhlah semula.
Kita semua pun sudah faham itu kan? Cuma yang mengejutkan saya adalah, kejatuhan kerajaan PH tidak disambut rakyat di bawah.
Maksud saya, rakyat membiarkan mereka jatuh.
Danya sebilangan sahaja bertungkus-lumus mempertahankan “takhta”kerajaan PH. Kebanyakannya pendukung mereka sendiri.
Bagaimana boleh? Pandangan ikhlas saya, saya rasa kita semua sudah maklum apa isunya. Kita semua sudah merasa apa rasanya.
Saya secara peribadi sebagai pemerhati politik dari sudut dapur rumah saya berpendapat, kemenangan PH dalam PRU14 bakal membawa satu revolusi dalam politik Malaysia.
Terdetik dalam hati: “Mungkin selepas ini rakyat akan hidup lebih senang, tetapi sikap ‘liberalisme’ dalam PH itu yang membimbangkan.”
Ya, itulah getus pertama hati saya sebaik sahaja mengetahui keputusan penuh PRU-14.
Namun, langit tidak selalunya cerah. Saya sangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.
Saban hari ada sahaja isunya, tidak habis satu, satu lagi datang.
Idea-idea peperangan
Saya mengakui, walaupun saya di pihak pembangkang, tetapi tidak banyak yang dilakukan pembangkang untuk menyerang pihak kerajaan ketika itu.
PAS dan Umno masing-masing sibuk mengukuhkan gerakan baru untuk menumpaskan lawannya pada pilihan raya akan datang.
Tetapi, senjata dan idea-idea peperangan itu seolah-olah datangnya dari pihak PH sendiri.
PAS dan Umno tidak perlu bersilat banyak, rakyat sendiri bangkit melawan, rakyat sendiri berteriak meluahkan keluh kesah.
Saya menjadi penasaran dengan pemimpin PH pada waktu itu. Sungguh! Itu bukan sesuatu yang saya jangka!
Mungkin
mereka mempunyai 1,001 hujah untuk membenarkan segala perkara yang
terjadi, tetapi rakyat tidak faham, rakyat tidak dapat merasa apa yang
mereka cuba sampaikan.
Pandangan satu sen saya, sayang sekali PH hari ini juga sudah terpecah-pecah, walhal sebenarnya
mereka hanya perlu hati yang rendah untuk menerima kekurangan dan memperbaikinya semula.
Ah, mereka kata mereka memang mau perbaiki, tapi kan sudah dirompak di tengah jalan!
Hari ini, episod tumbang-menumbang, tebuk-menebuk seakan mahu diulang lagi.
Secara peribadinya, saya berasa kasihan apabila penyokong-penyokong MN-PN mengusik perihal Anwar Ibrahim yang mahu menjadi perdana menteri tetapi tidak kesampaian.
Mahukah kalian untuk mencuba barang sedetik kita berada bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri? Dia kelihatan sangat bersungguh-sungguh untuk menjawat jawatan itu.
Tidakkah selalunya orang yang bersungguh-sungguh ini akan melakukan tugasnya dengan sebaik mungkin?
Kita tidak sempat merasa pemerintahan sebenar kerajaan PH kerana ia tidak dipimpin oleh Anwar - pemimpin yang membawa ideologi sebenar Pakatan Harapan.
Selesa dengan ‘abah’?
Apa yang kita lalui sebelum ini hanyalah ulangan kerajaan PM tersayang kita, iaitu bekas PM keempat.
Persoalannya, mahukah kita sekali lagi kembali ke pangkuan Pakatan Harapan?
Mahukah kita sekali lagi meletakkan kepercayaan kepada Anwar untuk katanya menyelamatkan Malaysia?
Atau,
kita lebih selesa dengan apa yang ada di masa kini, dengan abah kita,
dengan gerombolan-gerombolan Muafakat Nasional yangkelihatannya lebih
sayangkan kita?
Saya rasa orang politik ini kadangkala berfikir terlalu dalam bab memikat hati rakyat. Mereka tidak mahu budaya cash is king.
Tetapi
tahukah mereka kita ini hanya perlukan RM30 sehari untuk menyara seisi
keluarga? Tahukan mereka yang kita ini berniaga dengan margin RM2 dan
kita tidak berhenti berusaha.
Ya datuk-datuk, menteri-menteri sekalian, rakyat di bawah ini ada yang susah teramat susah.
Ada susah dan sesekali sahaja senang. Pemberian bantuan seperti BR1M atau BPN sebagai contohnya, terlalu besar maknanya bagi rakyat jelata.
Kami tidak kaya seperti kamu wahai pemimpin-pemimpin.
Saya tidak kisah jika kerajaan itu memang fokusnya mahu menjaga poket-poket kapitalis saja.
Jika memang kerajaan itu fokusnya mau negara ini serba canggih serba baik ekonominya di mata dunia.
Tetapi janganlah diulang-ulang slogan berkhidmat untuk rakyat, selamatkan rakyat, demi rakyat, membela nasib rakyat dan itu dan ini.
Kalau hakikatnya menjaga rakyat itu bukan keutamaan bagi kamu.
Hujah ini juga terpakai pada isu terbaharu Zahid Hamidi dan gerombolannya mahu menyokong Anwar menubuhkan kerajaan baru.
Saya tidak marah Zahid mahu menyokong Anwar atas semangat setiakawannya sekian lama, tetapi dia berada pada kedudukan yang salah.
Sekali lagi, hati rakyat dipijak-pijak, ditendang-tendang sesuka hati.
Penyatuan ummah
Tahukah
Datuk Seri bahawa besarnya harapan rakyat di bawah untuk melihat
gagasan penyatuan ummah ini menjadi realiti dan mampu memimpin Malaysia?
Namun, apa yang Datuk Seri pentingkan adalah perkara lain, tak
tahulah saya sama ada keegoan, keselamatan, harta, pangkat, atau
perkara-perkaralain yang Datuk Seri rasakan lebih penting daripada
segalanya.
Saya menjadi muram apabila terfikir perihal ini. Saya kira, Zahid juga serabut dengan apa yang berlaku.
Tetapi itulah harga yang perlu dibayar. Kamu itu adalah pemimpin teratas, tindakan yang kamu lakukan bukan terkait diri sendiri sahaja tetapi seluruh gagasan ini.
Saya kecewa mengenangkan jika muafakat ini sekadar satu lagi cereka yang bakal menghampakan penontonnya dengan pengakhiran tidak gembira.
Pasca beberapa hari PRN Sabah memperlihatkan sedikit demi sedikit warna dan belang masing-masing.
Aduhai bangsaku, aduhai pemimpin seagamaku, tak sudah-sudah kamu bergaduh. Tak sudah-sudah mahu mengulangi sejarah yang buruk.
Saya tidak mahu mengulas mengapa hal ini terjadi. Saya kira kita semua pasti tahu apa yang membentuk peribadi seseorang.
Saya juga tidak mahu memuji sesebuah parti, tetapi kita patut menilai jika sesebuah kepimpinan yang menghayati Islam, bertindak berdasarkan prinsip-prinsip politik Islam, Insya-Allah segala godaan duniawi, badai dan ombak tinggi akan mampu diatasi.
Sebagai contoh, ketika PAS tidak diberikan walau satu kerusi pada PRN Sabah baru-baru ini, tidak sedikit ahli PAS yang kecewa.
Tidak sedikit ahli PAS yang marah, rasa diperbodohkan dan dipergunakan.
Itu semua lumrah manusia, apatah lagi dipersenda pihak lawan dan dimomokkan dengan sindiran-sindiran menyakitkan hati.
Tetapi, semuanya dapat diredakan apabila semua pihak dapat menghayati semula prinsip-prinsip mengapa muafakat ini, berkorban sesuatu yang kecil demi sesuatu yang besar.
Mengalah tak kalah
Matlamatnya jelas, yang lebih baik untuk Islam dan umat seluruhnya, untuk hari ini dan masa depan.
Jadi, mengalah tidak bererti kalah. Syukur dalam perjuangan Islam kita diajar untuk walak.
Syukur juga kita selalu diselamatkan Allah daripada mengikuti hawa nafsu yang akhirnya membawa kerugian.
Kesimpulannya, kita hari ini sudah berada pada tahap yang politiknya tidak lagi seperti dulu- sama ada kau PAS atau Umno.
Kita juga sudah terpecah-pecah mengikut warna-warna parti kita. Tiada suatu pun daripada kita yang dominan.
Kita wajib bersatu. Namun kadangkala saya berasa sedih melihat gelagat sebahagian daripada kita yang terlalu berpaksikan kepartian atau terlalu mengagungkan sesetengah pemimpin.
Kita ini biarlah sederhana sahaja. Pemimpin kita itu manusia juga, yang mungkin suatu masa nanti akan mengecewakan jika kita sandarkan pengharapan padanya.
Jadi, dalam kita berpolitik ini, biarlah berpaksikan pada Dia yang maha kekal. Yang Dia kata betul, yang itu kita ikut.
Saya juga menyarankan agar kita sebagai rakyat, bijak memilih.
Kita
boleh mengakhiri ketidakstabilan politik hari ini dengan memilih
pemimpin yang betul-betul tepat pada pilihan raya akan datang sekalipun
ia sukar.
Kita semua perlu bersatu menolak adegan lompat-melompat seperti yang berlaku sekarang. Saya berharap, kita semua akan ada pilihan yang cukup untuk melakukan itu.
NUR HIDAYAH ABD JABAR ialah seorang suri rumah daripada Pulau Pinang.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.